Sumber: Harian Metro
Kuala Terengganu: Pengurusan skuad Terengganu masih memberi peluang
kepada enam awang import yang sedang diuji untuk diserapkan dalam
pasukan menghadapi saingan Liga M musim depan.
Ini berikutan mereka baru tiba beberapa hari lalu terdiri daripada
tiga dari Australia iaitu Barisic Andrew Nicolas, Andreas Govas dan
Mario Karlovic, Keisuke Ogowa (Jepun); Damir Vidovic (Croatia) serta
Paul Mulders (Filipina).
Mereka diturunkan dalam perlawanan persahabatan pertama menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin yang mana keenam-enam pemain terbabit mempamerkan keupayaan masing-masing bagi menarik perhatian panel pemilihan.
Bagaimanapun, pada perlawanan itu hanya Govas dan Karlovic yang
beraksi di bahagian tengah memperagakan aksi meyakinkan sehingga memukau
ribuan penyokong yang menyaksikan pertarungan pasukan ‘dua beradik’
berkenaan.
Pada perlawanan itu, Terengganu menang 2-0 hasil dua jaringan Mohd Ashaari Samsuddin pada minit ke-56 dan seminit kemudia menerusi tandukan.
Sementara itu, pengendali Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim menganggap aksi persahabatan itu tidak lebih daripada sekadar menguji pemain import selain memberi pendedahan awal kepada pemain tempatan.
Menurutnya, perlawanan persahabatan itu juga adalah medan buat
pemain import mempamerkan aksi mereka dan buat masa sekarang beliau
tidak dapat menilai lebih jauh kemampuan kerana beraksi dalam hujan.
“Saya berpendapat masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai keupayaan mereka dan pasukan ketika ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment