Monday, August 8, 2011

‘Apek kena utamakan bola sepak’


KOTA BHARU – “Nasihat saya, berilah keutamaan kepada kerjaya sebagai pemain bola sepak.”

Itu nasihat Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa kepada penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat atau Apek yang dilaporkan putus tunang, baru-baru ini.
Annuar, yang mengaku mengikuti perkembangan penjaga gol kebangsaan dan Kelantan itu berkata, dia tidak mahu masalah peribadi menjejaskan masa depan pemain muda itu.

“Putus tunang merupakan masalah peribadi.

“Sebenarnya, sebelum bertunang dia pernah menghubungi saya dan saya memberi sedikit nasihat.

“Saya fikir perkara putus tunang tidak terlalu besar dan kalau ia sudah ditakdirkan begitu, dia harus reda dengan apa yang terjadi. Saya berharap dia dapat menangani masalah ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Kharul Fahmi, 22, dilaporkan memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia Mohd. Hashumi, 23, dua hari selepas Kelayakan Piala Dunia menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Dalam pada itu, Annuar mengakui ada pihak yang cuba menggunakan populariti Apek dalam pelbagai bentuk publisiti, yang mungkin boleh memberi kesan tidak baik kepada pemain itu dalam mengatasi masalah peribadinya ketika ini.

“Perkara ini kalau tidak dikawal mungkin boleh memberi tekanan dan dia harus menangani sebaik mungkin. Kita tidak mahu masalah emosi yang berat menganggu tumpuannya.

“Apa yang berlaku, saya tidak boleh mencampuri secara langsung. Tinggal lagi dia merupakan anak didik KAFA dan kita akan jaga kepentingannya memandangkan dia merupakan pemain utama kita,” ujarnya.

Jelas Annuar, sekiranya Apek perlukan nasihat, pihaknya bersedia membantu.

“Kita akan beri bantuan kepadanya dalam bentuk nasihat dan bimbingan. Dia mempunyai masa depan yang cerah dan kita tidak mahu kariernya hancur di tengah jalan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...