Friday, November 29, 2013

Sampai bila begini?

Sumber: Utusan Malaysia
 
KUALA LUMPUR - Apa lagi yang ditunggu oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)? Sampai bila kes mengenai pemain melakukan pusingan 'u' dan mempunyai dua kontrak dengan pasukan berbeza bakal berdendang tiap kali pintu perpindahan Liga Malaysia dibuka?

Bermula dengan bekas pemain Negeri Sembilan, Mohd. Nazrin Nawi, kemudian disusuli dua tonggak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar serta Norfazly Alias diikuti penyerang kebangsaan, Safee Sali dan paling terbaru, Mohd. Nazri Ahmad yang didakwa Selangor telah bersetuju menandatangani kontrak sebelum membuat keputusan ke Kelantan.


Bagaikan seperti tiada kesudahan cerita-cerita ini apabila peminat saban tahun dihidangkan dengan isu yang sama cuma wataknya berbeza dan formula paling mujarab yang dilihat untuk menyelesaikan masalah ini adalah pengenalan peraturan mewajibkan semua pemain mempunyai ejen yang dilantik.

Melalui ejen yang diiktiraf, para pemain tidak perlu lagi pening kepala dan terkeliru mengenai soal perbincangan kontrak atau meneliti tawaran yang diterima sebaliknya mampu fokus untuk memberikan yang terbaik di atas padang.

Langkah itu seiring dengan apa yang dilakukan oleh liga-liga profesional luar negara terutama di Eropah selain menyahut kepada seruan penswastaan Liga Malaysia pada 2015 seperti diuar-uarkan oleh FAM sebelum ini.

Hasrat itu juga bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan tambahan ramai pemain profesional di negara ini sudah mempunyai gaji yang ditakrifkan cukup lumayan dan mampu menampung pembayaran komisen kepada ejen.

Menurut bekas pemain kebangsaan yang kini Penasihat Global Blackburn Rovers, Serbegeth Singh yang lebih mesra dipanggil Shebby, sudah sampai masanya FAM memperkenalkan peraturan yang menghendaki semua pemain ada ejen yang arif mengenai soal kontrak atau sekurang-kurangnya melantik peguam.

''Jika di Eropah, semua pemain wajib mempunyai ejen sendiri kerana ketika berbincang mengenai soal kontrak, bukan para pemain yang mereka akan jumpa sebaliknya ejen kepada pemain itu sendiri.

''Ini penting supaya pemain boleh berikan tumpuan kepada permainan mereka sepanjang musim, peranan orang ketiga iaitu ejen cukup penting sebenarnya dalam karier pemain.

''Sudah tiba FAM bertindak lebih tegas dalam soal ini, bola sepak kita sudah berdepan dalam keadaan tidak menentu sejak sekian lama dan jangan berterusan membiarkan masalah-masalah lama terus berulang seperti kitar semula, " katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelas Shebby, apa yang berlaku pada masa sekarang mengenai pemain yang seolah-olah buta prosedur memang memalukan kerana ia menunjukkan bola sepak negara masih dilanda kekurangan dalam banyak aspek.

''Perkara ini sepatutnya tidak berlaku dan seolah-olah ia menunjukkan pemain-pemain ini kurang matang (soal kontrak) dan inilah apabila mereka tidak mendapat nasihat daripada pihak lain.

''Pemain dari satu segi memang sudah salah kerana menurunkan tandatangan tanpa usul periksa tetapi pihak pentadbir juga kena memainkan peranan dengan turut membantu menyelesaikan masalah jika timbul, " katanya.

Mengikut amalan bola sepak di Eropah, para pemain akan memberikan kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan yuran perpindahan pemain sebagai komisen kepada ejen namun ia akan dibayar oleh kelab yang diwakili oleh pemain berkenaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...