Thursday, November 7, 2013

Malaysia tidak anggap mudah

Sumber: Utusan malaysia
 
KUALA LUMPUR - Juara dua kali berturut-turut, Malaysia berdepan laluan yang boleh dianggap kurang sukar dalam saingan bola sepak lelaki Sukan SEA XXVII di Myanmar, bulan depan dengan hanya Vietnam dan Singapura dijangka mampu menyulitkan laluan.

Undian rasmi di Nay Pyi Taw, semalam turut menempatkan skuad negara dalam Kumpulan A bersama Brunei, Filipina dan Laos sekali gus menjadikan lebih banyak perlawanan perlu ditempuhi berbanding Kumpulan B.


Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee itu bakal mempertahankan pingat emas mereka mulai peringkat awal liga sepusingan ini mulai 1 hingga 12 Disember di Stadium Zayyarthiri, Nay Pyi Taw.

Tuan rumah, Myanmar pula membentuk Kumpulan B dengan pemenang perak Sukan SEA 2011, Indonesia di samping Thailand, Timor Leste dan Kemboja di Yangon.

Kim Swee yang kini berada di Phnom Penh, Kemboja sempena Kejohanan Bawah 23 Tahun Piala BIDC 2013 hingga Selasa depan berkata, beliau baru menerima laporan bahawa Filipina dikatakan telah menarik diri daripada acara bola sepak Sukan SEA kali ini.

"Belum ada pengesahan rasmi mengenainya dan sehingga itu, saya masih menganggap Filipina turut akan ditentang pasukan kita dalam Kumpulan A di Nay Pyi Taw," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Kim Swee, pencabar utama skuad negara adalah Vietnam dan Singapura, namun pada masa yang sama Malaysia tidak boleh mengambil mudah lawan lain. 

''Semua pasukan yang ke Sukan SEA pasti sudah membuat persediaan yang rapi. 

"Singapura sentiasa akan menjadi musuh ketat Malaysia sama ada bagi pasukan bawah 23 tahun mahupun skuad utama. Rata-rata pemain mereka juga ialah yang menjuarai Liga Super kita, musim ini. 

"Isnin lalu, kita baru kalahkan Laos 3-2 (kejohanan Wilayah Mekong) tetapi ada beberapa pemainnya yang didapati begitu berkualiti dan larian mereka pantas. Jika Filipina ada pun, jangan pandang rendah pemain import mereka," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin yang juga bekas pengurus pasukan juara Sukan SEA 2011 berkata, tidak seperti dua tahun lalu apabila Malaysia dalam 'Kumpulan Maut A' dengan tuan rumah Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja, dan undian kali ini tampak tidak begitu sukar.

"Namun, saya cuma bimbang apabila laluan di Nay Pyi Taw sudah tidak sesukar Sukan SEA 2011 di Jakarta.

"Pasukan kita boleh berasa selesa pula dan memandang mudah lawan sedangkan dalam permainan bola sepak, macam-macam boleh terjadi. 

"Malah jika Filipina kekal dalam Kumpulan A (tidak jadi menarik diri), kita akan hadapi lebih banyak perlawanan berbanding Kumpulan B dan pemain utama terdedah kepada kecederaan sehingga terlepas peringkat kalah mati yang lebih penting," katanya.

Malaysia mengakhiri kemarau gelaran Sukan SEA sejak 1989 dengan menewaskan Vietnam 1-0 pada temasya 2009 di Vientiane, Laos sebelum mempertahankan 'ibu segala emas' itu dengan menundukkan Indonesia menerusi penalti 4-3 di Jakarta, dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...