PASUKAN berstatus kelab, T-Team mencipta kejutan dengan membenam Kelantan 4-3 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.
Aksi garang pasukan tuan rumah seawal minit permainan ternyata tidak mengecewakan apabila Zairo Anuar Zailani muncul wira setelah berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma.
The Red Warriors bagaikan terpaku dengan aksi pantas skuad bimbingan Ahmad Yunus Mohd Alif itu yang nyata mendominasi permainan.
Kelonggaran di bahagian pertahanan Kelantan terus dihukum apabila Mohd Norfarhan Muhammad menjaringkan gol kedua dalam masa kecederaan dan keputusan itu kekal hingga minit terakhir permainan separuh masa pertama.
Kekebalan gawang Kelantan kendalian Khairul Fahmi Che Mat sekali lagi bolos menerusi jaringan cantik Indra Putra pada minit ke-51.
Seakan selesa dengan kedudukan itu, corak permainan tuan rumah dilihat bermain dalam keadaan sambil lewa dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya pelawat apabila pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-62.
Seakan mendapat semangat daripada jaringan gol pertama, Kelantan terus mendekatkan jaringan dua minit kemudian menerusi percubaan jarak jauh S Chanthuru.
Tertekan dengan asakan Kelantan, T-Team memperkuatkan barisan pertahanan dan Haris Safwan Kamal terus menjarakkan jaringan gol pada minit ke-79.
Tidak mudah putus asa dengan jaringan gol tuan rumah, Kelantan merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Danial Fadzly Abdullah (minit ke-86), bagaimanapun nasib tidak berpihak kepada pendahulu Liga Super hingga memaksa skuad bimbingan Datuk M Karathu akur dengan keputusan itu.
Sementara itu, Jurulatih T-Team, Yunus Alif menyifatkan aksi permainan pasukannya adalah yang terbaik dan hebat jika dibandingkan dengan beberapa perlawanan sebelum ini.
No comments:
Post a Comment