KELAB Peminat Bola Sepak Perak (KPBP) mempertikai tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung lima tonggak Seladang sebanyak tujuh perlawanan, berkuat kuasa 18 Julai lalu.
Presidennya, Abdul Jamil Othman menyifatkan keputusan jawatankuasa tata tertib badan induk bola sepak itu sebagai tidak profesional dan keterlaluan.
“Langkah menggantung lima pemain Perak itu tidak patut. Ia sudah tentu melumpuhkan pasukan. Moral pasukan ketika ini begitu rendah kerana Perak pasti tempang tanpa mereka nanti,” katanya.
Jamil juga hairan bagaimana keputusan menggantung kapten Seladang, Shahrulnizam Mustafa, Akmal Rizal Ahmad Rakhili, Mohd Syazwan Roslan, Mohd Azmeer Yusoff dan Mohd Nasril Nourdin itu dibuat tanpa melalui sebarang proses perbicaraan.
“Jawatankuasa itu hanya mendengar aduan sebelah pihak saja tanpa memberi peluang kepada pemain terbabit mempertahan diri.
“Mereka boleh membuat keputusan sedangkan mahkamah sivil pun tidak membuat keputusan tanpa proses perbicaraan terlebih dulu,” katanya. Justeru beliau menyifatkan FAM mengamalkan pentadbiran kuku besi, selain tidak menolak kemungkinan ia adalah satu konspirasi untuk ‘mengenakan’ Perak.
Jamil jelas kecewa dengan sikap FAM yang sering kali membuat keputusan kontroversi serta melaksanakan peraturan mengikut sesuka hati hingga ahli gabungan menjadi mangsa.
“Jika dilihat FAM sendiri banyak melakukan kesalahan dalam urusan pentadbirannya.
Sehubungan itu demi kebaikan semua pihak, KPBP merayu agar FAM mempertimbang semula keputusan itu agar Perak tidak menjadi mangsa keputusan berat sebelah badan induk itu.
No comments:
Post a Comment