KAPTEN Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim turut senada dengan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal apabila menggesa rakan sepasukan meningkatkan rentak permainan sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2014 kali ini.
Menurut pemain berusia 24 tahun itu, terlalu banyak kesilapan di setiap bahagian hingga membuka ruang kepada lawan untuk mencipta kemenangan 3-2 sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah sejak penghujung tahun lalu.
Namun Harimau Malaya bernasib baik apabila peraturan gol di tempat lawan membolehkan Malaysia mara ke pusingan kedua bertemu Singapura pada 23 dan 28 Julai sekali pun terikat 4-4.
“Kami banyak melakukan kesilapan hingga membolehkan lawan menghukum kami dengan meledak tiga jaringan selain menghadiahkan tiga penalti.
“Ini bukan permainan sebenar kami. Kami perlu sedar dan bangkit dengan segera. Keadaan seperti ini tidak boleh berterusan,” kata perancang tengah itu.
Pada aksi semalam, skuad negara terutamanya di barisan pertahanan gagal menyerap tekanan dengan baik apabila pemain Taiwan berjaya melepaskan diri untuk mengancam kubu negara.
Malah tiga sepakan penalti terpaksa diberikan pengadil dari Vietnam, Vo Minh Tri apabila barisan pertahanan negara melakukan kesilapan menjatuhkan lawan dalam kotak penalti termasuk penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli. Namun secara peribadi, Mohd Safiq meletakkan sasaran untuk melangkah lebih jauh pada aksi kali ini terutamanya dengan pasukan serantau, Singapura menjadi penghalang untuk mara ke peringkat seterusnya.
“Kejayaan ke pusingan kedua amat menggembirakan dan saya secara peribadi, saya juga yakin kami akan melangkah lebih jauh,” katanya yang menjulang Piala AFF penghujung tahun lalu.
No comments:
Post a Comment