Sumber: Utusan Malaysia
KOTA BHARU - Pengendali baharu Kelantan, Steve
Darby percaya, skuad Red Warriors masih memiliki kualiti biarpun
kehilangan ramai tonggak utama apabila menghadapi musim 2014.
Selepas merangkul kejuaraan treble pada 2012, Kelantan hanya
mampu meraih gelaran Piala FA musim ini. Mereka melepaskan mahkota Liga
Super kepada LionsXII, sebelum kalah kepada Pahang dalam final Piala Malaysia.
"Walaupun kami kehilangan tujuh tonggak, Kelantan masih memiliki
kualiti. Khairul (Fahmi Che Mat) antara penjaga gol terbaik di Asia. Nik
Shahrul Azim adalah tonggak pertahanan berbakat, malah saya
menjangkakan kita akan melihat kebangkitan (Ahmad) Fakri Saarani musim
depan," kata Darby.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, bekas pemain tengah
Kedah, Tengku Hasbullah Raja Hassan hampir pasti menyarung jersi Red Warriors musim depan.
Menurut sumber, rundingan di antara pemain tersebut dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah memasuki fasa terakhir.
Kata sumber itu lagi, kedua-dua pihak dilaporkan sudah bersetuju
dengan tawaran yang dibuat dan hanya menunggu masa untuk menandatangani
kontrak.
"Kontrak antara Tengku Hasbullah dengan KAFA akan dibuat sebaik sahaja pengurus Red Warriors, Azman Ibrahim pulang dari mengerjakan umrah bersama pemain Kelantan yang berjaya muncul naib juara Piala Malaysia.
"Kehadiran pemain ini dijangka mampu mengisi kekosongan yang
ditinggalkan Mohd. Shakir Shaari yang berhijrah ke Johor Darul Takzim
musim depan," kata sumber itu.
Tengku Hasbullah antara beberapa muka baharu yang akan dibawa masuk
Kelantan, selain penyerang Negeri Sembilan, Mohd. Shakir Ali.
Kelantan juga dikhabarkan hampir pasti mengikat pemain sayap Harimau
Muda A, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, bekas penyerang import Selangor,
Forkey Doe dan penggempur Polis, Mohd. Khairul Ismail.
Sumber itu turut menambah, kontrak Tengku Hasbullah bersama Kedah tidak disambung dan dia bebas memilih pasukan baru.
No comments:
Post a Comment