KECEDERAAN bahu penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat dimanfaatkan sepenuhnya, Mohd Sharbinee Allawee Ramli untuk mempamerkan aksi terbaik dalam usaha merebut kembali posisi terakhir dalam skuad Harimau Malaya.
Penjaga gol dari Terengganu itu nyata sudah memulihkan keyakinannya apabila mempamerkan aksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan termasuk menyelamatkan satu daripada tiga sepakan penalti ketika perlawanan kedua menentang Taiwan, malam kelmarin.
“Ini adalah satu sejarah sepanjang saya bermain bola sepak (secara profesional). Tidak pernah satu perlawanan tiga penalti. Namun saya gembira kerana berjaya menyelamatkan salah satu daripadanya.
“Namun keadaan menuju ke babak terakhir perlawanan memang tegang dengan lawan melancarkan serangan bertali-arus kerana mereka memerlukan satu gol lagi, namun percaturan jurulatih memasukkan Mohd Muslim (Ahmad) pada babak kedua berjaya mengukuhkan barisan pertahanan,” katanya.
Mengenai kedudukannya selaku penjaga gol utama, Mohd Sharbinee berkata, semuanya terpulang kepada ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang memiliki Mohd Khairul Fahmi yang kelihatan semakin pulih selain seorang lagi penjaga gol, Mohd Nasril Nourdin di bangku simpanan.
“Keputusan itu bergantung sepenuhnya kepada jurulatih namun sebagai seorang pemain, saya sentiasa perlu bersedia sekiranya diperlukan untuk mengawal gawang negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment