Tuesday, September 6, 2011

'Mat Chah' sedia galas cabaran

pix_gal0


Ganti Khairul Fahmi lawan Sarawak di Kuching 

PENJAGA gol kedua Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail bersedia menggalas tanggungjawab utama selaku penyelamat gawang The Red Warrriors ketika turun menentang Sarawak dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia 2011 di Stadium Negeri, Kuching, malam ini.

Shahrizan atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Chah mengakui tekanan turut dirasai kerana dia kini menjadi harapan penyokong setia selepas penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat tidak dapat beraksi untuk pasukan.
“Tekanan tidak boleh dielakkan namun dengan pengalaman yang ada, saya cuba tenang dan fokus selain mahu memberi yang terbaik untuk pasukan. 

“Saya perlu jalan tugas dan cabaran ini jika diberi kepercayaan namun saya tetap akan berwaspada terhadap pasukan lawan kerana malam esok (malam ini) perlawanan pertama kami,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Selaku juara bertahan, Kelantan dianggap pemerhati bola sepak dan pengkritik sebagai pilihan muncul juara Kumpulan C dan perwatakan Red Warriors akan dapat dilihat selepas tamat perlawanan malam ini. 

Sementara itu, Karathu berkata pasukannya tidak akan memandang mudah keupayaan Sarawak kerana dalam saingan Piala Malaysia momentum setiap pasukan pasti berbeza kerana masing-masing memburu kejuaraan. Malah, Sarawak dilihat mampu memberi saingan sengit. 
“Sebagai persediaan menentang kita mantapkan barisan pertahanan selain gawang gol akan dikawal ketat penjaga gol. Kami akan beraksi dalam setiap perlawanan dengan misi mempertahankan kejuaraan,” katanya.

Kedah yakin mudah ratah Johor

Kemenangan di Larkin mudahkan Hijau Kuning buru slot ke suku akhir 

KAPTEN Kedah, Mohd Fauzie Nan akur betapa dia dan rakan sepasukan menghormati Johor tapi misi mereka tetap sama - pulang berbekal mata penuh selepas tamat saingan Kumpulan A di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam ini.

“Kami sudah membuat persiapan rapi dalam latihan sepanjang Ramadan lalu, selain mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan tempatan dan juga dari Selatan Thailand.
“Berpandu kepada persiapan ini saya percaya kami dapat memberi persembahan terbaik dan tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Selain Kedah dan Johor, dua lagi pasukan diundi dalam Kumpulan A ialah Perak dan Sabah. 

Untuk meningkatkan tahap keupayaan dan kemantapan pasukan Kedah turut mendapat khidmat bekas kapten Perlis, Azmizi Azmi secara pinjaman. 

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Khazali Din beranggapan kemenangan di Larkin pasti dapat menambah keyakinan pemain menghuni tempat teratas kumpulan dan memburu slot ke suku akhir. 
Dia juga melontar cabaran kepada pemain untuk bangkit membuktikan kemampuan sebenar mereka selepas gagal dalam Liga Super dan Piala FA di bawah bekas jurulatih, Ahmad Yusoff. 

“Dengan barisan pemain seperti Badrul Bakhtiar, Khyril Muhymeen, Azmizi Aziz, Amar Rohidan, Azmi Muslim, Sabri Abu, Basharul Abu Bakar, V Thirumurugan dan Fauzi Nan kita harus mengatasi lawan membawa pulang tiga mata dan bukan satu saja,” katanya.

Amri masih punya aura wira peledak

Daven yakin Merah Kuning boleh 

JURULATIH Selangor, K Devan yakin penyerang utama, Amri Yahyah bakal menemui sentuhan gol apabila turun menentang T-Team pada aksi sulung Kumpulan D di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Biarpun ‘eksperimen’ menggandingkan kapten Selangor itu dengan kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim sepanjang beberapa aksi persahabatan terakhir masih belum menampakkan hasil, Devan percaya ia akan ‘menjadi’ pada aksi sebenar itu.
“Apabila Amri dan Safiq sudah mula menjaringkan gol, saya rasa masalah di bahagian serangan ini dapat diatasi. Saya tak begitu risau kerana sepanjang aksi persahabatan, kita membuktikan bahawa kita mampu mencipta banyak peluang. 
“Kini segalanya terletak pada Amri sendiri. Jika dia berkerja keras, mungkin Tuhan akan tolong dia. 

“Sama seperti Wayne Rooney (penyerang Manchester United) yang pernah gagal menjaringkan gol dalam banyak perlawanan. Tapi apabila dia sudah mula menjaringkan gol, bola pelik pun dia boleh gol. Penyerang memang begitu dan saya yakin Amri akan kembali kepada prestasi sebenarnya,” kata Devan, semalam. 

Ditanya mengenai persiapan menghadapi T-Team, Devan berkata: “Jika kita berjaya jaring satu atau dua gol dan kemudian dapat bertahan baik, kita mampu pulang dengan tiga mata. Sasaran Selangor, satu mata sudah cukup cantik tetapi jika dapat tiga mata, ia umpama bonus.” 


Devan turut menganggap dia sudah memiliki kesebelasan terbaik merealisasikan impian Selangor menjulang kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33 menerusi ‘Misi 33’ yang dilancarkan kelmarin sambil bersedia meletakkan penjaga gol pinjaman dari USM FC, G Jeevananthan menjaga gawang mereka, malam ini. 

Kim Swee mampu kekang amukan Samurai Biru

KIM Swee (kiri) ketika  ujian kecergasan Skuad Olimpik di Padang MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
KIM Swee (kiri) ketika ujian kecergasan Skuad Olimpik di Padang MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.



KETAHANAN diri selama 120 minit. 

Itulah yang perlu dimiliki pemain skuad Olimpik negara menyaingi Jepun sepanjang aksi 90 minit perlawanan sulung Kumpulan C, pusingan akhir kelayakan Olimpik 2012, Zon Asia di Stadium Tosu, Wilayah Saga pada 21 September ini.

Menurut jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee, aspek ketahanan itu penting terutama apabila berdepan pasukan sehebat Jepun yang pasti memaksa anak buahnya berhabis tenaga bertahan.
“Bagi saya, pemain Jepun memiliki kepantasan, kekuatan dan ketahanan. Tapi pemain kita memiliki kemampuan sama terutama dari aspek kepantasan. 

“Untuk bertahan dengan baik sepanjang 90 minit permainan, kita perlu memiliki ketahanan diri sehingga mencapai 120 minit terutama dan tidak memberi ruang kepada pemain Jepun,” kata Kim Swee ketika ditemui di Padang MSN, Bukit Jalil petang semalam. 

Seramai 24 pelatih termasuk K Sasikumar dan Gary Steven Robbat menjalani sesi latihan bertumpu kepada ujian kecergasan dipantau petugas dari Institut Sukan Negara (ISN). 

“Sebenarnya ujian kecergasan ini kita lakukan tiga bulan sekali bagi memantau tahap kecergasan pemain. Dari sini kita dapat menilai pemain diturunkan dalam perlawanan sebenar. 
Menjelang pertemuan getir dengan Jepun itu, skuad Olimpik negara bakal mengharungi dua aksi persahabatan iaitu menentang kelab Iraq, Al-Arbil di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya Khamis ini dan berdepan skuad Olimpik Oman pada 14 atau 15 September sebelum berlepas ke Jepun pada 16 September.

Siapa mampu cabar Kelantan?


KUALA LUMPUR - Walaupun saingan Piala Malaysia bermula hari ini, juara Liga Super musim ini, Kelantan awal-awal lagi dianggap sebagai pilihan utama yang akan menakluk trofi Piala Malaysia sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu jika keseimbangan pasukan dan pengalaman menjadi ukuran.

Diletakkan sekumpulan bersama Johor FC, Felda United dan Sarawak dalam Kumpulan C, Kelantan berada satu kelas tersendiri berbanding ketiga-tiga pasukan tersebut dan tiket selaku juara kumpulan sudah pasti dimiliki Red Warriors sekali gus mengelak pertembungan awal dengan Terengganu di peringkat suku akhir jika skuad Peteh itu juga berjaya meletakkan diri sebagai juara Kumpulan B.

Biarpun kekuatan Kelantan sedikit terjejas tanpa kehadiran penjaga gol sensasi, Khairul Fahmi Che Mat yang menabur bakti untuk negara di pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2012, pengalaman penjaga gol kedua, Mohd. Shahrizan Ismail masih boleh disandarkan.

Kumpulan A mungkin memperlihatkan persaingan seimbang antara Kedah, Perak dan Sabah sementara Johor, wakil dari Liga Perdana dilihat sukar menyaingi kekuatan yang ada pada ketiga-tiga pasukan berkenaan.

Biarpun Kedah menjadi pilihan pertama dalam Kumpulan A, kemampuan Perak dan Sabah tidak harus dipertikaikan memandangkan kedua-dua pasukan itu mempunyai rekod baik tiap kali beraksi di laman sendiri.

Negeri Sembilan mungkin menjadi penghalang terbesar juara Piala FA, Terengganu yang berazam mahu menjadi juara Kumpulan B manakala PKNS selaku juara Liga Perdana dan Sime Darby mampu bertindak selaku pasukan kacau daun.

Terengganu pasti sedikit bimbang jika apa yang diperkatakan jurulatih skuad Rusa, Mohd. Azraai Khor Abdullah bahawa pasukan Negeri Sembilan yang bersaing di Piala Malaysia adalah sebuah pasukan yang berbeza daripada Liga Super.

''Masa saingan Liga Super, kami berdepan banyak masalah kecederaan pemain tetapi bagi menghadapi Piala Malaysia, semua pemain utama pulih daripada kecederaan termasuk Zaquan Adha Abdul Razak, Aidil Zafuan dan Ahmad Fakri Saarani.

''Fakri Saarani yang bergelut dengan masalah prestasi berjanji kepada saya akan kembali bangkit sambil tidak akan terlalu mendengar apa jua tanggapan peminat kepada dirinya," katanya.

Bersemangat mahu memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ke-33, Selangor yang masih ketandusan sebarang trofi pada musim ini bakal dicabar hebat T-Team dalam Kumpulan D di samping kehadiran jiran Lembah Klang, Kuala Lumpur yang mahu mengulangi memori muncul juara tiga tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1989 dan pasukan underdog, PDRM.

Masalah ketiadaan penjaga gol berwibawa selepas penghijrahan Mohd. Hamsani Ahmad ke Felda United dan penggempur terhebat Harimau Malaya, Safee Sali mungkin menjadi batu penghalang kepada cita-cita Selangor yang mahu menamatkan kemarau enam tahun kegagalan menjulang Piala Malaysia.

Terengganu dan Selangor boleh dinamakan sebagai pencabar terkuat kepada Kelantan yang berusaha mahu mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu, namun beberapa pasukan lain seperti Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan T-Team mempunyai ramuan untuk melakukan kejutan.

Monday, September 5, 2011

Prestasi Johor FC goyah


PRESTASI tidak menentu Johor FC menimbulkan persoalan sama ada skuad itu mampu mengulangi kejayaan layak ke separuh akhir musim lalu diterjemah pada saingan Piala Malaysia musim ini.

Hanya satu kemenangan daripada empat perlawanan persahabatan ketika membuat persiapan menghadapi saingan piala itu pasti mengundang resah buat pengendali Lebah, Azuan Zain yang perlu mencari ramuan terbaik memantapkan kesebelasan utamanya.

Malah sasaran pengurusan Johor FC bukan sekadar melangkah ke separuh akhir sebaliknya ke final yang menjadi impian pasukan bertaraf kelab itu.

Apa yang diresahkan oleh Azuan adalah hasrat untuk membariskan pemain terbaik seakan tidak menjadi kenyataan selepas beberapa tonggak utama masih dibelenggu kecederaan.

“Mat Saiful Mohamad sudah pasti tidak akan diturunkan sepanjang kempen Piala Malaysia kerana belum pulih daripada kecederaan manakala Abdul Rahman Zabul juga terus dihimpit kecederaan.

“Benteng pertahanan Johor FC masih rapuh dan saya harus mencari jalan terbaik untuk memperkuatkan barisan itu dan walaupun sudah memiliki Saiful Nizam Miswan yang dipinjam dari Pahang, ia masih belum mencukupi.



“Saya sedikit tertekan kerana pertemuan pertama menentang Felda United di Stadium JCorp, Pasir Gudang, esok amat penting buat Johor FC malah tiga mata tidak harus dilepaskan di laman sendiri,” katanya.

Apapun beliau lega dengan kemantapan barisan serangan dan tengah yang sudah menunjukkan peningkatan apabila membentuk kombinasi mantap pada aksi persahabatan menentang Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Penampilan semula Eddy Helmi Manan yang kembali dalam kesebelasan utama memberi kesan apabila barisan serangan tampak jitu manakala barisan tengah yang diterajui Rezal Zambery Yahya juga begitu konsisten,” kata Azuan.

Terengganu bersederhana


PENDEKATAN Terengganu berbanding pasukan lain menghadapi kempen Piala Malaysia yang akan membuka tirai esok nyata berbeza.

Ketika pasukan lain sibuk berlumba-lumba mengadakan perlawanan persahabatan untuk menguji prestasi masing-masing serta memikat pemain dari pasukan luar, Terengganu pula lebih bersikap ‘bersederhana’.

Namun kapten skuad Penyu, Mohd Marzuki Yusof tetap yakin mereka mampu mencabar kejuaraan Piala Malaysia biarpun persiapan mereka kurang gah berbanding pasukan pilihan lain seperti Kelantan dan Selangor.


“Kami tidak mengadakan banyak perlawanan persahabatan sebaliknya hanya menentang sesama sendiri dalam sesi latihan, memang kami sudah biasa dengan persiapan seperti ini. Susah untuk kami mengadakan perlawanan persahabatan sebab tak banyak pasukan di kawasan Pantai Timur berbanding Lembah Klang.

“Memang persiapan Terengganu nampak sederhana, pemain pinjaman hanya seorang di bahagian pertahanan (Mohd Faizal Mohammad dari Harimau Muda A), tak seperti pasukan lain yang mengambil pemain luar sehingga tiga pemain khususnya di bahagian serangan. Tapi itu tidak bermakna kami tidak bersedia kerana latihan sepanjang bulan Ramadan lalu cukup untuk kami mengejar kejuaraan kali ini,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

Pada saingan Piala Malaysia kali ini, Terengganu juara Piala FA dan naib juara Liga Super bakal berdepan tentangan Negeri Sembilan, Selangor PKNS dan Sime Darby dalam Kumpulan B.



Bagi Marzuki yang menjadi tonggak utama pertahanan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim, dia memilih Negeri Sembilan sebagai pencabar utama namun dalam masa yang sama mengingatkan rakan sepasukan berwaspada dengan ancaman PKNS dan Sime Darby.

“Orang luar melabel kami sebagai pasukan pilihan kerana kami juara Piala FA dan naib juara Liga Super tapi kami perlu berwaspada. Pasukan lain pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengalahkan Terengganu selepas ini,” katanya.


Terengganu yang ketandusan kejuaraan Piala Malaysia selepas kali pertama memenanginya pada 2001 akan berdepan Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada aksi pertama kumpulan esok.


Kedudukan Kelantan sukar dikekang


ANDAI melihat undian dalam Kumpulan C saingan Piala Malaysia, hampir pasti satu slot ke suku akhir akan menjadi milik juara Liga Super, Kelantan yang setakat ini sukar dikekang pasukan lain.

Sementara tiga lagi pasukan dalam kumpulan sama iaitu Johor FC, Felda United dan Sarawak mempunyai peluang seimbang untuk meraih satu slot lagi dan itulah congakan yang dapat dibaca pengendali Felda United, E Elavarasan.

Bukan bermakna awal-awal mahu memberi laluan mudah kepada Kelantan, Elavarasan sebaliknya berpendapat skuad kendalian Datuk M Karathu itu sememangnya berada pada prestasi terbaik tetapi beliau menegaskan, anak buahnya tidak akan memberi laluan mudah kepada Kelantan.


“Secara amnya, satu slot mungkin milik Kelantan sementara tiga lagi pasukan termasuk Felda United, akan merebut satu slot lagi untuk ke suku akhir.

“Kami harus waspada dengan cabaran Johor FC serta Sarawak kerana seperti kami, kedua-dua pasukan ini juga pasti meletakkan sasaran untuk layak ke suku akhir.

“Dalam erti kata lain, kami perlu beraksi sebaik mungkin pada setiap perlawanan dengan sekurang-kurangnya memungut satu mata,” katanya.



Menjelang perlawanan pertama bertemu Johor FC, esok, Elavarasan berkata, skuad kendaliannya perlu memanfaatkan sebaik mungkin perlawanan pertama dengan memungut mata sekali gus mengelak kekalahan.

“Johor FC adalah sebuah pasukan yang bagus, terutama pada saingan liga lalu dan ia bermakna, kami perlu sentiasa waspada ketika bertemu mereka,” katanya.

Perak perit tanpa lima tonggak


MENGHARUNGI saingan Piala Malaysia bermula esok tanpa lima tonggak utama pastinya satu tugas berat buat jurulatih Perak, Norizan Bakar.

Kelima-lima pemain, Mohd Syazwan Mohd Roslan, Shahrulnizam Mustapa, Azmeer Yusof, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd Nasril Nourdin digantung dan denda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil selepas perlawanan Liga Super dengan Sabah di Stadium Lumut 19 Mei lalu serta kelewatan menjawab surat pertuduhan.

Akibatnya, kelima-lima pemain digantung tujuh perlawanan sejak 18 Julai lalu dan bakal terlepas aksi awal Piala Malaysia.


Namun Norizan tetap tabah menghadapi dugaan itu dengan menyatakan beliau akan menggunakan pemain sedia ada dalam mengharungi saingan awal Piala Malaysia.

“Mahu tidak mahu, kita perlu menggunakan pemain sedia ada. Apapun, saingan di Piala Malaysia agak berbeza kerana apa saja kejutan boleh berlaku.

“Kami tidak mahu memberi alasan ketiadaan lima pemain ini akan menjejaskan prestasi kami, sebaliknya kami akan cuba sebaik yang mungkin untuk mara lebih jauh dengan pemain sedia ada,” katanya.



Pada saingan Piala Malaysia, Perak diundi dalam Kumpulan A bersama Kedah, Sabah serta Johor.

Menjelang pertemuan pertama dengan Sabah, Norizan berkata, anak buahnya akan cuba meraih mata bagi membolehkan mereka melangkah lebih jauh pada saingan itu.

T-Team berbisa


T-TEAM antara pasukan yang perlu diawasi juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor seandainya berhasrat untuk melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan D.

Pasukan berstatus kelab dari Terengganu itu sudah membuktikan keupayaan mereka apabila menewaskan gergasi Merah Kuning pada dua perlawanan Liga Super dengan kemenangan 3-2 di Stadium Shah Alam serta 2-1 di gelanggang sendiri.

Kejayaan itu pastinya menjadi azimat terbaik untuk skuad kendalian Yunus Alif mencipta kejutan terutamanya selepas prestasi tidak konsisten mereka dalam aksi Liga Super dikritik peminat.


“Aksi Piala Malaysia ibarat peluang kedua kepada pemain. Mereka bukannya pemain baru, kebanyakan daripadanya adalah pemain yang mempunyai pengalaman luas namun kadang kala tewas kepada pasukan kerdil walaupun mampu menewaskan lawan yang lebih kuat.

“Mereka perlu membuktikan kemampuan kerana taraf dan pandangan peminat pada musim depan akan ditentukan berdasarkan pencapaian di Piala Malaysia kali ini,” katanya.

Berbekal barisan berpengalaman dan bintang yang dimiliki seperti Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad dan Azizi Mat Rose, pihak pengurusan menurut Yunus meletakkan sasaran untuk layak ke final.



Mengenai prestasi semasa pasukannya, Yunus menganggap anak buahnya mempamerkan peningkatan selepas mengharungi beberapa perlawanan persahabatan selain mendapat khidmat penjaring terbanyak Liga Perdana, Mohd Fitri Omar bagi mempertajamkan lagi jentera serangan.

Selain T-Team dan Selangor, turut berada dalam Kumpulan D adalah Kuala Lumpur dan PDRM.

Shahrizan pengganti

KELANTAN terpaksa akur ketiadaan penjaga gol utamanya, Khairul Fahmi Che Mat yang lebih diperlukan skuad Olimpik negara dan tugas berat di pintu gol The Red Warriors bakal dikawal Mohd Shahrizan Ismail. 
Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pasukan itu akur dengan kehendak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memerlukan khidmat pemain disapa Apek itu dan sebagai langkah berjaga-jaga, dua penjaga gol skuad Piala Presiden - Muhammad Syazwan Yusoff dan Judtanna Eh Put - dipanggil mengimbangi pasukan.

“Amat malang Kelantan tidak dapat menggunakan khidmat Khairul Fahmi tetapi kami akur dengan keputusan FAM dan tugas itu bakal diisi Mohd Shahrizan yang turut menunjukkan prestasi memberangsangkan,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka di Kota Bharu, semalam.
Katanya, Kelantan tidak meragui kemampuan Mohd Shahrizan untuk menggalas tugas selaku penjaga gol utama pada kempen Piala Malaysia menentang Sarawak malam esok, namun bimbang andai penjaga gol itu mengalami kecederaan. 

“Kami atasi masalah ini dengan menyerapkan dua penjaga gol skuad Piala Presiden sebagai langkah berjaga-jaga dan kami berharap Kelantan tidak menunjukkan kelemahan walaupun tanpa Khairul Fahmi,” kata Azman.

'Biar saya saja rasa tertekan'

KIM Swee (kiri) mengawasi sesi latihan skuad Olimpik di Wisma FAM.
KIM Swee (kiri) mengawasi sesi latihan skuad Olimpik di Wisma FAM.

Pemain tambah yakin apabila lepasi pusingan pertama: Kim Swee 

WALAUPUN mencatat lima kemenangan daripada tujuh perlawanan persahabatan di Slovakia, jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee masih bersikap realistik dan tidak mahu meletakkan sebarang tekanan terhadap anak buahnya dalam misi kelayakan Olimpik menentang Jepun, 21 September ini.

“Kita perlu realistik tapi bukan bermakna kita akan mudah mengalah. Saya boleh janjikan pemain akan memberikan sepenuhnya bagi memberikan saingan sengit dan cuba untuk layak.
“Saya tidak suka meletakkan sebarang tekanan, biarlah tekanan itu hanya ada pada saya, bukan pada pemain. Lagipun, saya anggap ia bukan tekanan, sebaliknya satu cabaran kepada saya dan semua pemain untuk lebih fokus kepada latihan dan perlawanan,” katanya. 

Sebelum ini skuad Olimpik negara menjalani latihan lima minggu di Slovakia dan mengadakan tujuh perlawanan persahabatan menentang kelab liga divisyen satu dan dua negara berkenaan. 

Skuad kendalian Kim Swee juga dijadualkan melalui dua lagi perlawanan persahabatan menentang kelab Al-Arabi yang beraksi dalam saingan Piala AFC dan skuad Olimpik Oman, sebelum berangkat ke Jepun. 

“Sudah tentu pemain bertambah yakin selepas melepasi pusingan pertama dan layak ke pusingan kedua kerana tiada sesiapa yang memberi harapan untuk kita mara ke kelompok 12 pasukan terbaik Asia dalam peringkat terakhir kumpulan. 
“Saya tidak mahu bermegah dengan mengatakan pasukan ini lebih baik berbanding skuad kelayakan sebelum ini. Biarlah mereka menghabiskan peringkat kumpulan terlebih dulu sebelum saya menilai prestasi mereka,” katanya.

Selangor yakin raih Piala Malaysia


SHAH ALAM - Kemarau selama lima tahun tidak meraih kejuaraan Piala Malaysia bakal ditamatkan Selangor tahun ini dalam usaha mereka untuk memburu piala tersebut buat kali ke-33.

Keyakinan itu dilontarkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang menganggap sasaran tersebut bukan sesuatu yang mustahil untuk diraih.

"Kita mempunyai penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan dan mereka berikrar akan sama-sama membantu merealisasikan impian untuk meraih Piala Malaysia buat kali ke-33 musim ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Misi 33 di sini semalam.

Jelasnya, walaupun Selangor mempunyai beberapa wakil penyokong antaranya Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Selangorfc.com dan Ultrasel (Ultras Selangor) semuanya boleh bergabung untuk memberi sokongan padu kepada pasukan bimbingan jurulatih K. Devan.

"Mereka akan datang bersama-sama, satu nada, satu suara dan tidak semestinya akan duduk bersama-sama untuk memberi sokongan, jika duduk asing sekali pun misi mereka tetap memberi sokongan kepada pasukan Selangor," katanya.

Sementara itu ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah berkata, semua pemain sudah tidak sabar dan semangat berkobar-kobar untuk beraksi dalam perlawanan pertama Piala Malaysia menentang T-Team esok.

"Matlamat kami hanyalah satu, memenangi Piala Malaysia kerana tinggal satu ini sahaja piala untuk dimenangi sebelum mengakhiri musim 2011, semangat kami tidak pudar walaupun kali terakhir melakukannya pada 2005.

"Ini bukan satu tugas yang mudah untuk bersaing dengan pasukan lain tetapi mereka sudah tentu berwaspada menentang Selangor kerana kami sekarang ini sudah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 32 kali," katanya.

T-Team tidak mahu dabik dada jumpa Selangor


KUALA LUMPUR - Pengendali T-Team, Yunus Alif tidak mahu mendabik dada bahawa pasukannya memiliki kelebihan besar ke atas Selangor biarpun mendapat kelebihan bermain di laman sendiri pada perlawanan esok.

Melabelkan skuad Red Giants sebagai sebuah skuad berpengalaman, jurulatih berpengalaman itu menegaskan, suasana pertandingan Piala Malaysia adalah satu pentas yang berbeza dan rekod pertemuan liga tidak harus dijadikan perbandingan.

''Ini Piala Malaysia , dua kali kemenangan kami pada Liga Super musim ini tidak perlu diperkatakan lagi, itu sudah jadi sejarah.

''Bagi saya, pertemuan dengan Selangor Selasa ini (esok) adalah perlawanan yang berlainan memandangkan ini perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan di Piala Malaysia.

''Ditambah dengan persiapan rapi yang saya lihat pada pasukan Selangor dan pengalaman sebahagian besar pemainnya, saya sedar perlawanan itu nanti pasti sengit, jika kami mahu meraih kemenangan, " katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

T-Team walaupun menduduki tangga kelapan liga berbanding Selangor di tempat ketiga, kelab itu menang dalam kedua-dua pertemuan di tempat sendiri iaitu dengan jaringan 2-1 (21 Mei) dan meraih keputusan 2-0 (9 April) ketika bertandang di Stadium Shah Alam.

Walaupun begitu, dia tetap yakin skuadnya ada kemampuan memburu tiga mata apabila melayani kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah nanti.

''Kebanyakan anggota pasukan ini berpengalaman dan pentas Piala Malaysia bukan sesuatu yang asing bagi mereka, saya yakin mereka tahu bagaimana mahu melayani Selangor nanti, insya-Allah tiga mata mampu kami kutip.

''Misi kami mahu mendapatkan kemenangan pada perlawanan pertama ini dan muncul juara kumpulan kerana kami meletakkan sasaran mahu menjuarai Piala Malaysia, " katanya.

Yunus juga berpendapat kunci pertemuan kedua-dua pasukan itu nanti mungkin bergantung kepada penguasaan bahagian tengah yang mana Zairo Anuar Zailani (T-Team) dan Safiq Rahim (Selangor) mungkin menjadi watak penting kepada pasukan masing-masing.

''Mungkin bahagian tengah akan menjadi penentu kejayaan kepada kedua-dua pasukan, saya harap pemain mampu melaksanakan apa yang saya rencanakan, " ujarnya.

Kelantan sedia hadapi Sarawak


KOTA BHARU - Meskipun dihimpit masalah penjaga gawang yang cedera dan menggalas tugas bersama skuad kebangsaan, penyandang juara Piala Malaysia, Red Warriors sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan pembukaan Piala Malaysia menentang Sarawak, esok.

Ketua jurulatih, Datuk M. Karathu berkata, sesi latihan yang bermula Jumaat lalu, digunakan sebaik mungkin dalam memantapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan pembukaan nanti.

Menurutnya, segala persiapan berjalan lancar dan semua pemain berada pada tahap terbaik menjelang aksi pertama di Stadium Kuching, Sarawak.

"Kemenangan dalam perlawanan pertama bertemu Serawak perlu diraih. Ini penting sebagai bekalan semangat bagi mengharungi saingan peringkat kumpulan selepas ini.

"Begitupun saya tidak mahu mengambil mudah perlawanan dengan Sarawak. Walaupun Sarawak beraksi dalam saingan Liga Perdana, kemampuan pasukan ini tidak boleh di pandang rendah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sesi latihan, semalam.

Karathu memberitahu, saingan Piala Malaysia berbeza dengan saingan liga dengan setiap pasukan pastinya menampilkan aksi yang berbeza.

"Setiap pasukan yang bertemu dengan Kelantan pasti akan bermain mati-matian dan cuba untuk menewaskan kami.

"Sebagai pasukan juara Liga Super dan Piala Malaysia kami perlukan ketepikan reputasi tersebut, sebaliknya berusaha lebih keras.

"Saya mahu pemain mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan sepenuhnya serta bermain sebagai satu pasukan bagi memastikan kami berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan," katanya.

Tambah Karathu, semua pemain bebas daripada kecederaan kecuali Zairul Fitree Ishak dan R. Surenderan.

"Zairul Fitree semakin pulih, namun masih belum dapat beraksi. Jadi saya akan tunggu sehingga dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.

"Surenderan pula masih lagi bergelut dengan kecederaan. Saya harap dia mampu pulih dalam masa terdekat untuk membantu pasukan," katanya.

Mengulas mengenai jentera serangan, Karathu berkata, serangan pasukanya yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Tahala bersama gandingan barunya Azammuddin Mohd. Akil semakin menampakkan keserasian.

"Saya gembira dengan perkembangan ini. Mereka semakin serasi dan ini memudahkan kerja saya untuk memperkemaskan dan mempertajamkan lagi jentera serangan pasukan," jelasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...