SEMUANYA serba tidak menjadi buat penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Fakri Saarani musim ini apabila terus dibelenggu masalah kecederaan ketika dirinya masih tercari-cari sentuhan terbaik yang menjadikannya antara pemain muda paling mendapat perhatian dalam kancah bola sepak tempatan.
Tapi di sebalik nasib malang menimpa pemain berusia 21 tahun itu, dia sebenarnya boleh menarik nafas lega kerana masih mendapat kepercayaan jurulatih Ong Kim Swee yang menyelitkan namanya dalam senarai 26 pemain skuad Olimpik negara bagi persiapan pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik London 2012 menentang Lubnan Jun depan.
Fakri yang turut menyerlah bersama skuad kebangsaan kendalian K Rajagobal apabila menyumbat gol ketika Malaysia seri 1-1 dengan kelab Liga Singapura, Etoile FC Mac lalu berharap dapat pulih lebih cepat.
“Saya mengalami kecederaan lutut kiri dan esok (hari ini) akan bertemu dengan doktor bagi pemeriksaan lanjut. Saya berterima kasih kepada jurulatih (Kim Swee) kerana masih memanggil saya untuk bersama skuad.
“Saya tidak mahu terlepas aksi dengan skuad Olimpik kerana inilah peluang untuk saya bersama pemain lain mencipta sejarah,” katanya.
Sementara itu, keputusan Kim Swee memanggil pemain yang masih bergelut dengan kecederaan mengundang persoalan adakah beliau berada dalam situasi terdesak kerana tidak memiliki banyak pilihan.
“Mengikut laporan awal, Fakri terpaksa berehat selama tiga hingga empat minggu sebelum benar-benar pulih jadi saya akan pantau tahap kecergasannya selepas itu. Saya fikir dia masih mempunyai masa yang cukup untuk pulih dan bersama skuad apabila memulakan latihan pusat pada 29 Mei ini.
“Apabila bersama skuad negara, dia juga boleh melakukan program pemulihan lebih rapi untuk kembali cergas,” katanya.
Selain Fakri, Kim Swee memanggil seorang pemain penyerang baru bukan daripada skuad Harimau Muda A, Fandi Ahmad dari Johor FC.
“Fandi kebelakangan ini diturunkan dalam beberapa perlawanan. Dia mempamerkan prestasi yang baik dan seorang pemain yang agresif. Saya akan menguji Fandi dan pemain lain dalam perlawanan persahabatan dengan Kemboja dan Qatar sebelum memilih senarai 20 pemain terakhir untuk dibawa ke Beirut,” katanya.
Mengikut perancangan, skuad Olimpik negara akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Kemboja di Phnom Penh pada 7 Jun sebelum berkunjung ke Doha bagi sesi latihan pusat dan perlawanan dengan skuad Olimpik Qatar pada 13 Jun.
Ia persiapan sebelum perlawanan kelayakan Olimpik dengan Lubnan pada 19 Jun di Beirut sebelum beraksi di arena sendiri pada 23 Jun.
No comments:
Post a Comment