Sumber: Utusan Malaysia
PETALING JAYA - Nasib Perak ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Sudahlah menduduki tangga tercorot Liga Super ketika ini, satu mata yang diperoleh ketika seri 1-1 dengan T-Team pada 22 Mac lalu dibatalkan selepas pasukan itu didapati bersalah menurunkan pemain yang beraksi kurang daripada tempoh 48 jam.
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam mendapati Bos Gaurus bersalah dan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada T-Team.
Pengumuman JKPT itu bermakna The Titans mendapat dua mata tambahan, namun ia bagaikan malapetaka buat Perak yang buat masa ini berada di tangga tercorot dan kini kehilangan satu mata yang menjadikan sekadar tujuh mata sahaja diraih anak-anak buah Abu Bakar Fadzim.