Showing posts with label Mohd Failee Mohd Ghazali. Show all posts
Showing posts with label Mohd Failee Mohd Ghazali. Show all posts

Saturday, December 17, 2011

Pafa sasar satu piala


Harian Metro

SATU piala musim ini! Begitulah sasaran yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) kepada ketua jurulatih, Norizan Bakar dalam kempen Liga M 2012, bermula bulan depan.


Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, Norizan serta pegawai pasukan Seladang sudah dimaklumkan mengenai sasaran itu. “Selepas lama tidak mencapai sebarang kejayaan, kami mahu satu gelaran musim ini. Pafa tidak tetapkan piala apa. Mereka (pasukan) tahu mengenai perkara itu,” katanya.

Musim lalu, Perak menamatkan cabaran Liga Super di tempat keenam, mara ke pusingan ketiga Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia.




“Kita anggap musim 2011 sebagai tempoh percubaan. Bagaimanapun musim ini Pafa mahu melihat hasil dan berharap skuad kendalian Norizan Bakar mampu memberi tuaian yang baik,” katanya.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri berkata usaha sudah dilakukan untuk mendapatkan khidmat pemain berwibawa termasuk dua awang import dari Serbia dan Slovakia bagi memantapkan pasukan.


Perak mengekalkan sebilangan besar pemain skuad musim lalu selain mengambil khidmat lima tenaga luar termasuk dua pemain yang dipinjam semasa Piala Malaysia, Mohd Failee Ghazali dan Mohd Rafiuddin Roddin.




“Bahannya sudah ada, kini terpulanglah kepada Norizan bagaimana mengadun menjadi adunan yang mantap.

“Saya yakin beliau tahu apa yang perlu dilakukannya setelah mengenal pasti kelemahan dan kepincangan musim lalu,”katanya.




Menurut Presiden Pafa itu, pasukan Seladang kini dalam proses persiapan intensif termasuk mengadakan perlawanan pemanas badan bagi menguji kemampuan pemain serta membentuk persefahaman mereka.

Sebagai sebahagian daripada program persiapan, Seladang akan bertandang ke Medan mulai Isnin ini untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan.





Saturday, December 10, 2011

Seladang mula latihan intensif


Harian Metro

SELEPAS melengkapkan kuota dua pemain importnya barulah ketua jurulatih Perak, Norizan Bakar dapat menjalankan persiapan sebenar pasukan Seladang bagi menghadapi kempen Liga M bermula Januari nanti.


Justeru tempoh beberapa minggu selanjutnya bakal menyaksikan pemain Perak dikerah dalam latihan intensif ketika Norizan berusaha menyediakan anak buahnya bagi saingan kali ini.

“Sebelum ini usaha banyak tertumpu ke arah memilih pemain import. Kini dengan selesai tugasan itu barulah latihan sebenar pasukan bermula,” katanya.




Menurut Norizan, Perak kini memiliki 24 pemain dalam pendaftaran kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan yakin bilangan itu mencukupi kerana kebiasaannya pemain Piala Presiden sering diserapkan ke dalam pasukan utama.

Katanya, Perak mendapat khidmat tiga muka baru untuk musim depan iaitu dua pemain Kuala Lumpur dan seorang pemain Felda United kelahiran Perak selain berjaya mendapatkan khidmat dua pemain dipinjam semasa Piala Malaysia iaitu Mohd Failee Ghazali dan Mohd Rafiuddin Roddin dari USM FC dan Harimau Muda.


“Saya rasa bilangan ini mencukupi. Oleh yang demikian saya tidak bercadang melengkapkan bilangan 25 pemain seperti yang dibenarkan,” jelasnya. 



Mengenai dua pemain import Perak dari Serbia dan Slovakia, Popovic dan Michal Kubala, jurulatih itu berkata masih terlalu awal untuk mengulas kemampuan penyerang dan pemain tengah itu. “Saya perlu melihat mereka dalam beberapa perlawanan. Saya baru menyaksikan mereka dalam tiga perlawanan persahabatan. Mereka juga perlukan masa untuk menyesuaikan diri,” katanya.

Monday, October 3, 2011

Failee, Rafiuddin sah milik Seladang musim depan


DUA pemain yang dipinjam, Mohd Failee Mohd Ghazali dan Muhammad Rafiuddin Mohd Roddin sah menjadi milik Perak untuk kempen bola sepak Liga M musim 2012.

Pengesahan mengenai pengambilan mereka itu dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin pada sidang akhbar sempena kongres tahunan ke-53 persatuan itu di Ipoh, semalam.

“Kedua-dua pemain sudah tamat kontrak mereka pada 30 September lalu dan menyatakan kesediaan untuk menyarung jersi Perak bagi tahun 2012.


“Justeru Pafa sudah mengikat mereka agar dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap tugasan pada suku akhir Piala Malaysia nanti,”katanya. Failee yang berasal dari Selama, Perak kini menjadi `buah mulut’ peminat Seladang berikutan kejayaannya menyumbangkan empat gol dalam enam perlawanan.

Manakala Rafiuddin turut memberi sumbangan berkesan untuk membantu Perak muncul juara kumpulan A serta berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah dalam kumpulan A itu.

Zainol yang berbangga dengan kejayaan Perak mara ke suku akhir trofi unggul itu, berharap pemain Perak akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pertemuan suku akhir menentang Selangor itu.



“Perlawanan ini cukup penting dan saya berharap pemain tidak leka dibuai mimpi.. Pencapaian lalu tidak boleh dijadikan sandaran kerana ini permainan baru.

“Kesilapan akan mebawa padah dan hanya ada satu peluang kerana jika kalah akan tersingklir terus,” katanya.


Malah beliau memberi peringatan kepada pemain Perak agar tidak menjadi mangsa kebangkitan pasukan ‘Red Giants’ di bawah kendalian jurulatih barunya, P Maniam.

Justeru Zainol berkata Perak akan turun selaku pasukan `underdog’ menyedari tradisi cemerlang yang dimiliki oleh pasukan gergasi Lembah Klang itu yang memburu misi meraih kejuaraan buat kali 33 itu.

Namun katanya, Perak juga mempunyai matlamat terutama kerana sudah lama tidak mencapai kejayaan memberangsangkan dalam kancah Liga M dan berharap pemain mampu merealisasikan impian itu.

Mengenai ganjaran kepada pasukan berikutan kejayaan ke suku akhir, Presiden Pafa itu menjelaskan bahawa pihaknya mempunyai kaedah tersendiri memberi ganjaran kepada pemain dan yakin pemain Perak menerima lebih daripada RM2,000 seorang setakat ini.

“Kita punyai cara sendiri untuk memotivasi pemain dan setakat ini ia ternyata berkesan berdasarkan pencapaian setakat ini,”katanya.

Thursday, August 11, 2011

Failee tak mahu sia-siakan peluang


ORANG baru Perak, Mohd Failee Mohd Ghazali tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi dalam kancah Piala Malaysia selepas mendapat kesempatan kedua apabila dipinjam oleh Seladang dari pasukan asalnya, USM FC.

Justeru penyerang berbakat berusia 22 tahun kelahiran Parit Buntar, Perak itu yang beraksi untuk skuad Pulau Pinang selama tiga tahun akan berusaha untuk berada dalam kesebelasan permulaan Perak apabila kempen piala berprestij itu bermula 6 September depan.

“Pasukan USM juga berhasrat melayakkan diri ke Piala Malaysia musim ini tetapi apakan daya impian itu tidak menjadi kenyataan.


“Saya bersyukur kerana mendapat peluang kedua apabila diambil oleh Perak. Justeru, peluang ini sudah tentu tidak harus disia-siakan untuk menimba pengalaman beraksi dalam saingan Piala Malaysia. Sudah tentu saya mahu membantu Perak mencapai kejayaan membanggakan,” katanya.

Failee yang menyumbang 12 gol dalam Liga Perdana lalu juga teruja dapat bermain dalam pasukan bergelar kejor Yob kejor itu kerana memiliki khidmat pemain handalan dan berpengalaman.

“Pengalaman yang ditimba bersama pasukan ini sudah pasti berguna untuk meningkatkan lagi keupayaan dan keyakinan saya.



“Beraksi bersama pasukan Liga Super sudah tentu tidak sama dengan suasana di Liga Perdana. Saya memandang ke hadapan detik sepak mula Piala Malaysia kali ini,” katanya.

Kesempatan Failee serta dua lagi muka baru Seladang, Muhammad Rafiuddin Roddin dan Mohd Hafiszuan Sallehuddin menunjukkan kemampuan mereka menjelma apabila Perak mengadakan tiga perlawanan persahabatan menentang Tentera (ATM), Polis (PDRM) dan Sime Darby.

Selain itu Perak juga merancang mengadakan perlawanan ujian dengan Selangor tetapi setakat ini tiada sebarang pengesahan mengenainya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...