Wednesday, November 6, 2013

'Patut jual online'

Sumber: Harian Metro
 
Subang: “Ini sekarang sudah masuk zaman teknologi tapi FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) masih lagi zaman ‘Jurassic’ (purba),” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menyuarakan kekecewaan kegagalan badan induk bola sepak tanah air itu mengatasi masalah penjualan tiket perlawanan bola sepak.

Biarpun masalah ulat tiket yang menjual tiket dengan harga ‘cekik darah’ serta menjual tiket palsu dibangkitkan sebelum ini namun ia tetap berlaku pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Ahad lalu.


Bagi Khairy, FAM perlu segera melakukan pembaharuan dalam sistem jualan tiket termasuk membuat jualan tiket menerusi dalam talian bagi mengelakkan penipuan dan memberikan keselesaan kepada penyokong.

“Kita perlu ada sistem baru, sekarang sudah masuk abad ke-21 sepatutnya sudah boleh mula jual menerusi ‘online’ (dalam talian) atau menggunakan sistem lain yang berbeza daripada sistem digunakan sekarang. Takkan tiap-tiap tahun ada masalah dengan penjualan tiket. “Urusan penjualan tiket di bawah FAM bukan KBS, tapi sebagai menteri saya perlu tegur FAM kerana ini membabitkan keluhan penyokong bola sepak yang terpaksa bersusah payah beratur membeli tiket di stadium sedangkan kita boleh gunakan sistem ‘online’,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Menembak Asia Tenggara SEASA ke-37, semalam.

Khairy berkata demikian mengulas laporan Arena Metro semalam mengenai insiden ramai penyokong Pahang dan Kelantan tidak dibenarkan masuk ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan final minggu lalu kerana dikesan memiliki tiket palsu.

Antara penyokong yang tertipu itu mengaku membeli tiket dengan harga lebih mahal hingga RM70 menerusi tempahan menggunakan orang tengah. Ulat tiket yang dipercayai menjadi dalang untuk mengaut keuntungan ini bijak memperdayakan penyokong dengan menyelitkan satu atau dua tiket palsu bagi mereka yang membeli tiket secara berkumpulan.

Khairy berkata, pihaknya sedia membantu FAM dalam penjualan tiket jika perkara ini tidak menemui jalan penyelesaian.

“Perlu pastikan ada pembaharuan dalam jualan tiket dan ada tindakan tegas oleh pihak berkenaan untuk membanteras ulat tiket di luar stadium. Kalau tidak boleh menguruskan (jual tiket) beritahu. Kalau masih diberikan kepada orang sama untuk jual tiket yang tidak mahu lakukan pembaharuan, beritahu kepada kami, kami boleh cadangkan prosedur baru yang boleh dilakukan FAM dalam penjualan tiket,” tegasnya.

Sementara itu beliau turut terkejut dengan laporan penemuan sepucuk pistol jenis Browning bersama tujuh butir peluru oleh Polis dalam tandas lelaki di Kuadron C Stadium Shah Alam pada final Piala Malaysia Ahad lalu.

“Sekiranya pistol yang ditemui itu bukan milik polis dan dimiliki orang lain, ini adalah kegagalan pihak penganjur FAM dan jawatankuasa keselamatan. “Sekiranya ada penyokong ditahan kerana cuba membawa masuk bunga api atau mercun tapi pistol pula dibawa masuk ke stadium, itu satu kegagalan. Saya mahu tengok dulu laporan untuk mengetahui pemilik pistol itu.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...