Sunday, September 4, 2011

Kecederaan tak luntur semangat Norhadi bantu Red Warriors

  NORHADI  (kiri) dibawa menaiki ambulans selepas kecederaan  kekita beraksi di  Universiade baru-baru ini.
NORHADI (kiri) dibawa menaiki ambulans selepas kecederaan kekita beraksi di Universiade baru-baru ini.

DI sebalik kecederaan paru-paru yang dialami ketika menentang Kanada di Sukan Universiti Dunia (Universiade), di Shenzen, China baru-baru ini, penjaga gol muda negara Norhadi Ubaidillah masih bersemangat untuk turun beraksi membantu Kelantan dalam saingan Piala Malaysia yang bermula Selasa depan. 

Semangat anak kelahiran Bachok, Kelantan ini mungkin bertambah selepas menyaksikan The Red Warriors mengalami masalah kekurangan penjaga gol selepas Khairul Fahmi Che Mat tidak dilepaskan oleh pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee.

Ekoran ketiadaan Khairul Fahmi, Kelantan kini hanya bergantung kepada Shahrizan Ismail selepas Norhadi dan penjaga gol veteran, Halim Napi turut mengalami kecederaan.
“Saya masih berharap kecederaan yang dialami ketika menentang Kanada lalu dapat pulih dengan cepat bagi membantu Kelantan untuk mengekalkan trofi kejuaraan,” kata Norhadi yang merupakan penjaga gol ketiga Kelantan musim ini. 

Norhadi kini berehat di rumah selepas mengalami kecederaan yang dialami ketika bertembung dengan penyerang Kanada dalam perlawanan penentuan tempat ke sembilan dan 10 kejohanan Universiade yang menyaksikan skuad negara tewas 1-5. 

Katanya, dia dinasihatkan supaya berehat sekurang-kurangnya dua bulan namun tetap mahu melihat kejayaan Kelantan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu. 

“Andai kecederaan yang dialami tidak pulih dalam tempoh terdekat, saya mendoakan kejayaan pasukan,” katanya.

Kelantan terpaksa gigit jari





FAM arah Apek untuk kekal beraksi bersama skuad Olimpik 

PENJAGA gol, Khairul Fahmi Che Mat diarah untuk kekal beraksi bersama skuad Olimpik atas titah Pengerusi Jawatankuasa Skuad Kebangsaan yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata keputusan itu dibuat Sultan Ahmad Shah lewat petang semalam selepas kemelut yang timbul berhubung penjaga gol terbabit dimaklumkan kepada baginda.
"FAM sedia maklum dan sudah menerima khidmat pesanan ringkas daripada Presiden Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan sudah menghantar surat permohonan mengenai khidmat Khairul Fahmi. 

"Apapun permohonan ini satu perkara yang sensitif dan ia sudah dipersembahkan kepada Sultan Ahmad Shah untuk makluman baginda. 

"Lewat petang tadi (semalam) baginda menitahkan Khairul Fahmi akan kekal menjalani latihan dengan skuad Olimpik bagi persiapan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 zon Asia di Fukuoka, Jepun 21 September ini," katanya pada sidang media di Kuantan semalam. 

Azuddin berkata, bagaimanapun FAM akan menimbang pilihan lain termasuk meminjamkan salah seorang penjaga gol dalam skuad Olimpik (selain Khairul Fahmi) kepada skuad The Red Warriors bagi menghadapi Piala Malaysia. 
Akhbar kelmarin melaporkan jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee enggan melepaskan Khairul Fahmi atau lebih mesra dipanggil Apek menyertai skuad Kelantan untuk saingan Piala Malaysia bagi membolehkan penjaga gol itu terus bersama skuad kendaliannya. 

Malah Apek sendiri yang agak terganggu mindanya memutuskan untuk mengutamakan skuad negara. 

"Saya akur tugas dengan kedua-dua pasukan (negara dan Kelantan) begitu penting. Namun bagi saya misi negara lebih penting dan mahu membantu meningkatkan mutu bola sepak negara," katanya. 

Ketika ini Kelantan hanya ada seorang penjaga gol iaitu Mohd Shahrizan Ismail selepas khidmat penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi dan penjaga gol ketiga, Norhadi Ubaidillah hampir pasti diketepikan dalam kempen Piala Malaysia musim ini setelah mengalami kecederaan.

Pinda jadual

Saingan suku/separuh akhir Piala Malaysia mungkin diubah 

JADUAL perlawanan suku akhir atau separuh akhir Piala Malaysia musim ini mungkin dipinda bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad Harimau Malaya menentang skuad Piala Dunia Australia yang dijadualkan 7 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata cadangan itu akan dibawa pada mesyuarat JPKT, Jumaat ini bagi berlaku adil terhadap pasukan yang layak ke suku akhir atau separuh akhir Piala Malaysia tetapi memiliki ramai pemain yang beraksi dengan skuad kebangsaan.
Hamidin berkata, memandangkan tarikh perlawanan persahabatan itu yang begitu hampir dengan perlawanan suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia, ada kemungkinan beberapa pemain yang mewakili skuad kebangsaan tidak akan dapat beraksi untuk pasukan masing-masing dalam saingan Piala Malaysia kerana terpaksa menghadiri latihan pusat beberapa hari menjelang perlawanan persahabatan itu dan memerlukan rehat seketika selepas persahabatan itu sebelum kembali bersama pasukan masing-masing. 

Menurutnya, situasi itu mungkin akan menjejaskan cabaran pasukan yang mempunyai ramai pemainnya mewakili skuad kebangsaan. 

Justeru, kita akan cuba memutuskan sama ada meminda jadual pertandingan Piala Malaysia atau pasukan yang terbabit terpaksa menerima hakikat beraksi tanpa pemain mereka yang mewakili skuad kebangsaan,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Shah Alam, Selangor, semalam. 

Perlawanan persahabatan menentang Australia itu atas persetujuan FAM menerima jemputan Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) ke negara itu bagi mengadakan perlawanan persahabatan di Sydney, 7 Oktober ini. 


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang mengesahkan perkara itu 26 Ogos lalu berkata, keputusan untuk menerima jemputan FFA itu dicapai selepas mendapat perkenan presiden, Sultan Ahmad Shah dan mengadakan perbincangan bersama jurulatih, Datuk K Rajagobal dan pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal. 

Hamidin berkata, bagi mengelakkan masalah serupa daripada berulang, pada mesyuarat JKPT itu nanti, pihaknya akan mencadangkan supaya semua jadual perlawanan persahabatan skuad negara pada masa akan datang disusun rapi lebih awal dan dipastikan tidak bertembung dengan perlawanan liga tempatan.

Pemain diminta rujuk pengurusan pasukan – FAM


KUANTAN - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu dua pemain yang akan dipanggil untuk mengikuti sesi latihan ke England merujuk kepada pengurusan pasukan masing-masing sebelum berhajat ke sana.

Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Queen Park Rangers (QPR) dan Cardiff City perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada pasukan yang diwakili Safiq Rahim dan Safee Sali sekarang.

“Setakat ini tidak ada pihak daripada QPR atau Cardiff mengemukakan permohonan rasmi dengan FAM berhubung perkara tersebut. Saya hanya mendapat berita ini daripada media.

Bagaimanapun, saya menyambut baik berita ini kerana usaha mereka memberi pendedahan kepada pemain kita di kelab Liga Perdana England (EPL),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, QPR dan Cardiff perlu mengikut saluran yang betul dan mematuhi syarat-syarat tertentu kerana setiap pemain adalah hak milik pasukan negeri atau kelab yang mereka wakili sekarang.

“Dalam isu Safiq dan Safee, kedua-dua pengurusan pasukan tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai tawaran tersebut.

“Saya merayu dan berharap QPR serta Cardiff membuat satu tindakan yang tepat seperti menghantar surat kepada FAM berhubung perkara ini dan ia masih belum terlambat,” jelasnya.

Tambahnya, FAM berhak dan mempunyai kuasa menyekat pemergian kedua-dua pemain itu kerana mereka terikat dengan kontrak bersama pasukan masing-masing.

“Masih belum terlambat untuk mereka memilih jalan yang betul dan bukan susah untuk membuat sepucuk surat menyatakan tawaran berkenaan.

“Sehingga ke saat ini apa yang boleh saya katakan bahawa ia (penghijrahan) tidak akan berlaku,” jelasnya.

Katanya, beliau amat menyanjung tinggi usaha tersebut, tetapi ia perlu dilakukan dengan betul dan secara rasmi agar FAM dapat sama-sama membantu.

Devan yakin halang T-Team


KUALA LUMPUR - Tewas dua kali pada saingan Liga Super tidak mengundang rasa gerun jurulatih Selangor, K. Devan terhadap kekuatan yang ada pada T-Team menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa depan.

Biarpun mungkin sudah ada peminat melabelkan pasukan T-Team bagaikan pasukan badi kepada Red Giants, Devan masih yakin rekod kurang baik ketika berdepan skuad berstatus kelab dari Pantai Timur itu pada tahun ini mampu diubah.

Bersemangat mahu menghalang pasukan tuan rumah daripada meraih kemenangan, dia menyifatkan perlawanan dengan T-Team adalah antara yang terpenting dalam saingan peringkat kumpulan di samping tidak mahu merendahkan cabaran Kuala Lumpur dan PDRM.

''Jika kita berjaya mencuri satu mata atau mendapat kemenangan ke atas T-Team pada perlawanan ini, ia mungkin akan menjadi titik tolak kepada peluang kita untuk muncul juara kumpulan.

''T-Team adalah pencabar kita yang terkuat dalam Kumpulan D dan pemain harus sedar situasi ini dengan memberikan fokus dan menampilkan prestasi sebenar bagi meraih kemenangan, " katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menamakan Zairo Anuar Zailani sebagai pemain T-Team yang perlu diberikan perhatian, Devan mengakui dia tidak mempunyai strategi tersendiri bagi mengunci tonggak berpengalaman itu selain dua lagi bintang T-Team, Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad.

''Zairo antara pemain yang menjadi watak utama dalam pasukan, dia merupakan perancang kepada pasukan.

''Dua lagi bekas pemain kebangsaan, Indra Putra dan Nor Farhan pula berkemampuan menjaringkan gol dalam situasi tidak diduga dan mampu mengubah keputusan perlawanan.

''Walaupun begitu, saya tidak akan mengarahkan pemain memberikan perhatian khusus kepada mereka bertiga selain beberapa arahan spesifik tertentu," katanya.

Menyentuh mengenai persiapan pasukan, dia amat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain sepanjang tujuh perlawanan persahabatan yang diaturkan selepas saingan Liga Super berakhir.

''Ada peningkatan permainan berdasarkan apa yang saya perhatikan daripada tujuh perlawanan yang mana kita menang empat kali, seri dua kali dan kalah sekali. Harap petanda positif ini dapat diteruskan dalam saingan Piala Malaysia, " katanya.

Selain itu, Devan melihat persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama pada saingan Piala Malaysia lebih sengit berikutan kehadiran beberapa pemain pinjaman, malah dia turut membayangkan mungkin akan membuat kejutan meletakkan G. Jeevanathan sebagai penjaga gol utama Red Giants sepanjang saingan Piala Malaysia.

''Buat masa ini Jeeva yang dipinjamkan dari USM FC menunjukkan satu permainan menyakinkan namun Iqbal Suhaimi turut kembali mempamerkan peningkatan positif," ujarnya

Saturday, September 3, 2011

‘Kami bukan pasukan pelengkap’


“KAMI bukan pasukan pelengkap!” Itu amaran dilaung jurulatih Sime Darby FC, Ismail Zakaria menjelang saingan Piala Malaysia yang bakal bermula 6 September ini.

Tampil selaku pasukan dilabel paling lemah dalam Kumpulan B, Ismail menegaskan, anak buahnya tidak rela untuk memberi laluan mudah kepada lawan yang rata-ratanya mempunyai reputasi hebat.

Terengganu pasti menjadi pasukan pilihan selepas memenangi Piala FA menewaskan Kelantan selain konsisten pada saingan Liga Super manakala Selangor PKNS muncul juara Liga Perdana musim ini.

Melihat undian dalam kumpulan maut itu, Ismail mahu anak buahnya menghormati kehebatan lawan tetapi ia bukan bermakna mereka akan ‘menghormati’ lawan apabila turun beraksi pada saingan Piala Malaysia.

“Jangan anggap kami sebagai pasukan pelengkap. Kami ada strategi tersendiri untuk cuba mencatat keputusan terbaik pada setiap perlawanan.

“Saya mahu setiap pemain menggunakan setiap perlawanan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman dan pada masa sama, cuba memberi saingan sengit kepada lawan,” katanya.



Keyakinan Ismail itu wajar diambil kira setiap pasukan Kumpulan B kerana mereka sudah membuktikan mampu menundukkan pasukan lebih hebat apabila menewaskan Pahang menerusi agregat 6-0 pada perlawanan kalah mati sebelum mengesahkan tempat ke Piala Malaysia.

Polis tetap ‘saman’ T-Team, Kuala Lumpur, Selangor

KEHADIRAN tiga pasukan Liga Super – Selangor, Kuala Lumpur dan T-Team dalam Kumpulan D, Piala Malaysia bermula Selasa ini jelas tidak melemahkan semangat skuad Polis, musim ini. 

“Walaupun kami dari Liga Perdana pasukan tidak akan mudah mengaku kalah sebaliknya akan memberi tentangan sengit dalam setiap pertemuan,” kata jurulatih pasukan, K Thayanathan.

Katanya, pengalaman bermain dalam Liga Super dua musim lalu dijadikan panduan memandangkan kebanyakan pemain pernah beraksi dalam liga berkenaan pada 2008 dan 2009.
“Pengalaman ini boleh membantu kami bagi menghadapi lawan lebih berpengalaman,” tambahnya. 

Polis sudah menguji kesebelasannya menentang pasukan seperti Perak dan Kelantan dan perlawanan ini membantunya menilai tahap kemampuan barisan didiknya. 

Dalam perlawanan persahabatan dengan Perak, pasukan tewas 5-0 dan kalah tipis kepada Kelantan, 1-0 dan menang 2-1 mengatasi juara baru Liga perdana, Selangor PKNS. 

“Selangor berbeza memandangkan ia pasukan pilihan dalam kejohanan ini. Kami menghormati mereka tetapi tidak akan memberi laluan mudah,” kata Thayanathan. 
Antara pemain sandaran musim ini adalah Wilfred Jabun, Fauzi Majid, Nazrul Effendy Mohamad Noor dan Eddy Gapil.

'Red Warriors kena terima kenyataan'

KHAIRUL Fahmi (kiri) menjalani latihan bersama rakan seposisi (dari kiri)  Mohd Izham Tarmizi, Muhammad Zamir Selamat dan Sasikumar  di Wisma FAM, kelmarin.
KHAIRUL Fahmi (kiri) menjalani latihan bersama rakan seposisi (dari kiri) Mohd Izham Tarmizi, Muhammad Zamir Selamat dan Sasikumar di Wisma FAM, kelmarin.



Khairul Fahmi ada tugas lebih penting: Kim Swee 

CABARAN Kelantan dalam kancah Piala Malaysia, musim ini tersentak apabila penjaga gol utama mereka, Khairul Fahmi Che Mat tidak dibenarkan beraksi ketika dinilai peranannya lebih penting untuk skuad Olimpik.

Ini berikutan keputusan jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee enggan melepaskan ayam tambatan pasukan itu beraksi apabila kejohanan paling berprestij negara itu bermula Selasa.
Pengendali itu beranggapan dia ada misi lebih penting mencanang pasukan mantap berdepan Jepun pada perlawanan pertama pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 zon Asia di Fukuoka, Jepun, pada 21 September ini. 

“Saya faham situasi sesetengah pasukan termasuk Kelantan yang kekurangan pemain, namun buat masa ini semua pemain dalam pasukan Olimpik negara mempunyai misi yang lebih penting,” katanya. 

Dia menambah Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu mencari alternatif mendapatkan penjaga gol lain. Hujahnya pemain dalam skuad sudah berkorban selama sebulan terbabit dalam perlawanan persahabatan di Slovakia dan adalah tidak wajar pemain meninggalkan latihan skuad begitu sahaja. 

Kelantan, selaku juara bertahan Piala Malaysia, diundi bersama Johor FC, Kuala Lumpur, Felda United dan Sarawak dalam Kumpulan C. 
Kelantan sebelum ini dilaporkan bakal kehilangan dua penjaga gol serentak iaitu penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi dan Norhadi Ubaidillah kerana masing-masing dibelenggu kecederaan. 

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tidak cepat melatah dan menganggap perkara itu tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada cabaran The Red Warriors. 

“Ketiadaannya (Apek) tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kami. Kami masih ada Mat Shah malah kami juga akan memanggil penjaga gol skuad Piala Presiden menyertai latihan bersama pemain senior dan sedia menggunakan khidmat mereka sekiranya keadaan terpaksa dalam kempen Piala Malaysia kali ini,” katanya.

Demi negara!

pix_gal0
Apek anggap misi skuad Olimpik lebih penting

PADA saat ini sumbangannya amat diperlukan dalam dua pasukan - skuad Olimpik dan Kelantan - tetapi Khairul Fahmi Che Mat (gambar) lebih mengutamakan skuad negara ketika mindanya berkocak sebelum membuat satu keputusan tepat, semalam.

“Saya akur tugas dengan kedua-dua pasukan (negara dan Kelantan) begitu penting. Namun bagi saya misi negara lebih penting dan mahu membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.
“Apa yang pasti fokus saya adalah kepada skuad negara. Selepas semuanya beres baru saya kembali mengalihkan fokus membantu Kelantan. Saya harap Kelantan mampu mencipta kejayaan tanpa saya,” kata penjaga gol utama negara itu yang lebih mesra dengan panggilan Apek selepas sesi latihan di Wisma FAM, semalam.

Dia tidak akan bersama Kelantan untuk empat perlawanan awal Piala Malaysia, termasuk pembuka tirai Kumpulan C menentang Sarawak,Selasa ini untuk memberi tumpuan ke arah perlawanan pusingan ketiga kelayakan Olimpik menentang Jepun pada 21 September ini.

Kelmarin, ketua jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee enggan melepaskan Khairul Fahmi menyertai skuad The Red Warriors untuk saingan Piala Malaysia membolehkan penjaga gol itu terus bersama skuad kendaliannya.

Apek masih percaya Kelantan mampu mencipta sesuatu membanggakan walaupun tanpa kelibatnya di pintu gol pasukan kali ini. 
“Saya rasa Kelantan tidak ada masalah kerana bola sepak bukan permainan individu. Kelantan masih memiliki Mat Shah (Shahrizan Ismail) yang lebih berpengalaman daripada saya,” katanya.

Friday, September 2, 2011

T-Team mencari penawar duka


PERASAAN serba salah yang dirasai pengurusan T-Team apabila mereka dilabel sebagai ‘perampas’ ekoran tindakan membawa masuk tiga hero Kelantan ke Terengganu awal musim ini masih segar dalam ingatan.
Malah, kehadiran Indra Putra Mahayudin, Azizi Matt Rose dan Mohd. Norfarhan Muhammad turut menimbulkan sengketa dalaman melibatkan penyokong kedua-dua pasukan.
Perang psikologi berlaku di atas padang melibatkan semua pemain, sementara para penyokong terus bersikap fanatik sehingga mencetuskan suasana tegang di luar stadium.
Kesudahannya, T-Team diberi ‘lesen sah’ untuk menggunakan khidmat ketiga-tiga pemain Kelantan itu.
Namun, ibarat indah khabar dari rupa, kehadiran tiga bintang itu gagal dibayar dengan nilai kejayaan yang sepatutnya diraih T-Team di peringkat saingan Liga Super mahupun Piala FA.
Situasi itu sekali gus mencetuskan tanda tanya sehingga menjejaskan periuk nasi ketua jurulatihnya, Yunus Alif (gambar kecil) yang diarahkan berehat buat seketika.
Kemelut makin runcing sehinggalah campur tangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang memberi kata dua berbaur amaran kepada pengurusan dan pemain T-Team.
Kata Ahmad, T-Team perlu bangkit dan buktikan bahawa mereka masih relevan beraksi dalam Liga Malaysia atau pun, berdepan pembubaran pada masa akan datang.
“Kita memberi tempoh setahun kepada pasukan T-Team untuk memperbaiki mutu permainan mereka atau pasukan itu dibubarkan,” katanya.
Dengan amaran keras itu, pengurusan T-Team akhirnya akur dan kembali memberi kepercayaan kepada Yunus untuk membimbing pasukan berstatus kelab itu.
Di bahu Yunus kini hanya satu matlamat iaitu mengembalikan maruah T-Team agar terus dihormati pencabar mereka, khususnya dalam saingan Piala Malaysia.
“Semua tahu apa yang berlaku kepada T-Team musim ini. Bermula dengan isu perpindahan pemain sehingga kepada isu jurulatih, ia jelas memberi kesan kepada moral mahupun semangat pemain.
“Namun kami masih berpeluang untuk membersihkan kontroversi ini dan saingan Piala Malaysia yang bakal bermula pada minggu pertama selepas Aidilfitiri akan menjadi medan terbaik buat kami untuk membuktikannya,” jelas Yunus kepada Kosmo! baru-baru ini.
Untuk rekod, T-Team hanya menduduki tangga kesembilan dalam saingan Liga Super musim ini dan tersekat di pusingan pertama kempen Piala FA selepas tewas kepada Kelantan.
Bagaimanapun, pencapaian membanggakan tetap dicatat pasukan itu apabila berjaya menewaskan bekas juara, Selangor bagi kedua-dua perlawanan Liga Super selain membenam Kelantan di Kuala Terengganu.
“Tahun ini adalah tahun kedua kami beraksi dalam Piala Malaysia dan sudah pasti saya tidak mahu pasukan T-Team hanya dilabel sebagai pasukan penumpang dalam pertandingan berprestij ini.
“Kami memiliki kombinasi pemain yang hebat serta berpengalaman dan saya harap kami mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan-pasukan lain,” katanya lagi.

INDRA (kanan) menjadi taruhan terbaik bagi mengetuai jentera serangan T-Team.


Mengulas mengenai percaturan pada kempen Piala Malaysia kali ini, Yunus mengakui peluang seimbang dimiliki kesemua empat pasukan dalam Kumpulan D untuk mara ke pusingan seterusnya.
Katanya, Selangor mungkin diletakkan sebagai pilihan sementara Kuala Lumpur dan PDRM serta T-Team memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi.
“Kami pernah mengalahkan Selangor dalam Liga Super dan tidak mustahil kami melakukannya dalam Piala Malaysia. Kuala Lumpur pula merupakan pasukan yang sedang meningkat naik sementara kekuatan PDRM sukar untuk kami ramal,” ujarnya.
Sebagai persediaan, kata Yunus, pengurusan telah membawa masuk beberapa pemain pinjaman bagi memperkuat cabaran T-Team termasuklah dengan melamar penjaring terbanyak Liga Perdana daripada pasukan MP Muar, Mohd. Fitri Omar.
Selain Fitri, T-Team turut ‘mengimport’ dua lagi pemain iaitu penjaga gol Pos Malaysia, Mohd. Jibrail Kamaron Baharin dan Mohd. Faiz Subri dari Perlis.
“Berdasarkan sesi latihan dan perlawanan persahabatan baru-baru ini, saya cukup bangga dengan keserasian yang ditunjukkan semua pemain baharu ini,” kata Yunus.
Sementara itu, kapten T-Team Rosdi Talib mengharapkan tuah akan memihak kepada pasukannya pada penampilan kedua dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Jelas pemain pertahanan itu, T-Team sebenarnya mempunyai rangkaian pemain yang hebat dengan adanya beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Azizi, Indra, Subri, Farhan.
“Namun kami tetap ada kelemahan dan kelemahan itu yang perlu kami selesaikan. Mungkin juga kami masih belum dapat mencari keserasian.
“Saya hanya berharap agar para pemain dapat memberikan komitmen seratus peratus kepada pasukan bagi membalas jasa pihak pengurusan yang terus memberi kepercayaan kepada kami,” katanya.

Selangor buru kemenangan perlawanan pertama


SELANGOR perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan pertama bagi memastikan buruan Piala Malaysia berada dalam landasan tepat dan tidak bergantung kepada pasukan lain untuk layak ke suku akhir.

Hakikat itu diakui pemain tengah, Mohd Safiq Rahim yang melihatnya satu perlawanan penting buat skuad Merah Kuning untuk mencatatkan keputusan positif.

“Pada kejohanan membabitkan aksi kumpulan seperti ini, keputusan positif adalah penting untuk menaikkan moral pasukan bagi menentang pasukan lain selepas itu,” katanya yang juga kapten skuad Harimau Malaya.


Selasa ini, juara 32 kali Piala Malaysia itu akan membuka tirai saingan menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan berstatus kelab yang menewaskan mereka dalam dua perlawanan Liga Super.

Cabaran selepas itu adalah menentang PDRM dan Kuala Lumpur bagi melengkapkan pusingan pertama sebelum anak buah jurulatih K Devan itu meneruskan pusingan kedua yang bermula 17 September untuk menentukan dua pasukan teratas yang layak ke suku akhir.

Perancang tengah berusia 24 tahun yang menjulang Piala AFF penghujung tahun lalu itu juga bertekad meraih kejuaraan terakhir yang menjadi rebutan musim ini selepas kegagalan Selangor meraih sebarang kejuaraan sebelum ini.



“Sebagai pemain saya memang mengimpikan piala ini selepas gagal melakukannya pada tahun lalu. Saya akan memberikan aksi terbaik jika diturunkan,” katanya yang kini terpaksa bersaing hebat bagi merebut kedudukan dalam kesebelasan utama yang dilihat mampu diisi beberapa pemain utama lain.

Malah dia mengharapkan mana-mana penjaga gol diberikan peluang dapat mempamerkan persembahan terbaik bagi memberi keyakinan kepada pemain lain dalam menghadapi lawan.

Badri akui tekanan amat tinggi


TURUN selaku juara bertahan Piala Malaysia sememangnya satu tekanan yang amat besar buat barisan pemain Red Warriors.

Hakikat itu diakui kapten skuad gergasi dari Pantai Timur itu, Mohd Badri Radzi yang kini menggalas harapan tinggi peminat Kelantan dan pihak pengurusan bola sepak Che Siti Wan Kembang itu.

Apatah lagi rekod menunjukkan hanya lima pasukan yang berjaya melakukannya sejak piala prestij itu mula dipertandingkan pada 1921 dengan Kedah di bawah bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah menjadi pasukan terakhir yang mempamerkan kehebatan mempertahankannya pada musim 2006/07 dan 2007/08.


“Memang tekanannya amat tinggi selepas kejayaan memenangi Piala Malaysia buat kali pertama dan tahun ini turun untuk mempertahankannya. Kami akan cuba mempamerkan aksi terbaik pada saingan yang bermula Selasa ini,” kata perancang tengah berusia 29 tahun itu.

Malah pemain yang dikenali sebagai ‘Piya’ di kalangan peminat Red Warriors menganggap tugas itu semakin sukar dengan undian Kumpulan C yang membariskan Johor FC, Felda United dan Sarawak walaupun dilabel sebagai pasukan pilihan untuk mara ke suku akhir selaku juara kumpulan.

“Pada pandangan saya ancaman terbesar adalah Felda United. Walaupun kami menjaringkan sembilan gol dalam dua pertemuan Liga Super, situasi dalam pertandingan Piala Malaysia berlainan malah kelab terbabit mempunyai ramai pemain yang pernah beraksi di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan.



“Kami juga tetap mengambil sikap berwaspada dengan Johor FC serta kekuatan naib juara Liga Perdana, Sarawak yang masih menjadi misteri. Yang penting kami tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan,” katanya.

Kelantan menjulang kejuaraan pertama Piala Malaysia musim lalu di bawah kendalian bekas jurulatihnya, B Sathianathan selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

Red Warriors kali ini turun dengan pengendali berbeza iaitu Datuk M Karathu yang membimbing mereka menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah selain bergelar naib juara Piala FA musim ini.

FELDA sasar slot suku akhir

Elavarasan mula canang cabaran barisan walau sedar ranjau agak sukar

PASUKAN berstatus kelab, FELDA United dilihat mampu memberi tekanan dalam saingan Kumpulan C dan jurulatih pasukan, E Elavarasan sudah mula mencanang cabaran barisannya memburu slot ke saingan suku akhir Piala Malaysia, musim ini. 

“Kami mahu menjadi lapan pasukan terbaik ke suku akhir walaupun sedar ranjau agak sukar, terutama menentang Kelantan.

“Peluang FELDA banyak bergantung kepada dua perlawanan iaitu bertemu Johor FC dan Sarawak sebelum menentang Kelantan,” katanya Elavarasan yang mengharapkan kemenangan dalam dua perlawanan itu jika tidak mahu tersingkir.
Dengan bekalan pemain berstatus senior seperti bekas penggempur skuad kebangsaan, Nizarudin Yusof dan bekas pemain skuad B-23 kebangsaan, Juzaili Sameon, pasukan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 19 Januari 2007 itu meminjam pemain Harimau Muda, D Saarvindran (Harimau Muda B), K Ravindran dan S Sivanesan (Harimau Muda A) bagi membantu menghadapi saingan kempen Piala Malaysia 6 September ini. 

“Saarvindran dan Ravindran sudah dapat menyesuaikan diri. Sivanesan yang cedera sebelum ini dilihat sudah pulih dan yakin mereka dapat membantu pasukan,” katanya yang bakal menurunkan Sivanesan pada perlawanan pembuka tirai bertemu Johor FC di gelanggang lawan.

2 kemenangan awal tentukan nasib Felda


KUALA LUMPUR - Menyedari reputasi Kelantan selaku juara bertahan Piala Malaysia dan Liga Super 2011, jurulatih E. Elavarasan memilih untuk menyasarkan tempat kedua Kumpulan C buat Felda United sekali gus tiket ke suku akhir.

Namun, jurulatih Felda United itu tetap tidak mahu memandang rendah keupayaan dua lagi pasukan yang diundi dalam kumpulan sama iaitu Johor FC dan Sarawak.

Katanya, Johor FC dan Sarawak juga mempunyai kemampuan melakukan kejutan di samping bakal menjadi pencabar utama untuk pasukannya memburu tempat selaku naib juara Kumpulan C.

"Johor FC mempunyai kelebihan mereka tersendiri, malah Sarawak juga adalah satu pasukan yang tidak boleh kita anggap mudah.

"Untuk mendapatkan tempat kedua kami perlu bekerja keras dalam saingan Piala Malaysia ini," kata Elavarasan.

Tambah Elavarasan, tumpuan yang perlu diberikan oleh pasukannya pada saingan Piala Malaysia ialah memberikan persembahan terbaik pada dua perlawanan awal peringkat kumpulan.

"Biasanya dalam dua perlawanan awal kita sudah boleh tahu keupayaan pasukan itu untuk melangkah ke perlawanan suku akhir.

"Kami amat berharap mampu memberi saingan terbaik kerana setiap pasukan yang beraksi mempunyai peluang untuk pergi lebih jauh," jelasnya.

Kim Swee sedia hadapi Samurai Biru



KUALA LUMPUR - Tinggal kurang sebulan lagi pertemuan sulung pusingan akhir kelayakan menentang skuad Olimpik Jepun, pengendali pasukan Olimpik negara, Ong Kim Swee semakin sibuk merangka strategi ampuh bagi menghadapi amukan Samurai Biru di bumi matahari terbit itu pada 21 September ini.

Biarpun mengakui masih belum menganalisis sepenuhnya kekuatan dan kelemahan yang ada pada Jepun, dia sama sekali tidak akan gentar dengan reputasi tinggi pasukan gergasi Asia tersebut.

"Sebenarnya saya belum sempat lagi meneliti rakaman aksi Jepun semasa menentang Mesir (pasukan Olimpik), baru-baru ini yang mana mereka menang 2-1.

"Berdasarkan keputusan sahaja, ia tidak mencukupi buat saya mendapatkan gambaran sebenar mengenai Jepun, dalam masa terdekat ini saya mahu mencari rakaman video perlawanan yang membabitkan mereka semasa pusingan kedua kelayakan menentang Kuwait tempoh hari.

"Saya akan ke Rumah AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) bagi mendapatkan rakaman video tersebut supaya mengetahui serba sedikit gaya permainan mereka," katanya yang dihubungi, semalam.

Walaupun begitu, dia secara jujur mengakui Jepun berada satu kelas yang lebih tinggi berbanding Malaysia kerana semua pemainnya mempunyai pengalaman beraksi di Liga-J di samping turut mempunyai beberapa pemain berkelana di liga sekitar Eropah.

"Saya difahamkan Ryo Miyaichi yang sedang bersama dengan Arsenal berkemungkinan besar akan disenaraikan, di samping dua atau tiga pemain lain yang bermain di Eropah.

"Jika mahu dibuat perbandingan, kita memang ketinggalan kepada mereka. Ini bukan bermakna saya takut untuk terima kekalahan, tetapi apa yang cuma saya boleh janjikan, pemain-pemain saya akan cuba memberikan tentangan sengit kepada Jepun," ujarnya.

Berada dalam Kumpulan C bersama Jepun, Malaysia akan bersama Bahrain dan Syria bagi memburu kedudukan juara kumpulan bagi menempah tiket ke Sukan Olimpik 2012, manakala naib juara kumpulan menjanjikan saingan di peringkat play-off antara tiga pasukan dan pemenang akan berdepan wakil dari benua Afrika bagi memburu satu lagi tempat ke London.

Justeru itu, dua perlawanan persahabatan berprofil tinggi dengan kelab Iraq, Al-Arbil yang sedang bersaing di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia 2011 dan skuad Olimpik Oman mampu dijadikan bekalan tambahan bagi menghadapi Jepun selain ilmu yang dibawa pulang dari Slovakia, bulan lalu.

Tidak menafikan pertemuan dengan dua kelab itu mampu membantu menyesuaikan anak-anak buahnya dengan cara permainan pasukan dari Asia Barat kerana mereka akan berdepan Bahrain dan Syria, namun, Kim Swee mahu memberikan fokus pada perlawanan dengan Jepun terlebih dahulu.

"Memang benar perlawanan dengan kelab dari Iraq (Al-Arbil) dan Olimpik Oman amat bersesuaian kepada pemain-pemain saya dapat mengenali cara permainan dari Asia Barat tetapi apa yang lebih mustahak saya mahu memikirkan pertemuan dengan Jepun dahulu.

"Dua perlawanan ini saya harap dapat menyuntik keyakinan tambahan kepada pemain, selain mencari kesebelasan terbaik bagi berdepan Jepun nanti," katanya.

Dalam pada itu, dia berkata, kehadiran beberapa pemain baru seperti Mohd. Izuan Solahuddin, Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd. Azrif Nasrulhaq menjanjikan banyak pilihan kepadanya bagi mencongak strategi bersesuaian.

"Mereka layak berada dalam skuad selepas mempamerkan kesungguhan dan memberikan komitmen tinggi sepanjang latihan di Slovakia," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...