Saturday, May 7, 2011

Fandi, Zubir pilihan Ong

FANDI (kiri) mengasak kubu Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Jcorp, Pasir Gudang, Selasa lalu.
FANDI (kiri) mengasak kubu Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Jcorp, Pasir Gudang, Selasa lalu.

Sertai skuad 26 pemain jalani latihan pusat skuad Olimpik 

DARIPADA 13 pasukan Liga Super (selain Harimau Muda A), jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee hanya dapat menamakan dua pemain muda baru untuk mengisi skuad 26 pemain yang akan menjalani latihan pusat pertama, hujung bulan ini.

“Tidak ramai pemain muda diberi peluang beraksi dalam Liga Super, jadi selepas hampir dua bulan membuat penilaian, saya hanya memanggil dua pemain untuk mengikuti pemilihan skuad Olimpik kebangsaan,” kata Kim Swee.Dua pemain dimaksudkan ialah Fandi Ahmad dari Johor FC dan Muhammad Zubir Mohd Azmi dari Terengganu yang melengkapkan senarai 26 pemain kali ini sebelum penilaian terakhir selepas perlawanan ujian menentang Kemboja dan Qatar. 

“Hanya 20 pemain akan dibawa ke Beirut untuk menentang Lubnan pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 dan saya harap dapat membentuk skuad terbaik yang seimbang untuk melepasi pusingan ini.” 

Skuad Olimpik negara akan bertemu Kemboja di Phnom Penh 5 Jun depan sebelum berangkat menjalani latihan di Doha, Qatar sambil mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik negara berkenaan. 

Malaysia yang mengatasi cabaran Pakistan pada pusingan pertama, perlu melepasi halangan Lubnan di Beirut 19 Jun nanti sebelum timbal balik di ibu negara pada 23 Jun. 
Selain Fandi dan Zubir, 24 pemain lain adalah Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan selebihnya pemain Harimau Muda A yang menjadi tonggak skuad Olimpik kendalian Kim Swee. 

Kim Swee yang mengendali tiga pasukan serentak tahun ini - Liga Super, Olimpik dan Sukan SEA - mahu memberi tumpuan kepada kelayakan Olimpik sebelum memikirkan misi mempertahan emas Sukan SEA di Indonesia November ini. 

Bagi saingan Liga Super pula, dia tetap memburu kemenangan pada baki saingan tetapi dalam tempoh persediaan bertemu Lubnan, dia terpaksa memberi keutamaan kepada kepentingan pasukan Olimpik kebangsaan. 

“Jika terpaksa menurunkan pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil pada saingan Liga Super akhir bulan ini, saya akan turunkan,” kata Kim Swee yang mahu memastikan pemain utamanya bebas kecederaan untuk kempen kelayakan Olimpik nanti. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...