Friday, November 1, 2013

Dari pemain simpanan, Yan kini bintang


Sumber: Utusan Malaysia
 
KUANTAN - Nama Mohd. Khairul Azhan Khalid mungkin kurang dikenali beberapa bulan lalu kerana dia selama ini sekadar dianggap pelengkap skuad Pahang.

Walaupun bermula sebagai penjaga gol ketiga pada awal musim, namun bekas pemain Shahzan Muda itu berjaya memikat hati ketua jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh apabila diberi peluang menjadi benteng terakhir pasukan.


Khairul 'dinaikkan pangkat' ekoran kecederaan dua penjaga gol utama, Mohd. Nasril Mat Nordin dan Mohd. Rosfaizul Azuar Mohd. Ali pada saingan Liga Super, sekitar April lalu.

Sebaik sahaja diberi kepercayaan, dia tidak langsung menoleh ke belakang dan berjaya mempamer aksi cukup cemerlang. 

Justeru, Khairul Azhan atau lebih mesra dipanggil Yan berkata, dia mahu melengkapkan musim yang luar biasa ini dengan menjulang Piala Malaysia.

"Kalau berjaya menang Piala Malaysia, ia juga akan menjadi hadiah hari jadi istimewa buat saya," katanya yang bakal menyambut ulang tahun ke-24 pada 7 November ini.

Khairul Azhan berkata, dia amat bertuah dipilih untuk menyarung jersi Pahang musim ini dan gembira dengan kejayaan membawa Tok Gajah melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia selepas 16 tahun.

"Pada mulanya saya cuma penjaga gol ketiga Tok Gajah, namun kecederaan yang melanda Rosfaizul dan Nasril membolehkan saya menggalas tugas penjaga gol utama sejak April lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sejak itu, dia mula mempamerkan aksi mantap sebagai benteng terakhir Tok Gajah dalam setiap perlawanan sama ada Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia.

Katanya, peluang yang diberikan jurulatih untuk mengisi kesebelasan utama dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kini impian saya cuma satu, mahu membantu Pahang menjulang Piala Malaysia dengan mengalahkan Kelantan di Stadium Shah Alam, Ahad ini," ujarnya.

Khairul Azhan berkata, dia sedar tugas getir bakal menanti kerana Kelantan selaku juara bertahan sudah pasti mahu mengekalkan Piala Malaysia.

"Saya akan berusaha untuk menjaga gawang tanpa bolos. 

"Saya tidak akan menghampakan diri sendiri dan seluruh rakyat Pahang yang amat berharap piala berprestij itu kembali kepada mereka setelah memenanginya kali terakhir pada 1992," jelasnya lagi.

Menurutnya, aksi cemerlang pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kuching, minggu lalu menjadi suntikan semangat untuknya menyekat serangan yang akan dilancarkan oleh penyerang Kelantan ke kubu Tok Gajah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...