Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Tindakan penyerang kebangsaan Safee Sali yang secara
tiba-tiba membuat pusingan U dengan menukar pendirian untuk terus kekal
bersama Johor Darul Takzim (DT) musim depan cukup mengecewakan Persatuan
Bolasepak Selangor (FAS).
Walaupun sudah mendapat persetujuan secara lisan bersama dengan
bayaran pendahuluan namun usaha untuk mendapatkan khidmat bekas
penyerang Pelita Jaya itu akhirnya bertukar menjadi angan kosong buat
skuad Red Giants.
Timbalan Presiden FAS, Datuk Mohktar Ahmad berkata, biarpun kecewa dengan tindakan Safee yang tidak profesional, FAS mengikut peraturan dengan melakukan rundingan dan perjanjian sebelum menawarkan kontrak.
“Kalau mengikut undang-undang kontrak, perjanjian lisan juga
dianggap memeterai kontrak. Perancangan FAS adalah membawa Safee ke
pejabat (FAS) untuk satu majlis ringkas menandatangani kontrak sebagai
memeterai perjanjian lisan di antara kedua-dua pihak selepas aksi
Harimau Malaya menentang Qatar dalam kempen kelayakan Piala Asia,
baru-baru ini.
“Namun, kami sudah dimaklumi menerusi pihak ketiga bahawa pengurusan Johor DT mahu mengekalkan khidmat Safee untuk aksi Liga Super. Maka FAS tiada pilihan lain kecuali terpaksa melepaskan Safee demi kepentingannya,” katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.
Mokhtar berkata, beliau memahami keputusan yang diambil Safee dan tidak bercadang mengambil tindakan susulan yang jelas menyalahi peraturan.
“Dalam pertemuan saya dengan Safee, dia bersetuju untuk kembali
ke Selangor dengan gaji bulanan yang di persetujui oleh kedua-dua pihak.
Dia mendakwa amat kecewa kerana gagal mendapat peluang untuk beraksi
dengan lebih kerap dan terpaksa bermain dalam Liga Perdana bersama
Johor (Johor DT II) pada musim depan.
“Jumlah gaji yang dipersetujui tentulah tidak setinggi gaji bulanan Safee bersama Johor DT dan atas dasar persetujuan secara budiman, FAS menghulurkan bayaran pendahuluan kepadanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment