Monday, November 18, 2013

Seladang hampir pasti ikat kapten Myanmar

Sumber: Utusan Malaysia

IPOH - Perak mengharapkan sentuhan pemain Myanmar yang pernah menjulang skuad negeri ini pada tahun 1990 apabila sudah hampir pasti untuk mengikat kapten skuad Myanmar yang membawa pasukannya muncul naib juara Kejohanan Pestabola Merdeka di Kuantan, September lalu, Kyaw Zayar Win.

Ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim berkata, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sudah pun mengadakan perbincangan dengan Pengarah Teknikal Persekutuan Bola Sepak Myanmar bagi membincangkan syarat-syarat kontrak pemain itu baru-baru dan ia menghasilkan keputusan yang positif.



Menurutnya, setakat ini rundingan sudah mencapai 75 peratus persetujuan dan jika semuanya berjalan lancar, kontrak dengan pemain itu akan dimeterai.

"Rundingan untuk mendapatkan khidmat kapten pasukan Myanmar masih berjalan dan kita tidak mahu terlalu mendesak pemain itu kerana dia kini dalam persediaan untuk menghadapi Sukan SEA.

"Kita membuat keputusan untuk mendapatkan khidmatnya berdasarkan prestasinya ketika kejohanan Pestabola Merdeka tempoh hari di mana dia menunjukkan permainan dan komitmen yang tinggi.

"Selain itu, kita juga berharap kehadiran pemain Myanmar mampu menjulang semula bola sepak Perak seperti mana tahun 1990 di mana dua pemain dari negara itu, Aung Ning dan Kwin Lyin membantu Perak memenangi Piala FA," katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan skuad Perak dengan pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Stadium Perak di sini semalam.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Perak yang masih dalam sesi pemilihan menang 4-0.

Mengenai pemilihan pemain tempatan untuk skuad Perak mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, Abu Bakar berkata, perlawanan semalam merupakan kali pertama para pemain diuji sejak sesi pemilihan yang bermula pada 12 November lalu.

Beliau berkata, antara pemain 'ada nama' yang masih dalam penilaian termasuk bekas pemain Perak, Hardi Jaafar dan bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) Mohd. Tuah Iskandar Jamaluddin.

Menurutnya, Pafa membuat tapisan yang ketat dalam memilih pemain untuk skuad musim depan dan tidak mahu terburu-buru menandatangani kontrak pemain tertentu.

"Ada lapan atau sembilan pemain dari luar Perak yang masih meneruskan sesi pemilihan ini dan persembahan pertama mereka hari ini merupakan satu permulaan yang positif.

"Saya menggabungkan pemain muda dari skuad Piala Presiden Perak dan pemain berpengalaman bagi menguji gandingan mereka.

"Selepas ini saya akan mengatur lebih banyak aksi persahabatan, mungkin menentang pasukan Liga Perdana pula sebelum kita membuat keputusan pemain mana yang akan kita tandatangani," katanya.

Sementara, Abu Bakar turut mendedahkan Perak akan menguji pemain antarabangsa Burkina Faso tidak lama lagi bagi mengisi kuota import musim depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...