Thursday, November 21, 2013

T-Team uji aksi Wanggai

Sumber: Harian Metro
 
Kuala Terengganu: Penyerang berbisa Indonesia, Patrich Steve Wanggai atau Patty antara lima pemain luar bakal diuji pasukan T-Team bagi melengkapkan kouta tiga pemain import untuk menghadapi saingan Liga M musim depan.

Empat lagi awang import adalah bekas pertahanan skuad Penyu musim 2005 hingga 2008, Fabio Flor dari Brazil, pemain tengah kelahiran Croatia, Ivan Parlov dan dua pemain dari Liberia.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ab Rasid Jusoh berkata, penyerang utama pasukan Persipura Jayapura yang menjuarai Liga Super Indonesia (LSI) 2012/2013 itu dijangka tiba di Terengganu hari ini.

Menurutnya, penyerang kebangsaan Indonesia berusia 25 tahun itu juga dijangka turun menjalani latihan bersama pasukan di bawah bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah sebelum diuji dalam perlawanan persahabatan.

“Wanggai akan tiba hari ini manakala Fabio Flor pula dijangka tiba Ahad ini diikuti dua pemain kelahiran Liberia dan mereka akan diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang Terengganu Selasa depan.

“Sekarang, hanya Ivan Parlov saja bersama pasukan dan pemain ini diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Terengganu, malam kelmarin, tetapi masih terlalu awal untuk kita ‘komen’ pemain ini.

“Kita jangkakan perlawanan pada Selasa ini, semua pihak termasuk penyokong dapat menyaksikan gaya permainan mereka semua sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya ditemui selepas tamat aksi persahabatan T-Team menentang Terengganu yang berkesudahan T-Team tewas 0-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Ab Rasid berkata, perlawanan yang diadakan itu bertujuan menguji keserasian pemain termasuk satu-satunya pemain import T-Team yang diturunkan iaitu Parlov yang beraksi di posisi tengah.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...