Wednesday, August 31, 2011

Hazwan cetus impak


PERCATURAN jurulatih Ong Kim Swee menyenaraikan penyerang muda Ahmad Hazwan Bakri bersama skuad Olimpik negara menjalani latihan di Slovakia bulan lalu nyata berbaloi apabila penyerang muda dari Kuala Lumpur itu mula memberikan impak kepada pasukan.

Biarpun tidak sampai dua bulan bersama skuad muda negara itu, Ahmad Hazwan menyerlahkan potensi sebenar dirinya dengan menyumbat dua gol dalam lima perlawanan persahabatan dengan skuad liga Slovakia dan Hungary ketika menewaskan Tatran Liptovsky Mikulas 2-1 dan MFK Dolny Kubin 2-0.

Bagi Kim Swee, beliau puas hati prestasi dipamer Ahmad Hazwan apatah lagi ketika penyerang asal skuad Olimpik masih kurang menjadi dalam mencipta jaringan.


“Ahmad Hazwan antara pemain baru yang menonjol dalam skuad Olimpik. Dia menunjukkan prestasi baik dari perlawanan ke perlawanan.

“Apa yang menarik mengenai pemain ini adalah dia memiliki disiplin baik untuk dijadikan contoh kepada pemain lain, tidak kiralah pemain kebangsaan atau Harimau Muda A yang berada dalam skuad Olimpik ini,” katanya.

Ahmad Hazwan antara pemain baru yang dipanggil Kim Swee bagi mengikuti latihan dan siri perlawanan persahabatan di Slovakia selain Azrul Azmi (Felda United), Muhamad Syazwan Tajuddin, Muhd Nazmi Faiz Mansor (Harimau Muda B), Mohd Azrif Nasrulhaq (Selangor PKNS) dan Mohd Izuan Solahuddin (Kelantan).



Kim Swee berkata, beliau tidak mahu memberikan tekanan kepada Ahmad Hazwan sebaliknya mahu memberi ruang kepada pemain berusia 20 tahun itu untuk meningkatkan prestasi dan menyesuaikan diri bersama skuad Olimpik.

“Saya tidak perlu terlalu mendesak Ahmad Hazwan dengan meletakkan bebanan terlalu tinggi sebaliknya mahu dia memberi tumpuan menjadi pemain lebih baik. Dia pemain berbakat, kehadirannya akan memberi saingan kepada pemain lain,” katanya.

pix_topright

Kelantan hilang 3 penjaga gol ?


KOTA BHARU - Persiapan Piala Malaysia skuad Kelantan yang semakin menuju puncak dikejutkan dengan khabar kurang menyenangkan apabila dilaporkan bakal kehilangan tiga penjaga gol serentak.

Tiga penjaga gawang yang dimaksudkan penjaga gol veteran, Mohd. Halim Napi dan Norhadi Ubaidillah masing-masing dibelenggu kecederaan manakala penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek tidak mendapat pelepasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana perlu melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik Khamis ini.

Perkara tersebut disahkan Pengurus pasukan, Azman Ibrahim yang mengakui kehilangan tiga penjaga gol serentak merencatkan persiapan Red Warriors.

“Kita tidak ada pilihan selain mengemukakan rayuan kepada FAM bagi mendapatkan pelepasan untuk membolehkan Apek menyertai pasukan.

Sukar bagi kita untuk mencari pengganti dalam tempoh sesingkat ini.

“Tambahan pula kita akan ke Kuching pada 5 September ini. Lagipun mana sempat untuk kita mencari pengganti kerana kita akan menyambut Aidilfitri esok (hari ini),” katanya.

Tambahnya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) turut berharap FAM dapat mempertimbangkan permohonan itu dengan sewajarnya.

“Posisi penjaga gol begitu kritikal sekarang kerana kita hanya ada seorang penjaga gol iaitu Mohd. Shahrizan (Ismail),” jelasnya.

Mengulas mengenai kecederaan yang menimpa kedua-dua penjaga golnya, Azman memberitahu, khidmat Mohd. Halim terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan pada kakinya ketika menjalani latihan sebelum perlawanan persahabatan di Songkla, Thailand, Jumaat lalu.

“Dia sudah tidak turun menjalani latihan sejak beberapa hari lalu. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana hanya tinggal Mohd. Shahrizan seorang yang menjalani latihan.

“Norhadi (Ubaidillah) pula dinasihatkan berehat selama sebulan kerana mengalami masalah pada paru-paru rentetan kecederaan yang dialami ketika perlawanan menentang Kanada di Kejohanan Sukan Universiti Dunia di Shenzen, China baru-baru ini dan dia kini sudah berehat di rumah dan terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) untuk rawatan susulan,” katanya.

Monday, August 29, 2011

TRW tersepit


JUARA Piala Malaysia musim lalu, Kelantan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada keupayaan penjaga gol kedua, Mohd Shahrizan Ismail dalam saingan yang akan bermula 6 September ini, berikutan tiga penjaga golnya tidak dapat beraksi kerana komitmen kepada skuad kebangsaan, selain masalah kecederaan.

Komitmen penjaga gol utama, Mohd Khairul Fahmi Che Mat bersama skuad Olimpik selain kecederaan dialami penjaga gol ketiga, Norhadi Ubaidillah dan keempat, Halim Napi membimbangkan pengurusan pasukan The Red Warriors (TRW).

Pengurus, Azman Ibrahim mengakui berdepan kesukaran kerana Khairul Fahmi tidak dapat beraksi bagi empat perlawanan awal Piala Malaysia manakala Norhadi mengalami kecederaan dalaman yang memberi kesan pada paru-paru ketika beraksi di temasya Sukan Universiti Dunia (Univer-siade) 2011 di Shenzhen, China, dan Halim pula cedera terkena kaca di tapak kakinya.


Katanya, dengan seorang saja penjaga gol yang boleh beraksi untuk TRW, Kelantan sukar mencari pengganti sesuai untuk didaftarkan memandangkan tempoh seminggu yang singkat sebelum perlawanan sepak mula Piala Malaysia, 6 September ini.

“Cuti menyambut Aidilfitri menyukarkan kami mencari penjaga gol yang sesuai dan benar-benar cergas bagi mengisi posisi itu.

“Kita akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan pelepasan untuk Khairul Fahmi supaya dapat beraksi bersama Kelantan pada perlawanan awal berdepan Sarawak 6 September ini,” katanya di Kota Bharu, semalam.



Meskipun Mohd Shahrizan mampu memikul tugas ditinggalkan Khairul Fahmi, Kelantan memerlukan dua penjaga gol disenaraikan dalam setiap perlawanan.

Beliau berkata, Norhadi dirawat empat hari di hospital Shenzhen. “Norhadi mungkin tidak dapat beraksi selama sebulan manakala Halim pula memerlukan masa untuk pulih.


“Saya difahamkan Khairul Fahmi akan kembali melapor diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik negara pada 1 September sedangkan Kelantan akan ke Sarawak pada 5 September sebelum perlawanan bermula keesokan harinya (6 September).

“Kedudukan kami tersepit dan kami harap FAM memberi pelepasan kepada Khairul Fahmi beraksi pada perlawanan pertama menetang Sarawak,” katanya.

Usah ghairah import pemain


UKUR baju di badan sendiri. Itu peringatan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin terhadap keghairahan pasukan negeri dan kelab yang mahu mendapatkan pemain import dalam saingan Liga Malaysia tahun depan.

Menurutnya, FAM tidak mahu masalah membabitkan pemain import terutamanya berkaitan pembayaran gaji berulang sehingga membabitkan campur tangan pihak yang lebih tinggi seperti Fifa.

“Kami memang membenarkan penggunaan dua pemain import namun ia bukanlah wajib. Saya minta pengurus atau jurulatih agar jangan terlalu ghairah memburu pemain import, pastikan peruntukan mencukupi untuk tempoh satu musim terlebih dulu dan tidak menambahkan lagi beban kewangan.


“Malah untuk sebarang pasukan yang mempunyai kewangan terhad, saya nasihatkan mereka supaya memberikan tumpuan kepada menggunakannya untuk membangunkan pemain tempatan terlebih dulu,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Badan induk bola sepak negara itu mengubah keputusan yang dibuat pada 2009 pada mesyuarat exco Julai lalu apabila membenarkan kembali penggunaan pemain import bagi merancakkan kancah bola sepak tempatan, namun kali ini hanya dua pemain dibenarkan berbanding tiga, seperti sebelum ini.

“Kami juga sudah menetapkan beberapa syarat bagi membolehkan hanya pemain berkualiti dari Divisyen 1 negara Konfederasi Bola Sepak Asia dan Konfederasi Bola Sepak Oceania dan pemain Divisyen 2 Uefa dan Amerika Selatan beraksi,” katanya.

PKNS intai dua tempat teratas Kumpulan B


BERGELAR juara Liga Perdana, Selangor PKNS mengidamkan satu daripada dua tempat teratas Kumpulan B untuk menepati sasaran layak ke suku akhir walaupun sedar laluan berliku menanti mereka.

Sekiranya mahu merealisasikan impian terbabit, Selangor PKNS perlu mengetepikan salah satu pasukan pilihan iaitu juara Piala FA musim ini, Terengganu atau finalis Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan dengan satu lagi pasukan kelab, Sime Darby dijangka menjadi pelengkap.

“Saya akui memang laluan sukar menanti terutamanya Terengganu dan Negeri Sembilan yang membariskan pemain berpengalaman serta menyarung jersi kebangsaan. Malah kedua-dua pasukan beraksi dan bersaing hebat dalam di Liga Super.


“Kami pula sebuah pasukan kerdil. Tiada seorangpun yang bermain untuk skuad kebangsaan, namun tentangan sengit tetap akan diberikan kerana pengalaman beraksi untuk kali pertama pada Piala Malaysia tahun lalu memberikan sedikit pengajaran berguna kali ini,” kata pengendalinya, Abdul Rahman Ibrahim.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, beberapa perlawanan diatur sepanjang bulan ini juga dapat memantapkan lagi kombinasi di kalangan pemain yang berjaya membawa kelab itu muncul sebagai juara Liga Perdana selepas lapan tahun mencuba.

“Saya mahukan pemain sudah mencapai tahap tertinggi apabila saingan bermula pada 6 September ini. Malah kami tidak meminjam pemain dari pasukan lain kerana percaya dengan kemampuan pemain sedia ada,” katanya.



Selangor PKNS membuka tirai saingan dengan melayan kunjungan Negeri Sembilan (6 September), Terengganu (10 September) diikuti sebuah lagi kelab di Lembah Klang, Sime Darby tiga hari selepas itu bagi melengkapkan pusingan pertama peringkat kumpulan.

Penyu tidak perlu gopoh umum nama pemain


Irfan Bakti (lima dari kiri) tetap berpuas hati walaupun pasukannya tidak mempamerkan aksi rancak seperti biasa menentang T-Team pada perlawanan persahabatan di Kuala Terengganu, kelmarin. - utusan/AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU - Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Aku Salim dijangka menamakan kesebelasan utama pasukannya minggu depan setelah menilai prestasi mereka.

Beliau berkata, posisi pemain pertahanan akan menjadi fokus utamanya setelah ketiadaan Mohd. Zubir Azmi yang akan mewakili skuad Olimpik.

"Di bahagian pertahanan sekarang, kita ada Marzuki (Yusof), Mazlizam (Mohamad) dan pemain baru, Faizal (Mohamad) yang dipinjamkan daripada skuad Harimau Muda.

"Alhamdulillah. Saya tengok mereka bermain baik setakat ini dan saya harap kita dapat beri yang terbaik pada hari sebenar perlawanan (perlawanan pembukaan menentang Sime Darby FC pada 6 September ini)," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang tetangga, T-Team di Stadium Nasiruddin Shah yang berakhir dengan keputusan 2-2, kelmarin.

Menyentuh pertemuan tersebut, Irfan berkata, dia berpuas hati walaupun pasukannya tidak mempamerkan aksi rancak seperti biasa.

"Saya tak kisah kepada keputusan (seri 2-2) walaupun inilah satu-satunya perlawanan persahabatan yang kami lalui sebelum memulakan kempen Piala Malaysia musim ini," katanya.

Jelas beliau, apa yang penting ialah, para pemain perlu memberikan komitmen yang jitu sebaik kempen Piala Malaysia bermula nanti.

Terengganu pernah menjadi juara Piala Malaysia pada tahun 2001 dan muncul sebagai naib juara pada tahun 1973, 1982 dan 1998.

Sathia timbang hijrah ke seberang


KOTA BHARU - Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Bola Sepak Al-Hambra Red Warrior (ARMY) yang juga bekas ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianthan mengakui beliau kini bersedia untuk ‘kembali’ selepas bebas daripada penggantungan selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebulan lalu.

Sathianathan ketika ditemui berkata, dia sedang menimbang beberapa tawaran sebagai jurulatih dari beberapa pasukan Liga Malaysia termasuk tawaran dari luar negara iaitu Indonesia dan Myanmar.

Katanya, beliau sedang memperhalusi setiap tawaran tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

“Memang saya ada menerima tawaran daripada kelab di Indonesia dan Myanmar dan ejen saya sedang berunding sekarang. Saya juga ada dihubungi oleh beberapa pegawai pasukan bola sepak tempatan mengenai tawaran ini namun belum memberikan kata putus.

“Sebagai jurulatih sudah pasti saya ingin kembali ke padang. Saya bukan jenis seorang yang suka duduk diam. Saya sudah menerima padahnya digantung selama enam bulan dan berharap ia menjadi satu pengajaran berguna kepada diri saya sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Bekas jurulatih kebangsaan itu digantung FAM selama enam bulan bermula 24 Januari sehingga 23 Julai gara-gara kritikan pedas terhadap tindakan badan induk bola sepak tempatan itu mengubah venue perlawanan Liga Super antara Perlis menentang Terengganu tahun lalu.

Akibatnya, penyandang juara Piala Malaysia, The Red Warriors terpaksa melupakan khidmat Sathianathan untuk saingan musim ini dan menggantikannya dengan bekas penggendali Perak, Datuk M. Karathu.

Sathianathan memberitahu, sebelum membuat sebarang keputusan, beliau terlebih dahulu akan merujuk perkara tersebut kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bagi mendapatkan pandangan.

“Saya sudah maklumkan kepada beliau mengenai tawaran ini. Kalau saya hendak menandatangani tawaran sekalipun saya perlu minta izin daripada beliau,” ujarnya.

Ditanya mengenai kesediaannya untuk mengembangkan kerjaya di luar negara, Sathianathan turut mengakui teruja untuk berbuat demikian, namun ia perlu dinilai daripada pelbagai sudut.
Mengulas mengenai peluang Kelantan dalam kempen Piala Malaysia ini, Sathianathan optimis Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan.

“Sekarang saya lihat Kelantan merupakan satu pasukan yang cukup kuat. Kita sudah ada asas yang kukuh dalam pembentukan pasukan. Saya yakin kita akan memenangi Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini,” katanya.

Saturday, August 27, 2011

Azraai nilai prestasi anak buah


NEGERI Sembilan bakal melengkapkan siri perlawanan persahabatan apabila bertemu Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini dan bagi Mohd Azraai Khor Abdullah, ia diharap memberi impak positif dalam usaha menjana keyakinan tinggi pemainnya menjelang sepak mula Piala Malaysia, 6 September ini.

Ketua jurulatih itu menyifatkan Selangor antara pencabar terkuat kempen Piala Malaysia dan sudah pasti dapat memberi peluang menilai prestasi anak buahnya.

Katanya, walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan seperti ketika menentang Johor FC, Sarawak dan Johor, hakikatnya pertemuan dengan Selangor menjawab persiapan dan prestasi pasukan.


“Perlawanan dengan Selangor ini penting dan diharap memberi impak lebih berkesan dalam usaha kami meletakkan pasukan pada prestasi memuaskan.

“Yang penting adalah keyakinan pemain tinggi untuk berdepan cabaran lebih getir sepanjang saingan Piala Malaysia. Setiap pemain perlu berada pada tahap benar-benar bersedia untuk menggalas cabaran itu.

“Oleh itu, saya harap semua pemain yang diuji dalam perlawanan itu menunjukkan keupayaan sebenar bagi memudahkan saya menilai kemampuan terkini pasukan,” katanya semalam.



Mengulas perebutan penjaga gawang utama antara Mohd Farizal Harun dan Mohd Farizal Marlias, Azraai berkata, ia suatu perkembangan yang sihat dan mampu memberikan impak baik kepada pasukan.

Baginya, kedua-dua pemain itu sudah menunjukkan peningkatan sepanjang persiapan pasukan.

“Kita memerlukan pemain terbaik dan sentiasa berada pada tahap prestasi memuaskan, justeru melalui persaingan ini akan mendorong mereka meningkatkan azam masing-masing untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Tiada pemain import


BERDASARKAN situasi kewangan yang terhad, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak berhasrat mengambil dua pemain import dalam kancah Liga Malaysia musim depan seperti yang dibenarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah penyertaan mereka dalam saingan bola sepak tempatan musim depan juga masih belum pasti dengan keputusan akhir mengenainya hanya akan diketahui selewat-lewatnya awal November ini selepas segala perbincangan mengenai penajaan musim depan selesai.

Perkara itu dinyatakan Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz yang membayangkan perbelanjaan untuk menguruskan pasukan terbabit tanpa menggunakan tenaga import memerlukan bajet kira-kira RM3 juta.


“Buat sementara ini, kami tidak mahu mengambil pemain import. Namun sekiranya terdapat lebihan (wang) yang didapati menerusi beberapa penaja yang di peringkat rundingan, barulah kami akan mencarinya (pemain import),” katanya.

Beliau ditemui selepas penyerahan bayaran gaji kepada pemain skuad Liga Super Kuala Lumpur yang disempurnakan Penaung KLFA, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang berjumlah RM350,000 bagi menyelesaikan tunggakan gaji hampir tiga bulan.

Beliau bagaimanapun menambah tumpuan pihaknya adalah mengeksport pemain seperti yang dilakukan sebelum ini dengan sejarah membuktikan Kuala Lumpur melahirkan pemain berbakat seperti penyerang Pelita Jaya FC, Mohd Safee Sali dan bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan.

Syria setuju tangguh


SYRIA, antara pencabar Malaysia dalam saingan peringkat Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik London 2012 bermurah hati untuk membantu skuad kendalian Ong Kim Swee yang tersepit dengan jadual padat apabila memberi isyarat bersedia menerima permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menangguhkan perlawanan kedua-dua negara pada 23 November ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (gambar), walaupun pihaknya masih belum mendapat keputusan secara rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Syria namun maklumat yang diterimanya secara lisan memberikan perkhabaran baik buat skuad Olimpik negara.

“Kita sudah mengutuskan surat untuk memaklumkan kedudukan sebenar skuad Olimpik negara kepada Syria dan dalam masa yang sama kita juga sudah memberitahu kepada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).


“Secara lisan saya difahamkan Syria ada memaklumkan kepada pihak AFC mereka akan memenuhi permintaan Malaysia tapi sehingga hari ini saya belum mendapat jawapan secara hitam putih,” katanya yang ditemui pemberita selepas sidang media sempena lawatan pasukan bola sepak Eton College ke Malaysia semalam.

Turut hadir pada majlis itu, anakanda Sultan Pahang, Tengku Abdul Fahad Mu’adzam Sultan Ahmad Shah yang mewakili pasukan Eton College, England yang bakal mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan remaja Malaysia dan pasukan remaja Pahang semasa jelajah 14 hari di negara ini.

Azzuddin berkata, jika permohonan menangguhkan perlawanan Malaysia-Syria diterima secara rasmi, perlawanan itu akan ditunda sehari daripada tarikh asal pada 23 November.



Tarikh baru itu akan memberi kelegaan kepada anak buah Kim Swee yang bakal berdepan masalah jika mereka berjaya mara ke final Sukan Sea Indonesia pada 21 atau 22 November ini memandangkan peraturan Fifa menetapkan setiap pasukan tidak boleh beraksi dalam tempoh 48 jam selepas mengharungi perlawanan antarabangsa.

“Mengikut permohonan kita, perlawanan itu (Malaysia-Syria) akan ditunda pada 24 November. Jadual perlawanan peringkat kumpulan sudah diatur dan kita tak boleh memohon untuk menunda tarikh terlalu panjang kerana ia ada hubung kait dengan jadual perlawanan lain,” kata Azzuddin.

Safiq uji nasib


Mohd Safiq Rahim
KAPTEN skuad Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim bersedia untuk menguji nasib bersama Cardiff City apabila ditawar menjalani pemilihan bersama kelab Liga Kejuaraan itu selepas tamat kempen Piala Malaysia hujung Oktober ini.

Peluang itu hadir selepas pengerusi kelab The Bluebirds itu yang juga ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee mengadakan perbincangan dengan Safiq semalam.

“Memang betul saya ditawarkan tempat untuk menjalani ujian pemilihan bersama Cardiff City. Saya sudah menyerahkan semua dokumen peribadi untuk urusan itu dan perbincangan lanjut akan diadakan selepas hari raya, minggu depan.


“Saya gembira dengan tawaran yang diberikan ini walaupun ia hanya ujian pemilihan. “Tawaran yang diberikan kelab ini juga membuktikan betapa aksi pemain tempatan juga sudah dipantau kelab luar.

“Saya berjanji akan memberikan yang terbaik, InsyaAllah saya harap akan berjaya di sana,” kata pemain tengah skuad Liga Super, Selangor itu.

Usaha pemain berusia 24 tahun itu nampak lebih realistik memandangkan syarat untuk bermain dalam Liga Kejuaraan itu tidak begitu ketat berbanding beraksi di Liga Perdana Inggeris.


Menurut Safiq yang mengetuai skuad Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu, jika pemilihan itu berjaya, dia akan ditawarkan kontrak oleh Cardiff City.

“Berdasarkan penerangan yang diberikan kepada saya, tak ada masalah untuk saya beraksi dalam divisyen satu (Liga Kejuaraan) berbanding Liga Perdana Inggeris yang mengenakan syarat hanya pemain dari negara ranking dunia 70 ke bawah dan memiliki sekurang-kurangnya 75 cap bersama skuad senior kebangsaan.


“Saya akan menjalani ujian pemilihan selama tiga minggu dan jika mereka berpuas hati dengan prestasi saya, mereka akan menawarkan kontrak ketika musim perpindahan pemain Januari tahun depan,” kata Safiq yang turut menyatakan kemungkinan penyerang, Mohd Safee Sali turut mengikut jejak langkahnya.

Selain dianggap pemain berpengaruh di bahagian tengah, Safiq juga cukup terkenal sebagai pakar sepakan percuma. Antara gol menarik yang pasti dikenang penyokong Harimau Malaya adalah ketika dia menjaringkan gol menentang Liverpool pada perlawanan persahabatan Julai lalu.

Pemain Perak digesa bangkit

Cari penawar ubati kegagalan laksanakan sasaran Liga Super lalu

PEMAIN Perak digesa bangkit daripada kegagalan melaksanakan sasaran Liga Super lalu dengan melakar pencapaian memberangsangkan pada kancah Piala Malaysia bermula 6 September nanti.

Amanat itu dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kepada pemain skuad Seladang ketika majlis berbuka puasa di rumah pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun di Ipoh, kelmarin.
Sebenarnya saya dan ahli majlis lain terkilan dengan kegagalan mencapai sasaran menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik. - Zainol Fadzi Paharuddin, Presiden PAFA
“Sebenarnya saya dan ahli majlis lain terkilan dengan kegagalan mencapai sasaran menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik,” kata Zainol. “Apapun berbanding musim lalu, pencapaian tangga keenam boleh dianggap baik.

“Justeru pemain harus segera lupakan kekecewaan itu, sebaliknya menumpukan perhatian untuk melakar kejayaan memberangsangkan dalam Piala Malaysia.” 

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan turut mengingatkan pemain supaya fokus terhadap tugasan mereka nanti.

“Jangan biarkan perkara peribadi menjejas tumpuan kerana setahu saya, tiada sebarang masalah dalaman. Jadi tiada sebab persembahan Perak harus terjejas,” katanya sambil mengakui Perak berada dalam dilema berikutan lima tonggaknya digantung tujuh perlawanan. 


Namun Zainol berharap rayuan PAFA terhadap hukuman itu membuahkan keputusan positif untuk membolehkan Perak menurunkan kaptennya, Shahrulnizam Mustapa, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Nasril Nourdin, Azmeer Yusof dan Mohd Syazwan Roslan.

Selain pemain, penolong pengurus, Ahmad Shahrul Azhar Sofian turut dikenakan penggantungan oleh Jawatankuasa Tata Tertib FAM kerana didakwa “menyerang” pengadil selepas perlawanan liga dengan Sabah di Stadium Lumut, Mei lalu.

Syria pegang kata putus: Azzuddin

PERTEMBUNGAN tarikh perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA pada 22 November dengan perlawanan peringkat kumpulan kelayakan Olimpik bertemu Syria (23 November) hanya akan terarah kepada dua kemungkinan – skuad Olimpik terpaksa melupakan final Sukan SEA atau Syria berkorban masa untuk memberi laluan kepada Malaysia mempertahankan pingat emas temasya Asia Tenggara itu. 

Skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee yang mempunyai dua tugasan besar tahun ini - kelayakan Olimpik dan Sukan SEA - perlu mencari penyelesaian terbaik dalam memastikan kedua-dua sasaran ditangani dengan baik.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menghantar permohonan kepada Syria dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menunda tarikh perlawanan dari 23 kepada 24 November, dan menurut Setiausaha Agung FAM, ada tanda-tanda positif daripada kedua-dua pihak berkenaan.
“Kita sudah maklumkan kepada AFC dan Syria mengenai perkara ini dan secara lisan saya difahamkan, Syria ada memberi petanda positif kepada AFC yang mereka akan menerima permohonan Malaysia,” kata Azzuddin selepas sidang media lawatan pasukan bola sepak Eaton College di ibu negara, semalam. 

Menurut Azzuddin, pihak AFC tiada masalah menerima permohonan Malaysia menunda tarikh perlawanan, tetapi memerlukan persetujuan Syria yang selepas bertemu Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, akan terbang ke Jepun untuk perlawanan seterusnya, 27 November. 

Sekiranya skuad Sukan SEA mara ke final dan Syria pula bersetuju menunda perlawanan ke 24 November, anak buah Kim Swee hanya mempunyai tempoh 48 jam untuk berehat dan membuat persediaan manakala Syria terpaksa mengorbankan sehari tempoh rehat mereka sebelum bertemu Jepun. 

Namun daripada latihan skuad Olimpik di Slovakia sejak akhir bulan lalu, Kim Swee tampak seperti sedang bersedia dengan kemungkinan terpaksa mewujudkan dua kumpulan pemain berbeza. 


Sepanjang latihan di sana, Kim Swee mencuba dua pasukan berbeza dalam tujuh perlawanan persahabatan dengan lima daripadanya dimenangi skuad Olimpik kebangsaan. Jika percaturannya menjadi, sasaran mengekalkan emas Sukan SEA dan mengutip mata Olimpik di Bukit Jalil, mampu menjadi kenyataan. 

Dalam pada itu, Azzuddin mengesahkan perlawanan persahabatan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal dengan Australia di Sydney pada 7 Oktober turut bertembung dengan tarikh perlawanan suku akhir Piala Malaysia. 

Kini terpulang kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) untuk memutuskan sama ada meneruskan jadual perlawanan tanpa pemain kebangsaan, atau sekali lagi meminda tarikh pertandingan bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa.

Nasib skuad Kuala Lumpur diketahui awal November


KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL), Datuk Astaman Aziz menganggarkan antara akhir Oktober hingga awal November untuk memastikan sama ada skuad Helang Kota mampu kekal menyertai Liga Malaysia atau sebaliknya pada musim depan.

Katanya, ia banyak bergantung kepada penyusunan penajaan jangka panjang yang bukan sahaja bagi membiayai skuad Liga M bahkan berkaitan penubuhan sebuah akademi bola sepak bersama kelab gergasi Liga Perdana England (EPL), Liverpool.

"Kuala Lumpur memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM3 juta semusim liga tetapi DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang banyak membantu kami sekarang, perlu memberikan keutamaan kepada hal lain.

"Jadi jika kami dapat menyelesaikan urusan penajaan itu antara akhir Oktober hingga awal November, mungkin Kuala Lumpur boleh terus bermain dalam liga," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan DBKL kepada pasukan Liga M, pengadil dan pemenang Liga PBKL, semalam.

Cek bernilai RM350,000 sebagai sumbangan daripada geran tahunan DBKL itu disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Mengenai penubuhan akademi dengan Liverpool, ia merupakan yang pertama seumpamanya dilakukan kelab EPL itu di luar negara dan kata Astaman, ia dijangka mula beroperasi pada Januari 2012 dan mampu meneruskan tradisi Kuala Lumpur sebagai penjana bakat baru bola sepak negara.

Berhubung soal padang stadium berkenaan yang rosak teruk sehingga memaksa Kuala Lumpur menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang tuan rumah Piala Malaysia, 6 September ini kata Astaman, ia bakal dapat diperbaiki dalam tempoh sebulan.

"Kami berharap DBKL dapat menyiapkannya sebelum musim baru Liga Malaysia tetapi menyedari penyelenggaraan rumput padang Bermuda agak sukar berbanding jika ia daripada jenis Cowgrass.

"Ia rosak kerana pelapik lambat dibuka selepas digunakan bagi Sukan Malaysia dan World Marching Band, beberapa bulan lalu yang diadakan secara berturut-turut sehingga rumput mati dan diserang serangga perosak," katanya.

Jangan tolak pelawaan Socceroos


KEMAMAN - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyambut baik pelawaan Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad Harimau Malaya.

Menurut Shabery, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu meneliti dengan sewajarnya pelawaan itu kerana ia dilihat sebagai satu penghormatan untuk menentang pasukan Socceroos (skuad kebangsaan Australia) - antara pasukan ternama di dunia.

“Kita harap FAM dapat melihat pelawaan ini sebagai satu tawaran yang sangat menarik kerana ia boleh meningkatkan pengalaman serta mutu permainan pemain-pemain kebangsaan.

“Justeru, saya berharap agar FAM akan meneliti penyelarasan jadual latihan agar ia tidak mengganggu pertandingan atau latihan tempatan bagi membolehkan perlawanan itu diadakan,” katanya.

Beliau mengulas undangan FFA untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Harimau Malaya sehari sebelum saingan Piala Malaysia bermula.

Jelas Ahmad Shabery, sebagai alternatifnya, perlawanan itu boleh diadakan seperti tarikh yang dicadangkan FFA iaitu pada 9 Oktober ini di Sydney dan ia dijangka tidak akan menjejaskan kempen Piala Malaysia yang berlangsung ketika itu.

“Kita percaya FAM akan memikirkan sebaik-baiknya perkara ini termasuk menyusun semula jadual perlawanan tempatan bagi memberikan laluan kepada pasukan kebangsaan beraksi menentang skuad Piala Dunia Australia itu, yang juga naib juara Piala AFC,” katanya.

Tambah beliau, FAM tidak seharusnya menolak pelawaan atau undangan yang jarang diterima itu kerana kehebatan skuad Harimau Malaya kini telah dinilai oleh pasukan negara luar.

“Walaupun Malaysia gagal meneruskan cabaran dalam kempen Piala Dunia tetapi tawaran tersebut sebagai satu penghormatan dan kita boleh terus mempergiatkan latihan termasuk untuk bertanding dalam Piala AFC dan Piala Suzuki tahun hadapan,” katanya.

Friday, August 26, 2011

Yunus kaji kelemahan


BIARPUN tewas 1-3 kepada Kelantan, skuad T-Team menyifatkan perlawanan ujian di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin, berjaya mendedahkan kelemahan pasukan.

Ketua jurulatih, Yunus Alif berkata, Kelantan menunjukkan permainan bagus dan lebih tenang untuk menguasai perlawanan walaupun diberi tekanan sepanjang permainan.

“Kelantan boleh dikatakan pasukan sempurna dan pemain mereka tenang dan bijak menggunakan peluang yang ada.


“Keputusan perlawanan tidak penting kerana menerusi perlawanan itu saya dapat mengesan kelemahan untuk diperbaiki secepat mungkin,” katanya.

Kelantan mendahului pelawat menerusi sepakan penalti seawal minit ke-19 yang disempurnakan kapten Mohd Badri Radzi.

T-Team turut mendapat penalti pada m-24 selepas penjaga gawang Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail mengasari Shamsul Kamal Mohd yang kemudian disempurnakan Fitri Omar.



Dua lagi gol Kelantan dijaringkan pemain pinjaman Pahang, Azamuddin Mohd Akil dan Mohd Badri Radzi.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, keputusan perlawanan persahabatan tidak menjadi ukuran kerana apa yang lebih penting pemainnya mengekalkan kemantapan corak permainan.


“Kami menang perlawanan ini kerana pemain beraksi seperti dirancangkan dan saya harap mereka dapat mengekalkan rentak permainan seperti ini ketika kempen Piala Malaysia nanti,” katanya.

KLFA lunas tunggakan


PEMAIN bola sepak warga kota kini boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan membayar gaji tertunggak sejak pertengahan Mei lalu.

Berita gembira itu disahkan Presiden Datuk Astaman Abdul Aziz yang menjelaskan bayaran gaji tertunggak itu adalah bagi Mei, Jun dan Julai.

“Kami akan mengadakan satu majlis hari ini bagi tujuan terbabit yang bakal disempurnakan Penaung KLFA, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar,” katanya ketika dihubungi semalam.


Menurutnya, bayaran gaji tertunggak terbabit adalah wang penajaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah RM350,000.

“Baki sebulan gaji lagi (Ogos) akan dibayar selepas sambutan Aidilfitri. Pihak kami sudah mengadakan perbincangan dengan pihak penaja bagi tujuan itu dan pemain tidak perlu bimbang berhubung baki gaji terbabit,” katanya.

Pembayaran gaji tertunggak terbabit pastinya membakar semangat pemain Kuala Lumpur yang bakal memulakan saingan dalam Piala Malaysia bermula 6 September ini.



Kuala Lumpur, antara juara Piala Malaysia sebelum ini, diundi dalam Kumpulan D bersama juara 32 kali, Selangor selain T-Team dan PDRM.

Skuad kendalian Mohd Razip Ismail itu menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-12 hasil komitmen tinggi pemain, sekali gus mengelakkan mereka berada dalam kedudukan dua pasukan tercorot dan tersingkir ke Liga Perdana musim depan, selain mara sehingga suku akhir saingan Piala FA.

‘Pelawaan sukar ditolak’


TAWARAN menarik Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal, Oktober ini, sememangnya sukar ditolak, namun apa yang mencetuskan sedikit masalah apabila tarikh itu bertembung dengan jadual perlawanan Piala Malaysia.

Mengikut undangan FFA kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu lalu, perlawanan persahabatan itu dijadual berlangsung di Sydney, Australia pada 7 Oktober ini, sedangkan perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia diadakan sehari selepas itu.

Perkara ini akan dibincangkan Exco FAM dengan teliti terlebih dulu biarpun pada dasarnya skuad kebangsaan menjadi keutamaan badan induk bola sepak tanah air itu.


Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (gambar) berharap FAM menerima pelawaan skuad Socceroos itu yang dianggap peluang terbaik dan tidak mudah diperoleh.

“Pada saya FAM sepatutnya terima jemputan itu (perlawanan menentang Australia) walaupun kempen Piala Malaysia hangat berlangsung ketika itu. Kita ketepikan saingan Piala Malaysia kerana bukan senang, malah tak pernah dapatpun sebelum ini,” katanya.

Kempen Piala Malaysia musim ini yang membabitkan 16 pasukan akan memulakan saingan pada 6 September ini. Dua pasukan terbaik daripada empat kumpulan akan meneruskan cabaran suku akhir pada 4 dan 8 Oktober manakala separuh akhir pula akan berlangsung pada 14 dan 22 Oktober. Kemuncak kejohanan itu akan diadakan pada 29 Oktober.



Norshahrul, penyerang Kelantan yang turut dikenali dengan panggilan Mat Yo tidak dapat menyembunyikan keinginan besar untuk kembali beraksi bersama Harimau Malaya jika perlawanan menentang skuad Piala Dunia Australia kendalian Holger Osieck itu menjadi kenyataan.

“Kalau diberi peluang memang saya nak sangat bermain dalam perlawanan itu tapi apapun saya kena rebut semula tempat dalam skuad kebangsaan terlebih dulu,” katanya yang terpaksa diketepikan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 sebelum ini akibat kecederaan hamstring.


Skuad juara Asia Tenggara kendalian Rajagobal berdepan kesukaran mendapatkan perlawanan kompetitif sebagai persiapan membentuk skuad mantap bagi mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun depan dan juga kempen kelayakan Piala Asia 2015 selepas gagal mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia kepada Singapura Julai lalu.

Namun Naib Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal yang juga pengurus pasukan kebangsaan sewaktu memaklumkan jemputan FFA semalam berkata, perlawanan dengan naib juara Piala Asia 2011, Australia adalah satu penghormatan dan pendedahan terbaik buat pemain Harimau Malaya.

Tiga pemain skuad Olimpik pikat Vion FC

GAMBAR kiri,  FADHLI (kiri) beraksi mantap mengekang pemain Arsenal, Marouane Chamakh pada perlawanan persahabatan, bulan lalu. Gambar kanan, WAN Zack    (kanan) berentap dengan pemain Lubnan,  Mohamad Haidar  pada perlawanan kelayakan Olimpik, Jun lalu. Gambar kecil, Irfan Fazail.
GAMBAR kiri, FADHLI (kiri) beraksi mantap mengekang pemain Arsenal, Marouane Chamakh pada perlawanan persahabatan, bulan lalu. Gambar kanan, WAN Zack (kanan) berentap dengan pemain Lubnan, Mohamad Haidar pada perlawanan kelayakan Olimpik, Jun lalu. Gambar kecil, Irfan Fazail.

Fadhli, Wan Zack, Irfan bakal sertai kelab Liga Divisyen Satu Slovakia untuk tiga bulan 

HANYA selepas sebulan berlatih di Slovakia dan mengharungi tujuh perlawanan persahabatan di sana, tiga pemain skuad Olimpik negara berjaya memikat hati kelab Liga Divisyen Satu negara itu - Vion FC - untuk menjadi medan latihan lanjutan sehingga November ini.

Khidmat pemain pertahanan, Fadhli Shas, dan dua pemain tengah, Wan Zack Haikal Wan Nor serta Irfan Fazail bakal dipinjamkan kepada kelab berkenaan untuk tempoh tiga bulan selepas masing-masing mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu skuad negara merakam lima kemenangan daripada tujuh perlawanan di sana.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan, semalam menganggap ini adalah peluang terbaik buat tiga pemain berkenaan dan juga skuad Olimpik kebangsaan dalam persiapan menghadapi saingan kelayakan peringkat kumpulan Olimpik 2012 yang bermula 21 September ini. 

“Ketiga-tiga pemain berpendapat ini adalah kesempatan terbaik buat mereka menimba pengalaman dan seterusnya memperbaiki permainan masing-masing,” kata badan induk bola sepak negara itu. “Mereka akan bersama-sama Vion FC berkuat kuasa serta merta sehingga tamat musim pada 31 Oktober ini. 

“Walaupun akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri di perantauan, Persatuan berharap mereka akan terus cemerlang bersama Vion FC.” Sepanjang sesi latihan di sana, Wan Zack menjadi penyumbang terbanyak gol skuad Olimpik kebangsaan manakala Irfan membuktikan kelincahannya sebagai perancang utama pasukan kendalian Ong Kim Swee. 

Sementara itu, baki 27 pemain akan pulang ke ibu negara esok tetapi akan terus menyambung sesi latihan pada 1 September. Seramai 22 pemain dipanggil melaporkan diri di Wisma FAM sebelum berangkat ke Jepun pada 15 September.

Masalah gaji skuad KL selesai


KUALA LUMPUR - Penantian pemain bola sepak Kuala Lumpur untuk mendapat gaji tiga bulan yang tertunggak berakhir apabila Dewan Banda Raya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju menyumbangkan RM350,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada geran tahunan DBKL dan majlis penyampaian sumbangan tersebut akan disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Stadium KLFA, Cheras hari ini.

Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz menyifatkan sumbangan tersebut sebagai 'nyalaan sinar' yang cukup bermakna kepada KLFA terutamanya menjelang sambutan 1 Syawal.

"Saya yakin sumbangan ini akan dapat menyelesaikan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai sebelum menjelang Syawal," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Astaman menambah, kehadiran Raja Nong Chik sebagai Penaung KLFA memberi sinar baru kepada hala tuju skuad ibu kota itu untuk menghadapi Liga Super musim depan.

"Apa yang diharapkan kedua-dua perkembangan terbaru yang diterima KLFA ini bakal menjadi suntikan semangat buat para pemain dalam mempersiapkan diri mereka bagi mengharungi cabaran Liga Super musim depan," ujarnya.

Jelasnya, pasukan Kuala Lumpur sewajarnya menerima sokongan penuh daripada Kementerian berkenaan, khususnya dalam membantu membina skuad bola sepak yang mantap.

Karathu dapat ilham


Norshahrul Idlan Talaha antara pemain yang diturunkan Kelantan pada perlawanan persahabatan dengan T-Team di Stadium Sultan Muhammed IV, kelmarin.


KOTA BHARU - Selepas empat aksi persahabatan, pengendali Kelantan, Datuk M. Karathu sudah mendapat ilham pemain yang akan membarisi kesebelasan utama pasukannya untuk menghadapi kempen Piala Malaysia mulai 6 September ini.

Menurut Karathu, skuad yang diturunkan pada aksi persahabatan dengan T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV di sini kelmarin, adalah skuad terbaik yang pernah disaksikan beliau setakat ini.

Pada perlawanan kelmarin, Kelantan menang 3-1 ke atas T-Team.

"Pemain yang saya turunkan dalam perlawanan ini adalah skuad utamaRed Warriors.

"Apabila saya lihat tahap kecergasan mereka berkurangan barulah saya membuat pertukaran. Tujuan saya ialah untuk memberi peluang mereka beraksi dalam 90 minit.

"Ini penting buat mereka untuk mendapatkan semula rentak permainan sebelum Piala Malaysia bermula. Berdasarkan perlawanan ini saya sudah dapat 'ilham' siapa yang akan beraksi dalam kesebelasan utama," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Mengenai persembahan pasukannya kelmarin, Karathu berpuas hati biarpun pemain belum mencapai tahap kecergasan sebenar.

"Dalam perlawanan ini, bukan kemenangan yang kami cari. Saya mahu melihat aksi pemain yang diturunkan. Begitupun kemenangan malam ini penting sebagai semangat tambahan sebelum mengharungi Piala Malaysia.

"Saya harap kita dapat meneruskan rentak cemerlang ini dan mengembalikan semula tahap kecergasan pemain.

"Tempoh seminggu sebelum saingan akan digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan semua tahap tersebut," ujarnya.

Latihan skuad Olimpik 1 Sept.


KUALA LUMPUR - Sesi latihan dan pemilihan pemain skuad bola sepak Olimpik Malaysia bagi menghadapi perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Olimpik akan diadakan di dalam negara dan luar negara mulai 1 September ini.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan semalam, 22 pemain diminta untuk melaporkan diri di Wisma FAM di Kelana Jaya, Petaling Jaya untuk menjalani latihan dan pemilihan di bawah pengendalian jurulatih pasukan bola sepak Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee, pada 1 September.

Pemain akan menjalani latihan di Wisma FAM dari 1 hingga 15 September dan di Jepun dari 16 hingga 18 September.

Antara pemain yang dipanggil ialah penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd. Izuan Solahuddin dari pasukan Kelantan, Mohd. Zubir Mohd. Azmi (Terengganu), Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur) dan Mohd. Azrif Nasrulhaq (PKNS).

Selain itu, dua pemain dari skuad Harimau Muda B, Muhammad Nazmi Faiz dan Muhammad Syazwan Tajuddin, juga turut dipanggil.

Sementara pemain skuad Harimau Muda A yang dipanggil ialah Abdul Shukor Jusoh, K. Gurusamy Govandar, Izzaq Faris Ramlan, Mahalli Jasuli, Mohamad Amer Saidin, Mohammad Muslim Ahmad, Mohd. Fandi Othman, Mohd. Ferris Daniel Mat Nasir, Mohd. Izham Tarmizi, Muhammad Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, Syahrul Azwari Ibrahim, Thamil Arasu Ambumamee dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Pada undian untuk pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 yang diadakan pada 7 Julai lepas, Malaysia diundi bersama Jepun, Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C.

Sementara Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi dan Oman diundi dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B terdiri daripada Australia, Iraq, Uzbekistan dan Emiriah Arab Bersatu.

Pada perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Olimpik pada 21 September ini, skuad Olimpik Malaysia dijadual bertemu Jepun.

QPR nilai pemain kita


KUALA LUMPUR – Pemilik Queens Park Rangers (QPR), Tan Sri Tony Fernandes telah menyerahkan video aksi beberapa pemain Malaysia kepada pengurus pasukan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Neil Warnock bagi menilai kemampuan mereka.

Fernandes berkata, beliau sendiri berjumpa dengan Warnock bagi menyerahkan video tersebut dan berharap beberapa pemain negara akan dipanggil untuk menjalani latihan bersama QPR.

“Bagaimanapun, ramai sedia maklum bahawa pasukan bola sepak Malaysia tidak berada pada kedudukan 70 teratas dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang merupakan syarat untuk beraksi dalam EPL.

“Hal ini sekali gus menyukarkan pemain mendapatkan permit kerja untuk beraksi di sana. Apa pun, kami berharap ada pemain Malaysia akan dipanggil untuk menjalani latihan bersama QPR,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran AirAsia bersama media dan anak yatim, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Sebelum ini, kelab itu menyatakan kesediaan memberi peluang kepada pemain negara, Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) untuk mengikuti latihan bersama kelab itu.

Berdasarkan kedudukan terbaru yang dikeluarkan oleh FIFA semalam, Malaysia berada pada tempat ke-146.

Kata Fernandes, Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat tetapi kurang mendapat pendedahan terhadap corak permainan tahap terbaik.

Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. berharap pembelian kelab EPL itu akan membantu pembangunan bola sepak negara.

Mengulas mengenai QPR mengharungi cabaran musim ini, Fernandes berkata, kelab itu sedang mencari beberapa pemain baru sebelum tamatnya tempoh perpindahan pemain pada 31 Ogos ini.

“Kami tidak keberatan untuk berbelanja bagi mendapatkan pemain yang baik,” katanya.
Fernandes berkata, beliau memberi kebebasan penuh kepada Warnock dalam menguruskan pasukan itu dan tidak mahu mencampuri aspek teknikal selain membiarkan ia diuruskan oleh individu yang berkelayakan.

Thursday, August 25, 2011

Pemain Singa Utara minta PFA bayar tunggakan gaji


“KAMI kini berdepan pelbagai kesukaran khususnya kewangan untuk perbelanjaan harian sepanjang Ramadan mahupun membuat persiapan menyambut Aidilfitri selepas tidak menerima bayaran gaji untuk Jun dan Julai.

“Justeru, kami amat berharap agar pengurusan pasukan dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dapat menyegerakan bayaran tunggakan gaji kerana ia cukup penting bagi memastikan kami tidak terus dibelenggu masalah,” kata salah seorang pemain skuad Singa Utara yang enggan namanya didedahkan.

Difahamkan, ada pemain dan pegawai pasukan terbabit tidak dibayar sejak Mei lalu.

Mereka yang terbabit dikatakan sudah berusaha termasuk menghubungi pengurusan pasukan bagi mendapat penjelasan berhubung perkara itu, namun belum ada jawapan atau tanda-tanda masalah itu bakal diselesaikan.

Justeru, barisan pemain yang sebahagian besarnya tenaga muda manakala selebihnya sudah berkeluarga amat berharap pengurusan skuad Singa Utara dan PFA selaku majikan dapat mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu dalam tempoh terdekat.

Pemain terbabit berkata, walaupun Perlis gagal layak ke Piala Malaysia selepas menduduki tangga tercorot Liga Super, dia tidak menafikan amat bergantung kepada pembayaran gaji untuk perbelanjaan harian dan keluarga.



“Masalah kelewatan pembayaran gaji ini membebankan kami. Sungguhpun Perlis tidak lagi beraksi pada Piala Malaysia, kami masih anggota pasukan. Wajarlah jasa dan pengorbanan kami dihargai,” katanya.

Harimau Malaya bertuah


SKUAD Harimau Malaya masih bertuah biarpun terkandas di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu apabila pasukan gergasi Asia, Australia mengundang anak buah Datuk K Rajagobal bertandang ke Sydney pada 7 Oktober ini bagi perlawanan persahabatan.

Berita baik itu disampaikan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal yang menyifatkan pelawaan naib juara Piala Asia 2011 itu sebagai satu penghormatan dan pendedahan terbaik buat pemain negara.

“Kami menerima jemputan untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Australia, minggu lalu. “Bagaimanapun perkara ini akan dibincangkan di peringkat Exco terlebih dulu tapi kemungkinan besar kami bersetuju kerana bukan senang untuk kita diberi peluang menentang skuad Piala Dunia Australia.


“Saya fikir belum pernah Malaysia menentang Australia sebelum ini dan ini satu penghormatan buat skuad Harimau Malaya apabila dapat berdepan barisan pemain bintang Australia seperti Tim Cahill dan Harry Kewell,” katanya.

Pelawaan Australia itu ibarat orang mengantuk disorongkan bantal buat FAM yang berdepan kesukaran mendapatkan perlawanan berkualiti buat skuad kebangsaan selepas gagal mara ke peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia apabila tumpas kepada Singapura menerusi agregat 6-4 sebelum ini.

Ini terbukti apabila skuad kebangsaan yang berkumpul pada awal bulan lalu hanya menjalani latihan biasa tanpa perlawanan persahabatan antarabangsa selepas gagal mencari pasukan bagi menggantikan Oman dan Indonesia yang membatalkan perlawanan yang diatur pada awalnya.



Selain memiliki reputasi selaku juara Asia Tenggara, Malaysia menjadi pilihan Australia yang dibimbing jurulatih Jerman, Holger Osieck sebagai persiapan sebelum menentang Thailand pada pusingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia pada 15 November ini.

“Australia akan menentang Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia, mungkin mereka mahu mencari pasukan dari rantau ini untuk dijadikan ujian sebelum menghadapi perlawanan itu,” katanya.

Misi wajib menang


KUALA LUMPUR - Ganjaran yang munasabah menanti pasukan Selangor jika berjaya mengakhiri kemarau sebarang kejuaraan musim 2011 dan Piala Malaysia selama lima tahun dalam misi yang 'wajib' ditunaikan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata, ia dijanjikan dalam bentuk yang agak berlainan dari sebelumnya, memandangkan kali terakhir Gergasi Merah menjulang piala keramat itu pada 2005 dan nyaris mengulanginya tiga tahun kemudian.

Katanya, "Biarpun hanya Majlis FAS yang dipengerusikan Presiden (Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim) yang akan memastikan bentuknya, saya boleh katakan ia agak berlainan dan sesuatu yang munasabah kalau mereka menang (piala itu).

"Selangor tidak mampu kehilangan satu-satunya piala yang tinggal musim ini kerana kami telah terlepas Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super. Jadi kami tekankan kepada jurulatih dan pasukan mereka wajib menang Piala Malaysia," tegasnya.

Selangor yang diterajui K. Devan sejak 2008, gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini apabila menduduki tempat ketiga di belakang Kelantan dan Terengganu selain terkandas pada separuh akhir Piala FA.

Abdul Mokhtar yang ditemui pada majlis berbuka puasa dengan pasukan Merah Kuning kelmarin menambah, kecederaan pemain tonggak atau jadual padat tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi pasukan jika mereka gagal lagi.

"(Kecuali Khairul Anuar Baharum tercedera), semua masalah sudah diatasi. Sebagai profesional dan berpengalaman, pasukan perlu mampu mengatasi tekanan dan tahu bagaimana untuk mengolah corak permainan yang bercirikan kejayaan," katanya.

Beliau mengakui rombakan tidak dapat dielakkan, sekiranya Merah Kuning terus kempunan kejuaraan musim ini.

Namun, katanya ia hanya boleh dipertimbangkan selepas prestasi sepanjang Liga M dinilai dan menjelang kedatangan musim 2012.

"Rombakan ini lumrah apatah lagi pada musim 2012, Liga M akan kembali dibuka kepada pemain import. Kami belum memikirkan pemain import yang akan diambil kerana kami masih pada peringkat rundingan," katanya.

Wednesday, August 24, 2011

Azraai lega Zaquan kian pulih


PENYERANG Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak diberi peluang beraksi dalam perlawanan persahabatan bagi meningkatkan keyakinan dan prestasi untuk menggalas cabaran pasukan pada saingan Piala Malaysia, 6 September ini.

Dia yang berehat panjang berikutan kecederaan lutut, diturunkan ketika Neger Sembilan menumpaskan Sarawak, 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu lalu.

Sebelum itu, Negeri Sembilan terikat 1-1 dengan Johor FC di tempat lawan.

Jurulatih, Azraai Khor Abdullah lega dengan perkembangan positif Zaquan namun dia lebih kerap diturunkan bagi mendapatkan kembali rentak terbaiknya.

“Sekalipun Zaquan belum mencapai tahap maksimum, kemajuan yang dipamerkan dalam perlawanan persahabatan menentang Sarawak suatu perkembangan baik. Dia akan diturunkan menentang Johor dan Selangor di Stadium Paroi,” katanya semalam.

Negeri Sembilan yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara Piala FA, Terengganu dan juara Liga Perdana, Selangor PKNS serta Sime Darby, amat menagih khidmat Zaquan dalam misi merampas kembali trofi Piala Malaysia yang terlepas kepada Kelantan, musim lalu.



“Kami harap Zaquan memperoleh rentak terbaiknya bagi membantu merealisasikan impian menjuarai Piala Malaysia,” kata Azraai yang gembira dengan peningkatan persefahaman seluruh pasukannya. “Ada perkembangan positif namun banyak lagi perlu dilakukan kerana saingan Piala Malaysia lebih sengit. Kita perlu membentuk kombinasi terbaik untuk memastikan kejayaan pasukan,” katanya.

Keputusan FAM tepat


MEMBARA...skuad Olimpik berentap di Sukan Sea dan kelayakan Olimpik.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tetap menganggap mereka melakukan keputusan tepat dengan hanya menyediakan satu pasukan untuk mengharungi Sukan Sea Indonesia dan pusingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 November ini biarpun tindakan itu dikritik segelintir pihak.

Naib Presiden, Datuk Afandi Hamzah berkata, pasukan Olimpik kendalian jurulatih Ong Kim Swee sudah melakukan persiapan rapi sejak awal dan dilihat mampu memberikan persembahan terbaik dalam kedua-dua kejohanan itu walaupun terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat.

“Pendapat semua pihak ada asasnya dan mereka boleh memberikan pandangan masing-masing. Tapi masalah pertembungan jadual bola sepak Sukan Sea dan kelayakan Olimpik hanya kebetulan kerana tidak pernah berlaku dua kejohanan itu dilangsungkan pada tempoh lebih kurang sama sebelum ini. Malah kami juga hanya mengetahui secara rasmi tarikh jadual perlawanan kelayakan Olimpik selepas majlis undian Julai lalu.


“Kami membuat persiapan rapi untuk skuad Olimpik yang kesemuanya pemain bawah 23 tahun manakala acara bola sepak Sukan Sea juga untuk pemain bawah 23 tahun dan atas sebab itu FAM membuat keputusan untuk menghantar pasukan yang sama.

“Kedua-dua kejohanan ini sama penting dan memang kami meletakkan sasaran untuk mara ke final Sukan Sea dan juga beraksi cemerlang di pusingan kelayakan Olimpik dan pasukan yang dibarisi pemain bawah 23 tahun ini semestinya yang berdaya saing,” jelas Afandi.

Dalam laporan Arena Metro semalam, pengkritik sukan, Serbegeth Singh mempersoal tindakan FAM yang tidak menyediakan pasukan berbeza bagi menghadapi Sukan Sea Indonesia dan pusingan peringkat Kumpulan C kelayakan Olimpik London.



Selain jadual padat yang boleh menjejaskan prestasi pemain, bekas pemain kebangsaan itu juga berpendapat lebih baik FAM menyediakan dua pasukan bagi membolehkan lebih ramai pemain muda mendapat pendedahan.

Final acara bola sepak Sukan Sea Indonesia akan berlangsung pada 22 November manakala perlawanan kedua Malaysia dalam kumpulan C kelayakan Olimpik menentang Syria pula pada 23 November dan seterusnya bertemu Bahrain 27 November.


Apa yang diharapkan FAM ketika ini agar permohonan mereka untuk menunda perlawanan dengan Syria berjaya bagi mengelakkan sebarang masalah jika Malaysia layak beraksi di final Sukan Sea untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos pada 2009.

“Kita akui jadual padat boleh menjejaskan persiapan tapi kita akan cuba atasi perkara ini dan diharap permohonan untuk menunda perlawanan dengan Syria akan berjaya,” kata Afandi.

Sebelum perlawanan menentang Syria, Malaysia wakil tunggal Asia Tenggara akan memulakan kempen kelayakan Kumpulan C menentang Jepun di Stadium Tosu pada 21 September ini.

Kami mampu ulangi atasi Merah Kuning: Yunus

KEJAYAAN menumpaskan Selangor dua kali dalam saingan Liga Super memberi keyakinan kepada T-Team mengulangi detik itu sekali lagi menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Piala Malaysia pada 6 September ini. 

Jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dan strategi permainan tersendiri untuk menghadapi juara 32 kali itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Kami sudah membuat persediaan rapi, termasuk mengenal pasti barisan pemain utama yang akan diturunkan bagi menghadapi kejohanan berprestij ini,” katanya, semalam.
Yunus berkata, sebagai persediaan, T-Team mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi memastikan prestasi pemain berada di tahap terbaik. 

“Sebelum bercuti raya, T-Team akan mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang Kelantan di Kota Baharu, hari ini diikuti pasukan Terengganu, Jumaat ini,” katanya. 

Selangor yang bakal diketuai Safiq Rahim dijangka menjadi antara pemain yang menjadi tumpuan pasukan tuan rumah dan T-Team jelas mahu membuat satu lagi kejutan.

Red Warriors merah padam

PSK naik kadar sewa Stadium Sultan Muhammad seratus peratus 

KETIKA Kelantan sibuk membuat persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia bermula 6 September ini, skuad The Red Warriors dikejutkan dengan kadar baru sewa bagi penggunaan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu yang jumlahnya meningkat hampir 100 peratus iaitu daripada RM650 kepada RM1,200 berkuatkuasa 3 Ogos lalu. 

Cadangan menaikkan kadar sewa baru itu diputuskan Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dalam mesyuarat Ahli Majlis 3 Ogos lalu dan surat makluman mengenai perkara itu difaksimilikan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 11 Ogos lalu.

Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail menganggap jumlah kadar sewa baru yang dikenakan itu wajar dikaji semula oleh PSK kerana ia menambah beban kewangan kepada persatuan bola sepak negeri.
“Saya terkejut dengan kadar baru sewa penggunaan padang dan lampu limpah bagi sesi latihan dan perlawanan pada waktu malam di stadium itu sebanyak RM1,200 yang dikenakan PSK sekarang berbanding RM650 sebelum ini kepada KAFA. 

“Saya harap PSK dapat mempertimbangkan semula kadar baru kerana ia dianggap membebankan kewangan persatuan itu, terutama ketika tumpuan perbelanjaan lebih perlu digunakan untuk persiapan pasukan The Red Warriors menghadapi saingan Piala Malaysia bermula 6 September ini,” katanya di Kota Bharu, semalam. 

Rosmadi berkata, berdasarkan kandungan surat itu, Ahli Majlis PSK membuat keputusan menaikkan kadar baru sewa bagi penggunaan padang dan lampu limpah di stadium berkenaan. 

Sementara itu, Setiausaha PSK, Azi Rahimee Mohamed ketika ditemui mengakui memang ada keputusan dibuat Ahli Majlis PSK mencadangkan kenaikan kadar baru sewa kerana menganggapnya ia sudah lama tidak dinaikkan. 


Mengambil kira kos bayaran elektrik dan peningkatan kemudahan prasarana di stadium, beliau berkata, kenaikan kadar baru sewa itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis PSK yang turut dihadiri wakil dari KAFA tetapi tidak ada bantahan diterima daripada persatuan itu. 

Berlatih dengan QPR sudah bagus


KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganggap langkah membawa pemain kebangsaan berlatih dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) oleh pemilik kelab itu merupakan satu usaha yang positif.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, walaupun pemain negara tidak dapat beraksi dalam liga tersebut tetapi masih banyak cara lain untuk pemain kebangsaan mendapat kelebihan atas pembelian QPR oleh syarikat Malaysia, Tune Sports Sdn. Bhd.

"Kita kena sedar bahawa untuk beraksi di EPL adalah sesuatu yang mustahil kerana undang-undang yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) hanya membenarkan pemain dari negara yang menduduki ranking dunia 70 ke bawah sahaja untuk bermain di sana," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, walaupun tidak dapat beraksi tetapi pemain kebangsaan masih mempunyai manfaat di atas pembelian syarikat Malaysia ke atas kelab tersebut, misalnya mengadakan kem latihan di sana.

"Kita harus akur walaupun menjadi pemilik kelab tetapi kita tidak boleh melanggar undang-undang yang ditetapkan oleh FA, jadi fokus utama yang lebih realistik adalah menjalani ujian (trial) ataupun berlatih bersama QPR sahaja,'' ujarnya.

Sementara itu, pengurus peribadi Safee Sali, Zakaria Ab. Rahim berkata, terdapat dua alasan yang hampir mustahil untuk menyaksikan Safee muncul sebagai pemain bola sepak Malaysia yang bergaji di EPL iaitu syarat ketat permit kerja bagi warga bukan England dan ranking dunia skuad kebangsaan yang jauh daripada senarai 100 ke bawah.

"Saya dapati Thaksin (Shinawatra, bekas Perdana Menteri Thailand yang pernah beli Manchester City pada 2007) pun tidak mampu menempatkan tiga pemain negaranya (Suree Sukha, Kiatprawut Saiwaew dan Teerasil Dangda) dalam pasukan utama The Citizens.

''Mereka tidak pernah bermain langsung dan ia mungkin kerana kuasa mutlak pengurus pasukan (ketika itu, Sven-Goran Eriksson) yang lebih memahami percaturan permainan," jelasnya.

Tuesday, August 23, 2011

QPR sedia uji Safee, Apek



KUALA LUMPUR – Queens Park Rangers (QPR) bersedia memberi peluang kepada pemain negara, Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) untuk mengikuti latihan bersama kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris itu

Pembelian QPR oleh syarikat Malaysia, Tune Sports Sdn. Bhd. bukan hanya bertujuan komersial tetapi juga untuk meningkatkan mutu sukan tanah air.

Malah, Ahli Lembaga Pengarah QPR, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pemilikan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bukan hanya untuk mengetengahkan pemain kebangsaan sekarang tetapi juga memberi pendedahan kepada lebih ramai pemain muda pada masa akan datang.

Dua ‘penyerang import’ Kelantan dapat pujian


KEHADIRAN dua penyerang dari Pahang yang dipinjamkan kepada Kelantan, Azamuddin Mohd Akil dan R Surendran dilihat cepat menyesuaikan diri ketika bergandingan dengan penyerang utama pasukan, Norshahrul Idlan Talaha.

Malah, perkara itu diakui sendiri Norshahrul yang gembira dengan kehadiran dua penyerang berkenaan bagi membantu memantapkan posisi penyerang untuk menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula pada 6 September ini. “Saya akui Azamuddin dan Surendran banyak membantu memantapkan posisi penyerang dan saya gembira kerana dapat bergandingan dengan mereka bagi menggalas cabaran dalam saingan Piala Malaysia. “Saya harap gandingan bersama mereka dapat memantapkan posisi penyerang, terutama dalam menghadapi saingan Piala Malaysia nanti,” katanya. ketika ditemui sewaktu sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Norshahrul berkata, kombinasi barisan pemain Kelantan serta kehadiran Azamuddin dan Surendran dapat memantapkan lagi kekuatan mereka dalam usaha mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia.

Selangor kembali garang


PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) boleh menarik nafas lega apabila barisan pemain skuad Merah Kuning itu mempamerkan sesuatu yang positif dalam misi mereka memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 pada tahun ini.

Skuad kendalian K Devan itu bangkit mencatatkan kemenangan 3-1 ketika menentang Johor FC menerusi jaringan trio pemain kebangsaan Selangor - Mohd Safiq Rahim, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Asraruddin Putra Omar - pada aksi persahabatan Sabtu lalu selepas tewas tipis 1-0 kepada juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan, sebelum itu.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kebangkitan itu adalah sesuatu yang memang diharapkan, namun masih ada beberapa perkara perlu diperkemaskan sebelum Selangor memulakan saingan menentang T-Team, Kuala Lumpur dan PDRM dalam merebut dua tempat teratas kumpulan D untuk ke suku akhir. “Kami masih ada dua lagi perlawanan persahabatan selepas ini untuk membaiki kelemahan dan saya berharap semua pemain dapat mencapai prestasi kemuncak ketika aksi sebenar berlangsung bermula 6 September ini,” katanya yang juga pengurus pasukan untuk saingan Piala Malaysia kali ini.


Malah menurut Hamidin, cakap-cakap mengenai ketumpulan jentera serangan juga tidak perlu menjadi kegusaran kerana Selangor memiliki barisan pemain tengah yang berkaliber serta mampu meledak gol.

“Dalam pertandingan seperti ini, jumlah jaringan yang besar tidak penting. Jika kami sudah menjaringkan satu gol dan mencatatkan kemenangan ia sudah mencukupi terutamanya apabila pertandingan memasuki fasa kalah mati,” katanya.

Piala Malaysia adalah kejuaraan terakhir yang menjadi harapan FAS bagi memastikan mereka tidak menamatkan musim ini dengan tangan kosong selepas gagal mempertahankan dua piala selain tersekat di separuh akhir Piala FA.

FAM silap percaturan


pix_middle
DILEMA yang dihadapi jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee apabila anak buahnya terpaksa menempuh jadual padat November depan tidak seharusnya berlaku jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyediakan dua pasukan berbeza bagi Sukan Sea Indonesia dan pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London 2012.

Pengkritik sukan, Serbegeth Singh berpendapat, tindakan FAM menyerahkan tanggung jawab kepada skuad Olimpik untuk mengharungi kedua-dua kejohanan itu dalam masa terdekat adalah tidak logik.

“FAM kena buat pilihan sama ada untuk mengutamakan Sukan Sea atau pusingan kelayakan Olimpik. Tapi sebenarnya kenapa perlu membuat pilihan? Kenapa tidak FAM menyediakan pasukan berbeza untuk dua kejohanan itu? “Bila kita menyediakan pasukan berlainan ia akan mencetuskan persaingan antara pemain. Bagi saya tidak logik untuk menggunakan pasukan sama untuk dua kejohanan itu, ini hanya akan menjejaskan pembangunan pemain muda,” kata bekas pemain kebangsaan itu.


Nasib skuad Olimpik negara ketika ini masih belum menentu berikutan jadual padat membabitkan kejohanan bola sepak bawah 23 tahun di Sukan Sea Indonesia dan pusingan kelayakan Olimpik London.

Final acara bola sepak Sukan Sea akan berlangsung pada hari penutup, 22 November manakala perlawanan kedua Kumpulan C Malaysia dengan Syria diadakan sehari selepas itu.

Jika Malaysia berjaya mara ke final Sukan Sea untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos 2009, sudah pasti perlawanan menentang Syria di Kuala Lumpur terpaksa dilupakan.



Mungkin perlawanan itu boleh ditangguhkan sehari ataupun selepas perlawanan ketiga dengan Bahrain pada 27 November jika permohonan FAM mendapat persetujuan pasukan lawan namun faktor kecergasan pemain juga perlu diambil kira.

Menurut Serbegeth yang turut dikenali dengan panggilan Shebbie, tiga perlawanan penting dalam tempoh seminggu (jika Malaysia mara ke final Sukan Sea) pasti menyukarkan pemain muda negara.


“Seharusnya Sukan Sea biarlah pasukan baru dan kita sediakan pasukan khusus untuk Sukan Sea dan Olimpik. Biarlah Sukan Sea untuk pemain lebih muda seperti bawah 19 tahun kerana kita perlu sedar Sukan Sea kejohanan pembangunan, jangan kita raikan kemenangan di Sukan Sea seperti kita menang Piala Dunia.

“Kalau kita lihat sekarang ada pemain yang beraksi untuk skuad Olimpik dan dalam masa sama turut bermain dengan skuad kebangsaan. Akibat aksi tanpa henti, prestasi mereka mula menurun, jadi kita kena ambil kira perkara sebegini,” katanya.

Malaysia yang layak ke peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik London akan memulakan kempen menentang Jepun di Stadium Tosu pada 21 September ini.

Kembali di puncak

Prestasi Zaquan melonjak legakan Azraai

AYAM tambatan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak sudah hampir kembali ke tahap prestasi asal dan perkhabaran ini harus melegakan jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah. 

Penyerang harapan Hoben Jang Hoben itu akan terus diberi ruang beraksi dalam perlawanan persahabatan membolehkannya meningkatkan lagi keyakinan diri menjelang tirai saingan Piala Malaysia, 6 September ini.

Zaquan yang sebelum ini terpaksa berehat panjang berikutan kecederaan lutut dialaminya, mula beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu lalu, yang berkesudahan Negeri Sembilan menang, 2-1.
Sebelum itu Negeri Sembilan mengadakan perlawanan dengan Johor FC di tempat lawan yang berkesudahan seri 1-1. 

Pengendali pasukan akur betapa dia lega dengan perkembangan positif ditunjukkan anak didiknya itu dalam perlawanan itu. 

“Sekali pun Mohd Zaquan belum mencapai tahap prestasi maksimum, persembahan ketika menentang Sarawak sudah menunjukkan petanda positif. Saya mahu uji dia lagi apabila menentang Johor, Rabu ini (esok) dan Selangor, Sabtu ini, di Paroi,” katanya semalam. 

Negeri Sembilan yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama Terengganu, Selangor PKNS dan Sime Darby, amat mengharapkan khidmat Zaquan dalam misi mereka merampas kembali trofi kejuaraan Piala Malaysia yang terlepas kepada Kelantan, musim lalu.

Monday, August 22, 2011

Benarkan pemain kita ke QPR


KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) mengingatkan Tan Sri Tony Fernandes tidak melupakan bola sepak negara ini sekalipun akur bahawa pembelian Queens Park Rangers (QPR) merupakan hak teraju bersama syarikat induk penerbangan AirAsia itu.

Menganggapnya sebagai satu sumbangan besar kepada sukan sambil mengucapkan tahniah, Tengku Abdullah turut menyarankan supaya Fernandes membuka peluang kepada pendedahan pemain Malaysia dalam perlawanan, kem latihan mahupun akademi QPR sendiri.

Malah, Sabtu lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, dalam kerjasama mereka setakat ini, AirAsia sekadar memberikan diskaun tambang penerbangan kepada pasukan Liga Malaysia yang dianggap tidak membawa kesan yang begitu besar kepada kemajuan bola sepak negara.

"Saya sedar untuk membawa masuk pemain kebangsaan kita bermain dengan sebuah kelab berprestij seperti QPR dalam EPL cukup sukar kerana peraturan ketat negara Kesatuan Eropah (EU) selain ranking dunia pasukan senior kita yang masih jauh di luar syarat mereka (perlu berada bawah 100 dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Terpulang kepada mereka (Fernandes dan Kamarudin Meranun) untuk menimbangkannya kerana kelab itu hak mereka tetapi kalau dapatlah diselitkan mana-mana peluang buat pemain kita dan jika FAM dipelawa, tentu banyak yang dapat dicapai oleh bola sepak Malaysia.

"Kami pun bukan mahukan yang terlalu besar, kalau ada peluang buat pemain Harimau Muda atau skuad belia lain dalam liga divisyen tiga mereka pun sudah memadai," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tengku Abdullah yang juga Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengulas penguasaan 66 peratus kepentingan kelab itu yang dilaporkan bernilai 35 juta pound (RM172 juta) oleh Fernandes, 47, sekali gus menjadikan pemilik AirAsia, penerbangan tambang rendah Malaysia itu sebagai pengerusi baru dan Kamarudin menjadi ahli lembaga pengarah kelab QPR.

Pembelian kelab bola sepak England itu, Khamis lalu merupakan yang kedua dilakukan oleh warga Malaysia selepas seorang ahli perniagaan, Datuk Chan Tien Ghee ke atas Cardiff City yang bermain dalam Liga Kejuaraan negara itu pada tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pernah membeli sebuah lagi kelab EPL, Manchester City pada 2007 yang membolehkan tiga pemain negara Gajah Putih itu, Suree Sukha, Kiatprawut Saiwaew dan Teerasil Dangda dibawa berlatih di The Citizens oleh bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...