![]() |
| Pemain PKNS, Mohd. Khairul Akhyar (kanan) diasak pemain Pos Malaysia, Mohd. Amri Fasal Mat Nor pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin. - UTUSAN/Hafiz Johari |
KUALA LUMPUR - PKNS bagaikan mendapat laluan mudah untuk menakluk saingan Liga Perdana musim ini apabila sejak awal lagi kedudukan sebagai pendahulu bagaikan tidak mampu dicabar mana-mana pasukan.
Dengan rekod tanpa kalah selepas 10 perlawanan, PKNS selesa mendahului empat mata ke atas pencabar terdekat, Sarawak.
Malah benteng pertahanan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu hanya melepaskan dua gol setakat ini.
Begitupun, rentak kemenangan PKNS bagaikan terencat seketika apabila sekadar seri tanpa jaringan dalam dua perlawanan terakhir.
Ini menyebabkan pemerhati mula terfikir adakah skuad ini mula berdepan masalah terutama pada bahagian serangan?
Persoalan itu bagaimanapun pantas ditangkis oleh Abdul Rahman, yang menegaskan para penyerangnya bukan kehilangan taring dalam menjaringkan gol.
Sebaliknya, kata beliau pasukan lawan mula tampil dengan corak bertahan tiap kali berdepan PKNS.
"Itu merupakan sebahagian masalah kami pada masa ini, mana-mana pasukan lawan yang kami temui sudah mula menampilkan corak permainan bertahan, ini menyukarkan kami mendapatkan gol.
"Pasukan lawan sudah mengkaji gaya permainan kami dan itu adalah punca mengapa kami hanya boleh menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan terakhir.
"Saya tiada pemain yang terlalu istimewa untuk melakukan sesuatu berlainan ketika menyerang dalam keadaan lawan mengamalkan taktik sedemikian, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Kali terakhir PKNS mencipta kemenangan ialah pada perlawanan kelapan pada 4 April lalu, itu pun 1-0 ke atas pasukan tercorot Liga Perdana, Pulau Pinang.
Selain Sarawak, yang mengekori rapat PKNS, ATM dan Sime Darby juga dilihat berpeluang mencabar kejuaraan Liga Perdana, yang hanya ketinggalan lima dan enam mata.

No comments:
Post a Comment