Sumber: Utusan Malaysia
PETALING JAYA - Selangor mensasarkan sekurang-kurangnya menjulang satu piala pada aksi Liga Malaysia 2014.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul
Mokhtar Ahmad berkata, Selangor sudah terlalu lama tidak menjulang trofi
kejuaraan dan kini sudah tiba masanya untuk skuad The Red Giants kembali mengulangi kecemerlangan lalu.
Malah, Abdul Mokhtar percaya jurulatih baharu, Mehmet Durakovic yang
juga bekas kapten Selangor mampu membawa perubahan positif selain pasti
memahami dengan mendalam keperluan skuad bimbingannya itu.
"Dia (Durakovic) mempunyai KPI (Indeks Pengukur Prestasi) tersendiri
dan dia juga perlu berjanji untuk merealisasikan sasaran pasukan.
"Pada masa yang sama juga saya ingin menegaskan meskipun
kebanyakannya pemain Selangor terdiri dalam kalangan pemain muda, namun
ada antara mereka yang beraksi dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan
sekali gus tidak boleh memandang rendah keupayaan pemain ini," katanya
kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, semalam.
Antara pemain yang kini sah menyertai Selangor pada aksi musim depan
ialah dua pemain import dari Brazil, Paulo Rangel dan Junior Aparecido.
Sementara beberapa pemain tempatan yang menjadi milik The Red Giants adalah
Mohd. Farizal Marlias, Mohd. Rizal Fahmi Abdul Rosid, Muhd. Nazri
Ahmad, Abdul Hadi Yahya, A. Thamil Arasu, Ahmad Hazwan Bakri serta Mohd.
Hamsani Ahmad.
Sementara itu, Abdul Mokhtar memberitahu, senarai penuh skuad
Selangor bagi musim depan akan diumumkan secara rasmi dalam masa
terdekat.
Selangor ketika ini masih lagi memegang rekod kejuaraan Piala Malaysia terbanyak iaitu 32 kali.
Kali terakhir Selangor menjulang trofi ialah pada 2010 iaitu Piala Sultan Ahmad
Shah.
No comments:
Post a Comment