Pages

Tuesday, July 5, 2011

Skuad Olimpik dapat peluang layan The Blues

KUALA LUMPUR - Bagi memberikan kelonggaran skuad kendalian Datuk K. Rajagobal melakukan persiapan terbaik berdepan Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, 23 Julai ini, skuad Olimpik telah diberikan penghormatan bagi menguji gergasi Liga Perdana England, Chelsea.

Perkara itu disahkan oleh pengendalinya, Ong Kim Swee yang mendapat perkhabaran itu daripada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad.

Cukup gembira dengan berita tersebut, Kim Swee percaya perlawanan dengan Chelsea yang diaturkan pada 21 Julai itu nanti bakal memberikan pengalaman terbaru kepada para pemainnya.

''Saya telah dimaklumkan oleh FAM baru-baru ini bahawa skuad Olimpik akan menggalas tanggungjawab bagi perlawanan persahabatan dengan Chelsea dan saya cukup gembira.

''Bagi saya, ini satu peluang yang baik dan sukar dilepaskan. Saya percaya ia mampu meningkatkan keyakinan tambahan kepada pemain kerana mereka berdepan pemain-pemain bertaraf dunia.

''Kita jangan fikirkan mengenai keputusan tetapi apa yang lebih penting pendedahan kepada para pemain muda negara kerana mereka bakal bermain di tahap yang lebih tinggi pada pusingan kelayakan Olimpik selepas ini.

''Ini juga satu bonus buat mereka yang telah beraksi cemerlang dan mengekalkan tahap disiplin dalam dua perlawanan menentang Lebanon sehingga layak ke pusingan ketiga, " katanya yang dihubungi, semalam.

Skuad Harimau Malaya yang telah mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 dengan menyingkirkan Taiwan berdepan jadual ketat sekiranya mahu menentang Chelsea pada 21 Julai nanti kerana dua hari selepas itu, Singapura pula bakal menanti mereka di Stadium Jalan Besar.

Keputusan yang dilakukan oleh FAM itu ternyata tepat kerana skuad Harimau Malaya mungkin mahu bertolak lebih awal ke Singapura bagi menyesuaikan diri dengan permukaan rumput tiruan yang mungkin boleh menjadi senjata tambahan kepada tuan rumah untuk mengalahkan Malaysia.

Sebelum itu, Harimau Malaya terlebih dahulu akan turun melayani kunjungan dua lagi pasukan Liga Perdana England, Arsenal pada 13 Julai dan Liverpool (16 Julai).

Bagi perspektif skuad Olimpik, ia boleh dianggap persiapan tambahan selain berkelana selama sebulan di Slovakia dengan 10 hingga 12 perlawanan persahabatan telah diaturkan dan dua perlawanan menentang skuad Olimpik Austria dan Republik Czech. Mereka dijangka bertolak pada 23 Julai ini.

Selain itu, Kim Swee berkata, dia akan membuat penilaian kembali pemain yang akan dibawa ke Slovakia dan pemilihan pemain untuk menganggotai skuad Olimpik.

''Saya mempunyai kebebasan untuk melakukan penukaran pemain kerana senarai yang ditetapkan sebelum ini boleh ditukar pada bila-bila masa, selepas perlawanan terakhir Liga Super 6 Julai ini, saya akan memanggil semua pemain menjalani latihan pusat," katanya.

Namun, ditanya adakah terdapat muka baru untuk diserapkan dalam skuad Olimpik, Kim Swee berkata: ''Masih belum pasti, saya perlu berbincang dengan barisan jurulatih sebelum membuat keputusan tertentu."

No comments:

Post a Comment