Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Bahang pasti mula dirasai ketua jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh selepas menyaksikan anak buahnya ‘ditaji’ Tajikistan 1-4 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Dushanbe Central malam tadi.
Ia perlawanan pertama kendalian pengendali berusia 50 tahun itu selepas dilantik menggantikan Datuk K Rajagobal pada 1 Julai lalu dan tugasan pertamanya itu nyata tidak memihak kepadanya yang membuat sedikit perubahan dalam kesebelasan utamanya.
Dollah membuat percaturan berani dengan meletakkan pemain corak serangan termasuk menurunkan Mohd Badhri Radzi bagi mengemudi bahagian tengah serta pemain sayap kiri dan kanan R Gopinathan dan S Chanturu yang jarang diberi peluang sebelum ini.
Penyerang Johor Darul Ta’zim Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha kembali bergabung di pentas antarabangsa dengan kapten Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak memberi arahan kepada rakan sepasukan dari bahagian belakang.
Skuad kebangsaan tampak bergelut beraksi dalam cuaca panas di padang rumput tiruan apabila Tajikistan kendalian Mukhsin Mukhamadiev lebih menguasai permainan sejak sepak mula.
Ketika anak buah Dollah tercari-cari rentak, mereka dikejutkan dengan gol pertama pasukan tuan rumah menerusi tandukan pemain pertahanan, Davron Ergashev yang menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias pada minit ke-15.
Harimau Malaya memiliki dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-24 namun Safee gagal menolak masuk hantaran lintang Gopinathan dari sebelah kiri manakala jaringan Mohd Amri Yahya tidak disahkan pengadil kerana ofsaid dua minit kemudian.
Tajikistan yang menduduki ranking ke-124 dunia menambah jaringan pada minit ke-35 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti Dilshod Vasiev untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Skuad kebangsaan merapatkan kedudukan dengan Amri menyempurnakan sepakan penalti penghujung babak pertama selepas Norsharul Idlan dikasari pemain pertahanan Tajikistan.
Kebangkitan yang diharapkan tidak kesampaian apabila dua gol pantas Tajikistan dalam tempoh tiga minit pada minit ke-51 dan 53 menerusi Vasiev dan Nuriddin Davronov seakan-akan mematikan semangat pemain negara.
Biarpun Dollah membuat beberapa pertukaran pemain dengan memasukkan Safiq Rahim, Baddrol Bakhtiar dan Mohd Azzamuddin Akil, namun gagal merubah kedudukan.
Kekalahan itu bukan saja membuatkan Malaysia terlepas peluang untuk memperbaiki ranking ke-151 dunia malah memberi isyarat jelas kepada Dollah banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum misi sebenar Piala AFF November ini.
No comments:
Post a Comment