Pages

Friday, April 15, 2011

Felda resah

BARISAN pemain Felda United perlu bangkit dengan menamatkan episod derita selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut di tangan Kelantan dan Selangor di dalam saingan Liga Super sebelum ini.
Jurulatihnya, E Elavarasan jelas mengharapkan anak-anak buahnya kembali bangkit apabila berdepan satu lagi tugas sukar menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam ini.

“Saya memang mengharapkan kebangkitan yang positif selepas dua kekalahan itu. Malah kita akan menentang Terengganu dengan kehadiran lima pemain utama yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan dan penggantungan ketika menentang Selangor pada Selasa lalu sekali gus membolehkan saya menurunkan barisan terkuat,” katanya.


Jurulatih yang membimbing pasukan berstatus kelab itu menjuarai Liga Perdana pada musim lalu itu berkata tiada kelemahan ketara di dalam pasukannya walaupun tewas 6-0 kepada Kelantan dan 1-0 kepada Selangor.

“Ketika menentang Kelantan, kad merah yang dilayangkan mempengaruhi permainan pasukan manakala ketiadaan lima pemain utama seperti Azi Shahril Azmi dan Liew Kit Kong sedikit sebanyak merencatkan pasukan ketika melayan kunjungan juara bertahan Liga Super, Selangor,” katanya.


Elavarasan bagaimanapun tidak berani meramalkan pasukannya bakal mencipta kemenangan mahupun mencatatkan seri berikutan prestasi yang semakin konsisten dipamerkan Terengganu yang kini menghuni tangga ketiga liga di belakang Selangor dan Perak.




“Mereka jelas berada pada tahap terbaik sekarang terutamanya dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” katanya selain mempunyai barisan pemain berkualiti terutamanya dengan kehadiran dua pemain kebangsaan iaitu Ashaari Shamsudin dan Mohd Sharbinee Allawee Ramli,” katanya.

Felda United yang pertama kali beraksi di dalam Liga Super pada musim ini berada di dalam prestasi yang baik pada awal musim dengan mencatatkan beberapa kemenangan dan keputusan seri sehingga membolehkan mereka berada di tempat kedua Liga Super.



Namun sejak kebelakangan ini prestasi mereka tidak menentu sehingga menyebabkan ia jatuh ke tangga keenam liga dengan mengumpul 15 mata daripada 11 perlawanan.

No comments:

Post a Comment