Tuesday, August 9, 2011

Piala Malaysia: Red Giant sedia awal


SELANGOR semakin serius menamatkan kemarau enam tahun tanpa kejuaraan Piala Malaysia apabila menyusun enam aksi persahabatan menjelang sepak mula saingan sebenar pada 6 September depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang dilantik sebagai pengurus sementara bagi saingan Piala Malaysia kali ini nyata telah memberikan semangat baru buat skuad Red Giant itu.
Menurut Hamidin, pihaknya telah pun menyusun beberapa siri perlawanan persahabatan sepanjang bulan Ramadan ini iaitu merangkumi dua perlawanan setiap minggu.
"Selepas bertemu sku- ad kebangsaan pada aksi persahabatan Sabtu lalu, kita telah membuat perancangan rapi sebagai persediaan terbaik bagi menghadapi saingan Piala Malaysia kali ini.
"Kita akan bertemu Pos Malaysia pada Rabu ini (esok) diikuti aksi bertemu Felda United (13 Ogos), berkemungkinan Kelantan (17 Ogos), Johor FC (21 Ogos), Sime Darby (24 Ogos) dan Negeri Sembilan (27 Ogos).
"Kesemua perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Shah Alam bermula 10 malam kecuali pertemuan menentang Negeri Sembilan di Paroi. Bagi aksi pada 17 Ogos, ia belum dimuktamadkan," kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Susunan aksi persahabatan itu dibuat dengan menentang pasukan-pasukan Kumpulan B dan C memandangkan Selangor yang diundi dalam Kumpulan D bersama T-Team, Kuala Lumpur dan PDRM akan bertemu wakil Kumpulan A jika layak ke suku akhir.
Dalam pada itu, Hamidin turut menggesa para penyokong Selangor yang berkelapangan supaya dapat hadir menyaksikan sesi latihan skuad Selangor yang berlangsung setiap hari di Padang SUK, Shah Alam antara 9.30 hingga 11.30 malam.
"Kehadiran penyokong ini mungkin sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat dan moral para pemain selepas kecewa gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super.
"Bukan saja sesi latihan, saya harap para penyokong turut sama hadir menyaksikan perlawanan persahabatan sepanjang Ramadan ini seterusnya perlawanan sebenar selepas hari raya nanti," jelas Hamidin.
Bagi saingan Piala Malaysia musim ini, Selangor meminjam tiga pemain iaitu penjaga gol USM FC, G. Jeevananthan serta dua pemain Harimau Muda A, Haziq Zikri Elias dan Nazri Ahmad.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...