Showing posts with label Perpindahan 2012. Show all posts
Showing posts with label Perpindahan 2012. Show all posts

Wednesday, November 2, 2011

Tiga peledak Penyu kekal


TRIO peledak berbisa Terengganu yang diketuai penjaring terbanyak musim ini, Abdul Hadi Yahaya, Mohd Ashaari Samsuddin dan Abdul Manaf Mamat kekal bersama skuad itu musim depan.

Selain itu, nama besar yang turut dikekalkan ialah penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Mazlizam Mohamad, Marzuki Yusof, Ahmad Nordin Alias dan Ismail Faruqi Ashari.

Kelmarin, dalam sidang media khas di pejabat PBSNT, Presiden Datuk Che Mat Jusoh mengesahkan akan mengekalkan kesebelasan utama manakala beberapa pemain lagi masih dalam peringkat perbincangan dan keputusannya bakal diketahui dalam masa terdekat. 

Pemenang kasut emas, Abdul Hadi terpaksa menolak tawaran beberapa pasukan lain kerana masih sayangkan pasukan Terengganu yang banyak melonjak namanya dalam persada bola sepak.

Katanya, sebelum ini namanya tidak dikenali biarpun sudah tiga pasukan diwakili tetapi ketika bersama Terengganu, namanya menjadi sebutan ramai peminat apatah lagi terpilih mewakili skuad kebangsaan.

“Sebab itulah saya tidak mahu berhijrah sebaliknya mahu kekal di sini lebih-lebih lagi PBSNT masih memerlukan khidmat saya,” katanya.

Bagi Abdul Manaf pula, musim ini mempunyai suka duka biarpun melakar kejayaan muncul juara Piala FA dan melangkah ke final Piala Malaysia, kesedihan kehilangan bapa tetap diingati.


Tuesday, November 1, 2011

Gonzales dalam radar Kelantan


GONZALES dilaporkan berada dalam radar KAFA untuk dibawa ke Kelantan bagi aksi musim depan.


TIRAI Piala Malaysia 2011 telah secara rasmi ditutup selepas Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara baharu.
Begitupun, pasukan Kelantan kini sudah memulakan langkah untuk mempersiapkan pasukan itu bagi mengharungi saingan liga dan kejohanan domestik selain membuat pe- nampilan sulung pada kejohanan Piala AFC.
Selepas mencuba lima pemain import dari Croatia, Malawi dan Ghana termasuk seorang pemain dari liga Divisyen Dua Belanda, Jeans Black yang tiba di Kota Bharu bersama jurulatih baharu mereka, Peter James Butler pada 23 Oktober lalu, mereka dijangka akan mencuba seorang lagi pemain import.
Kali ini, 'selera' The Red Warriors (TRW) sedikit berubah apabila mereka bakal mencuba bekas pemain kebangsaan Sepanyol yang pernah tersenarai menyertai skuad Piala Dunia 2002 lalu dan pernah beraksi untuk beberapa kelab terkenal di negara yang dikenali dengan jolo- kan La Furia Roja itu.
Berusia 34 tahun, Sergio Gonzales kini di- khabarkan berada dalam radar Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa untuk dibawa ke negeri 'Cik Siti Wan Kembang' bagi memperkuatkan lagi pasukan itu.
Beraksi di posisi tengah, Gonzales memulakan kerjaya profesional sebagai pemain bola sepak selepas menyertai pasukan Espanyol B pada tahun 1995, sebelum diserapkan ke pasukan senior tiga tahun kemudian.
Bakat pemain dengan ketinggian 182 sentimeter berasal dari L'Hospitalet, Sepa- nyol itu mula dikesan oleh pasukan Depor- tivo La Caruna yang mana dia menabur khid- mat selama 10 musim.
Sumber KAFA memberitahu, nama pemain itu pernah disebut-sebut sebelum ini dalam perjumpaan pihak pengurusan tetapi sehingga kini belum ada surat tawaran rasmi dikeluarkan.
Menurutnya, perbincangan secara tidak rasmi sedang berjalan ketika ini antara pemain tersebut dan pihak pengurusan untuk mencari kata putus selain persetujuan pemain itu untuk berhijrah ke Kelantan.
"Setakat ini belum ada apa-apa tawaran rasmi diberikan kepada pemain tersebut dan sehingga kini ia masih dalam perbincangan melibatkan beberapa perkara lagi.
"Sekiranya selesai dan berjaya mencapai kata sepakat, mungkin impian untuk melihat pemain itu beraksi dengan TRW akan tercapai," katanya.
Gonzales dikenali sebagai pemain tengah yang sentiasa bekerja keras serta mampu bertindak membantu pertahanan, selain kreatif dalam menghasilkan gerakan membantu jentera hadapan.
Sepanjang 14 musim bermain dalam kempen Liga Sepanyol, dia telah beraksi dalam 429 perlawanan dan berjaya meledakkan 42 gol, termasuk tiga gol ketika bersama pasukan terakhirnya, Levente bagi musim 2010-2011.
Karier peringkat antarabangsa Gonzales bermula ketika dipanggil oleh jurulatih Sepa- nyol ketika itu, Jose Antonio Camacho untuk mewakili pasukan kebangsaan pada 2001 bagi persiapan Piala Dunia 2002.

Tuesday, October 11, 2011

Selangor harus berhati-hati


KEZMAN antara pemain bintang yang mendapat perhatian Gergasi Merah.

PADA penghujung musim 1990-an dahulu, Selangor pernah dikecewakan dengan tindakan bekas tonggak England, Tony Cottee yang dilihat langsung tidak profesional apabila 'tergesa-gesa' meninggalkan pasukan itu sebelum kontraknya tamat.
Jika diikutkan, Cottee sebenarnya bukanlah pilihan utama skuad Gergasi Merah ketika itu jika tidak kerana bintang Arsenal, Nial Quinn yang tiba-tiba 'hilang' sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pantas menyambar Cottee berdasarkan reputasinya yang dikhabarkan cukup cemerlang ketika mewakili England di kancah persaingan antarabangsa semasa itu.
'Disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari'.
Jodoh Cottee bersama Selangor tidak berpanjangan apabila dikhabarkan tidak begitu gembira sepanjang beraksi di bumi Malaysia.
Selain dilaporkan kecewa kerana terpaksa mencuci butnya sendiri, alasan Cottee yang dikatakan marah kerana tidurnya terganggu dengan bunyi jam loceng rakan sepasukannya, Ismail Ibrahim yang bangun menunaikan sembahyang Subuh ketika itu sememangnya mengundang kemurkaan peminat fanatik Gergasi Merah.
Justeru, jika benar desas-desus mengenai keinginan Selangor yang dikhabarkan mahu memancing bekas pemain Chelsea, Mateja Kezman sebagai seorang daripada dua tenaga import mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan, ada baiknya ia harus dinilai secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan.
Keterujaan mengambil pemain berstatus bintang sememangnya berisiko walaupun sejarah membuktikan beberapa pemain terkemuka seperti David Mitchell, Allistair Edwards, Christopher Kiwomya, Mehmet Durakovic, Karel Stromsik serta dua bintang Indonesia, Elie Aiboy dan Bambang Pamungkas dilihat cukup cemerlang membantu Selangor sebelum ini.
Tambahan pula sekiranya Kezman, 32, bersetuju menyarung jersi Selangor, sudah tentu ia dilihat mampu menarik lebih ramai penonton ke Stadium Shah Alam.
Ketika ini, Kezman sedang beraksi bersama kelab Belarus, Bate Borisov yang bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah sehingga penghujung tahun ini selepas kontraknya bersama kelab Hong Kong, South China tamat Mei lalu.
Kezman yang memulakan kariernya selaku pemain bola sepak seawal usia 19 tahun bersama kelab Serbia, FK Partizan pada 1998 turut pernah mewakili beberapa kelab ternama Eropah seperti PSV Eindhoven, Atletico Madrid, Fenerbahce, Paris St. Germain dan Zanit St. Petersburg, selain gemar menyarung jersi bernombor sembilan atau 99.
Tiada sebarang pengesahan rasmi begitupun dikeluarkan FAS setakat ini berhubung keinginan mereka memikat hati pemain kelahiran Serbia itu supaya melebarkan sayapnya beraksi di pentas Asia Tenggara pula selepas ini.
Buat masa ini, teka-teki sama ada Kezman merupakan antara empat pemain yang dikhabarkan bakal hadir ke Shah Alam untuk diuji sepanjang bulan ini masih belum terjawab lantaran FAS ketika ini baru menguji seorang pemain pertahanan berusia 29 tahun dari Korea Selatan, Hwang Moo-Kyu yang telahpun mula diuji sejak pasukan itu tewas 0-1 kepada Singapura dalam aksi Piala Sultan Selangor (PSS) 2011 baru-baru ini.
Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin semasa ditemubual media tempatan sebelum ini juga enggan mengesahkan nama-nama calon yang bakal diuji, namun pada masa sama tidak menolak kemungkinan mereka merupakan antara pemain yang pernah beraksi di kancah Liga Perdana England.
Nama-nama itu katanya, hanya akan diumumkan sebaik saingan Piala Malaysia musim ini berakhir.
Apa pun, jangan sampai 'pisang berbuah dua kali', justeru Selangor sepatutnya lebih berhati-hati tambahan pula Kezman juga dilaporkan turut mempunyai masalah sikap.
Belajarlah daripada kesilapan silam. FAS pastinya lebih tahu natijah yang mungkin mereka hadapi jika benar mahu mendapatkan khidmat pemain bintang.

Sunday, October 9, 2011

Kafa uji pemain import




DENNY Antwi (tengah) merupakan antara pemain import yang diuji oleh Kelantan semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan membuat keputusan drastik dalam memilih barisan pemain import yang akan menggalas cabaran The Red Warriors untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan musim hadapan.
Presidenya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, pihaknya tidak sekali-kali akan mengambil pemain berdasarkan rakaman video mahupun perakuan yang dikeluarkan oleh agen pemain tersebut.
"Kadang kala aksi yang mereka tonjolkan tidak selaras dengan perakuan yang dibuat, jadi Kafa mesti berhati-hati dalam soal memilih pemain import ini.
"Musim hadapan kita akan beraksi dalam saingan AFC dan usaha mengenal pasti pemain import perlu dilakukan sebaik mungkin" katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara Kelantan dengan Songkhla FC dari Thailand di Stadium Sultan Muhammad IV malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut Kelantan menguji empat pemain import dari Crotia, Ghana dan Malawi. Pemain tersebut ialah Jocip Bonancing (Crotia), Chikondi Mplula (Malawi), Emannual Okime dan Denny Antwi (Ghana).
Dalam aksi persahabatan itu The Red Warriors yang tidak menurunkan barisan utamanya tumbang 1-3 kepada skuad bimbingan bekas bintang importnya era 2005 iaitu Worrawoot T Srimaka.
The Red Warriors yang beraksi di gelanggang keramat mereka terlebih dahulu mengegar jaringan seawal minit pertama menerusi jaringan Mplula.
Gol-gol kemenangan Songkhla FC di hasilkan oleh Manop Sornkhaw (minit ke-71), Lee Swa Seub (minit ke-75) dan Siroj Mibun (minit ke-77).
Mengulas mengenai aksi pertemuan dengan Songkla FC, Annuar memberitahu perlawanan tersebut hanyalah untuk menguji kemampuan empat pemain import tersebut.
"Apa yang kita nampak keserasian di kalangan mereka sedikit kelam kabut. Namun apa yang penting saya sedang memerhatikan pemain import yang sedang diuji. Saya ada satu kumpulan yang akan membuat penilaian dan saya tidak boleh memberikan apa-apa komen setakat ini," ujarnya.

Saturday, October 8, 2011

Merah Kuning buru Kezman

Selangor cuba pancing bekas penyerang Chelsea untuk hadapi Liga-M 2012

SELANGOR dikhabarkan sedang merisik bekas penyerang Chelsea, Mateja Kezman (kiri) sebagai seorang daripada dua pemain import mereka bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2012 yang bermula Januari depan.

Kezman, 32, berasal dari Serbia tetapi kini beraksi bersama kelab Belarus, BATE Borisov yang bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah sejak 31 Ogos lalu hingga penghujung tahun ini, selepas menghabiskan tempoh empat bulan kontrak bersama kelab Hong Kong, South China dari Januari hingga Mei lalu.

Selepas memulakan karier profesional bersama kelab Serbia, FK Partizan pada 1998 ketika berusia 19 tahun selama dua musim, nama Kezman mula menyinar apabila muncul peledak berbisa sepanjang empat musim beraksi untuk kelab Belanda, PSV Eindhoven.
Kezman kemudian disunting Chelsea pada musim 2004/05 dan selepas itu berkelana pula ke Atletico Madrid, Fenerbahce, Paris St Germain dan Zenit St Petersburg.

Andai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berjaya mengikat Kezman, ia pasti akan menjadi tarikan utama penyokong Red Giants untuk kembali memenuhi Stadium Shah Alam sepanjang saingan musim depan.

Selangor sebelum ini pernah menggunakan khidmat beberapa nama besar sebagai pemain import, antaranya Karel Stromsik, Mehmet Durakovic, David Mitchell, Tony Cottee, Chris Kiwomya, Brian Fuentes, Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, Perica Ognjenovic dan Frank Seator.

FAS kini sedang menguji pemain pertahanan 29 tahun dari Korea Selatan, Hwang Moo-kyu dan dikhabarkan empat lagi pemain bakal hadir ke Shah Alam untuk diuji sepanjang bulan ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...