TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menyatakan bahawa penjelasannya mengenai kelewatan pemberian geran tahunan kepada ahli gabungan sebelum ini tidak bermaksud untuk mencampuri urusan Jawatankuasa Pengurusan dan Kewangan badan induk bola sepak negara itu.
Sebaliknya segala keputusan mengenai urusan penyerahan geran itu tertakluk sepenuhnya kepada keputusan yang dikeluarkan jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Presiden, Sultan Ahmad Shah.
Malah, beliau yang turut bertindak sebagai Pengerusi Liga Super Malaysia (MSL) berkata, FAM sebenarnya tidak menerima keseluruhan RM220 juta nilai penajaan Astro Media bagi tempoh empat tahun itu sebaliknya hanya menerima 10 peratus daripada RM30 juta wang penajaan tahunan setakat ini.
“Apa yang saya katakan adalah pihak MSL sudah menyerahkan cadangan mengenai formula pengagihan geran tahunan itu kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Kewangan saja. Ia bergantung kepada jawatankuasa itu untuk membuat sebarang keputusan.
“Mengenai duit penajaan itu pula tidak tepat kerana FAM hanya menerima sebahagian kecil saja, hanya 10 peratus daripada jumlah wang penajaan tahunan manakala duit selebihnya akan dibayar secara berperingkat.
“Tapi tidak semestinya FAM hanya bergantung kepada duit penajaan untuk membayar geran tahunan kerana FAM juga mempunyai sumber kewangan lain,” katanya yang dihubungi semalam.
Dalam laporan yang dikeluarkan Arena Metro semalam, Annuar mengesahkan FAM sudah menerima duit penajaan daripada Astro Media dan berpendapat geran tahunan sepatutnya dapat diberikan kepada pasukan yang terbabit dalam Liga Malaysia musim ini lebih awal.
FAM mendapat penajaan kontrak bersama Astro Media selama empat tahun bernilai RM220 juta yang merangkumi hak penyiaran sebanyak RM30 juta setiap tahun mulai 2011 dan tambahan RM100 juta bagi kegiatan promosi stesen satelit berbayar itu.
Isu kelewatan pembayaran geran tahunan dibangkitkan oleh beberapa pegawai pasukan Liga Super dan Liga Perdana apabila mereka sehingga kini masih belum menerima bantuan itu sedangkan pusingan pertama saingan musim ini hampir tamat.
Sedangkan FAM sebelum ini memperuntukkan geran tahunan antara RM100,000 dan RM300,000 untuk pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana dengan separuhnya daripada geran itu diagihkan sebelum musim bermula manakala baki pada pertengahan musim.
No comments:
Post a Comment