KUCHING: Sarawak tampak semakin mantap apabila menang mudah 2-0 ke atas Johor dalam saingan Liga Perdana 2011 di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini petang semalam.
Kedua-dua gol Sarawak dijaringkan pada babak pertama masing-masing menerusi penyerang berbisa, Zamri Morshidi pada minit ke-37 dan Wong Sai Kong pada minit ke-41.
Begitu pun, Sarawak sememangnya mampu melakarkan kemenangan penuh bergaya dengan lebih jaringan namun banyak peluang keemasan terlepas begitu sahaja.
“Saya berpuas hati dengan kemenangan hari ini, malah pemain-pemain kita telah mampu meningkatkan prestasi mereka masing-masing,” kata pengurus merangkap ketua jurulatih import Sarawak, Robert Alberts.
Menurutnya, Sarawak memiliki banyak peluang untuk mencatat kemenangan besar namun pemain-pemain hanya mampu melakukan penyudahan sempurna dengan dua jaringan sahaja.
Pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan padu hampir 5,000 penonton mampu menguasai hampir keseluruhan perlawanan dalam situasi pasukan pelawat, Johor agak tertekan untuk memberikan tentangan sengit.
Walau bagaimanapun, pasukan tuan rumah (Sarawak) agak begitu malang petang semalam apabila dua pemainnya iaitu Azizan Saperi dan Bobby Gonzales masing-masing dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.
Beraksi dengan sembilan pemain ternyata tidak menjejaskan persembahan Sarawak untuk mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut, selepas seri 1-1 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di halaman sendiri pada Jumaat lalu.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman juga berbangga dengan prestasi memberangsangkan anak-anak buahnya tatkala menang dua perlawanan dan sekali seri dalam tiga perlawanan lalu.
“Di sebalik prestasi memberangsangkan itu, saya harap para pemain kita tidak alpa sebaliknya terus berusaha gigih untuk memburu kemenangan untuk perlawanan seterusnya,” kata beliau.
Setelah bermain dalam 10 perlawanan, Sarawak kini memunggut 20 mata berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam carta Liga Perdana setakat ini.
Skuad Sarawak akan meneruskan perjuangan mereka menentang pasukan PKNS Selangor di gelanggang lawan, Stadium MBPJ Selangor dalam aksi terakhir pusingan pertama pada 15 April ini.
Selepas itu, mereka bertandang ke Johor bagi memulakan saingan pusingan kedua menentang Johor di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 18 April.
No comments:
Post a Comment