Sumber: Harian Metro
Kuala Terengganu: Selepas semusim bersama Selangor, bekas penjaga gol utama Terengganu Mohd Sarbinee Allawee Ramli membuat keputusan kembali ke pangkuan negeri kelahirannya bagi mengharungi Liga M musim depan.
Ketika bersama The Red Giants, bekas penjaga gol skuad kebangsaan itu banyak memanaskan bangku simpanan ekoran Norazlan Razali kerap diturunkan untuk mengawal benteng terakhir skuad terbabit.
Ketika ditanya alasan kembali menyarung skuad Penyu, pemain berusia 27 tahun itu berkata dia sebenarnya belum puas membantu pasukan kelahirannya dan penghijrahan musim ini juga bagi mencari pengalaman.
Menurutnya, dia berharap kepulangannya ke pangkuan skuad Penyu dapat membantu memperkuatkan pasukan dan akan berusaha memberikan permainan terbaik jika diberikan peluang mengawal benteng terakhir pasukan.
“Misi saya adalah untuk membantu Terengganu merangkul kejayaan musim depan dan berharap kehadiran saya mendapat sokongan rakan sepasukan dalam usaha menjulang satu piala musim depan,” katanya.
Mohd Sarbinee yang berasal dari Kampung Pulau Duyong berkata, dia juga berterima kasih kepada pengurusan baru Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang masih memberi kepercayaan kepadanya menyarung jersi pasukan itu.
Seorang lagi muka baru pasukan itu, bekas pertahanan Selangor PKNS, Mohd Nor Hakim Hassan berkata, dia juga teruja apabila dapat menyarung jersi negeri kelahiran.
“Saya sebenarnya sudah lama berhasrat menyarung jersi Terengganu tetapi tidak berpeluang dan kali ini saya bertuah diberi peluang oleh PBSNT,” katanya.
Timbalan Presiden PBSNT, Marzuki Sulong mengesahkan Mohd Sarbinee menyarung jersi Terengganu dan memperkuatkan benteng pasukan musim depan.
“Selain Sarbinee, kita mengekalkan penjaga gawang utama musim ini, Mohd Sharmiza Yusof dan menyerapkan penjaga gol skuad Piala Presiden Terengganu, Mohammad Izzudin Muhd Hussin,” katanya.
No comments:
Post a Comment