Wednesday, August 17, 2011

Kelantan janji persembahan terbaik jumpa Selangor


KOTA BHARU - Bahang Piala Malaysia yang akan membuka tirai 20 hari lagi, semakin dirasai termasuk juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan yang kini giat menjalankan persiapan dengan mengadakan beberapa siri perlawanan di sekitar Lembah Klang biarpun pada bulan Ramadan.

Malam ini, The Red Warriors akan turun berentap dengan juara 32 kali, Selangor dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam.

Meskipun sekadar perlawanan persahabatan, pertemuan ini dilihat cukup penting bagi kedua-dua pasukan untuk menguji sejauh mana kekuatan menjelang saingan musim ini.

Bagi pengendali Kelantan, Datuk M. Karathu, meskipun aksi malam ini cuma aksi persahabatan, namun ia merupakan medan buatnya untuk merencana ramuan terbaik, selain menguji kekuatan pasukan sebelum saingan bermula.

"Inilah peluang terbaik buat saya untuk menguji pemain yang ada. Dalam perlawanan ini, saya bukan mahu mencari kemenangan tetapi mahu melihat sejauh mana kekuatan yang ada pada pasukan Kelantan.

"Begitupun saya tidak akan mengambil mudah perlawanan ini dan akan menurunkan barisan terbaik untuk menghadapi pasukan Selangor. Kita tahu mereka sebuah pasukan yang hebat jadi kita kena bersedia untuk perlawanan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sehubungan itu, beliau menuntut kesemua barisan pemainnya supaya memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu kelak.

Dalam pada itu, pengendali berpengalaman itu memuji barisan pemainnya yang telah menunjukkan persembahan terbaik dalam aksi perlawanan persahabatan pertama menentang Kuala Lumpur, Ahad lalu termasuk dua penggempur pinjaman, Azammuddin Akli dan R. Surenderan.

"Cuma apa yang saya lihat masih ada lagi beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Kelantan terutama dari segi tahap kecergasan. Namun, saya yakin dan percaya masalah itu akan dapat diatasi dalam masa terdekat.

Pada aksi persahabatan pertama Ahad lalu, Kelantan melakar kemenangan besar apabila membelasah Kuala Lumpur 5-0 menerusi jaringan Nurul Azuwan Roya, Solihin Kanasian Abdullah, Azammuddin Akil, Surenderan dan Muhd. Badri Radzhi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...