Thursday, August 11, 2011
Failee tak mahu sia-siakan peluang
ORANG baru Perak, Mohd Failee Mohd Ghazali tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi dalam kancah Piala Malaysia selepas mendapat kesempatan kedua apabila dipinjam oleh Seladang dari pasukan asalnya, USM FC.
Justeru penyerang berbakat berusia 22 tahun kelahiran Parit Buntar, Perak itu yang beraksi untuk skuad Pulau Pinang selama tiga tahun akan berusaha untuk berada dalam kesebelasan permulaan Perak apabila kempen piala berprestij itu bermula 6 September depan.
“Pasukan USM juga berhasrat melayakkan diri ke Piala Malaysia musim ini tetapi apakan daya impian itu tidak menjadi kenyataan.
“Saya bersyukur kerana mendapat peluang kedua apabila diambil oleh Perak. Justeru, peluang ini sudah tentu tidak harus disia-siakan untuk menimba pengalaman beraksi dalam saingan Piala Malaysia. Sudah tentu saya mahu membantu Perak mencapai kejayaan membanggakan,” katanya.
Failee yang menyumbang 12 gol dalam Liga Perdana lalu juga teruja dapat bermain dalam pasukan bergelar kejor Yob kejor itu kerana memiliki khidmat pemain handalan dan berpengalaman.
“Pengalaman yang ditimba bersama pasukan ini sudah pasti berguna untuk meningkatkan lagi keupayaan dan keyakinan saya.
“Beraksi bersama pasukan Liga Super sudah tentu tidak sama dengan suasana di Liga Perdana. Saya memandang ke hadapan detik sepak mula Piala Malaysia kali ini,” katanya.
Kesempatan Failee serta dua lagi muka baru Seladang, Muhammad Rafiuddin Roddin dan Mohd Hafiszuan Sallehuddin menunjukkan kemampuan mereka menjelma apabila Perak mengadakan tiga perlawanan persahabatan menentang Tentera (ATM), Polis (PDRM) dan Sime Darby.
Selain itu Perak juga merancang mengadakan perlawanan ujian dengan Selangor tetapi setakat ini tiada sebarang pengesahan mengenainya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment