PEMAIN Perak digesa bangkit daripada kegagalan melaksanakan sasaran Liga Super lalu dengan melakar pencapaian memberangsangkan pada kancah Piala Malaysia bermula 6 September nanti.
Amanat itu dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kepada pemain skuad Seladang ketika majlis berbuka puasa di rumah pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun di Ipoh, kelmarin.
Sebenarnya saya dan ahli majlis lain terkilan dengan kegagalan mencapai sasaran menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik. - Zainol Fadzi Paharuddin, Presiden PAFA
“Sebenarnya saya dan ahli majlis lain terkilan dengan kegagalan mencapai sasaran menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik,” kata Zainol. “Apapun berbanding musim lalu, pencapaian tangga keenam boleh dianggap baik.“Justeru pemain harus segera lupakan kekecewaan itu, sebaliknya menumpukan perhatian untuk melakar kejayaan memberangsangkan dalam Piala Malaysia.”
Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan turut mengingatkan pemain supaya fokus terhadap tugasan mereka nanti.
“Jangan biarkan perkara peribadi menjejas tumpuan kerana setahu saya, tiada sebarang masalah dalaman. Jadi tiada sebab persembahan Perak harus terjejas,” katanya sambil mengakui Perak berada dalam dilema berikutan lima tonggaknya digantung tujuh perlawanan.
Namun Zainol berharap rayuan PAFA terhadap hukuman itu membuahkan keputusan positif untuk membolehkan Perak menurunkan kaptennya, Shahrulnizam Mustapa, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Nasril Nourdin, Azmeer Yusof dan Mohd Syazwan Roslan.
Selain pemain, penolong pengurus, Ahmad Shahrul Azhar Sofian turut dikenakan penggantungan oleh Jawatankuasa Tata Tertib FAM kerana didakwa “menyerang” pengadil selepas perlawanan liga dengan Sabah di Stadium Lumut, Mei lalu.
No comments:
Post a Comment