Friday, April 15, 2011

Skuad Selangor diberi amaran

"SAINGAN hampir memasuki pusingan kedua. Jadi persembahan pasukan perlu konsisten. Kita perlu untuk mencatat keputusan yang lebih positif."
Demikian amaran dilemparkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin terhadap para pemain skuad Liga Super Selangor termasuk jurulatih mereka, K. Devan, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Menurut Hamidin, jurang mata yang cukup rapat di antara empat pasukan teratas iaitu Selangor, Perak, Terengganu dan Kelantan menyebabkan mereka tidak lagi boleh tercicir mata pada baki 15 perlawanan musim ini.
Selangor perlu mengutip tiga mata penuh pada pertemuan penting menentang Perak di Stadium Shah Alam malam esok andai mahu terus kekal menghuni tangga teratas yang dirampas daripada Kelantan, Selasa lalu.
"Saya sudah beri amaran kepada Devan dan para pemain supaya mereka mempamerkan aksi konsisten. Kita hanya berbaki dua perlawanan sebelum memasuki pusingan kedua.
"Jadi prestasi tidak boleh lagi naik turun kerana jika Selangor mahu mencipta sejarah meraih kejuaraan hatrik Liga Super, kita kena mula jarakkan diri bermula dari sekarang," kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Setelah tewas 0-2 kepada T-Team di laman sendiri Sabtu lalu, Selangor bangkit mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United di Cheras, Selasa lalu.
Selangor akan menanti kunjungan Sabah pada Selasa depan sebelum terpaksa beraksi empat perlawanan berturut-turut di tempat lawan bertemu Sabah pada 23 April, Kelantan (26 April), Terengganu (29 April) dan Kuala Lumpur (3 Mei).
Sementara itu, Hamidin turut memberitahu bahawa tiket-tiket bagi perlawanan menentang Perak akan dijual di kaunter pintu utama stadium bermula pukul 9 pagi esok.

FAS telah mengingatkan pemain Selangor (jersi merah) agar tampil lebih konsisten untuk mencatat keputusan positif.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...