Tuesday, July 5, 2011

Chih-Tsung tetap bangga kemampuan skuadnya

RENTETAN kejayaan ketua jurulatih negara, K Rajagobal hampir menemui titik noktah di bumi Taiwan malam kelmarin.

Mujur peraturan jaringan gol di tempat lawan membolehkan impian dan harapan untuk menyaksikan Harimau Malaya melangkah ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia menjadi penyelamat.

Ketua jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung yang kecewa disingkirkan Harimau Malaya tetap positif di atas keupayaan skuad amaturnya mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas lawan bergelar juara rantau Asia Tenggara.

“Kami sudah mempamerkan aksi terbaik namun agak sukar selepas ketinggalan satu gol pada perlawanan pertama dan lawan meledak gol awal di sini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam kelmarin.

Chih-Tsung bagaimanapun gembira apabila 16,768 penonton hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Taipei dengan meramalkan masa depan bola sepak di negara itu akan terus berkembang. “Besbol dan bola keranjang adalah sukan utama di negara ini,” katanya. 

Perlawanan bola sepak di Taiwan biasanya tidak mendapat sambutan dengan kurang 5,000 penonton hadir untuk menyaksikan saingan liga tempatan walaupun tidak dikenakan sebarang bayaran.

Namun untuk perlawanan menentang Malaysia malam kelmarin, Persatuan Bola Sepak Chinese Taipei (CTFA) bertindak lebih proaktif apabila mengagihkan jersi kebangsaan negara itu secara percuma kepada peminat selain masuk secara percuma seperti kebiasaannya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...