Wednesday, August 31, 2011

Kelantan hilang 3 penjaga gol ?


KOTA BHARU - Persiapan Piala Malaysia skuad Kelantan yang semakin menuju puncak dikejutkan dengan khabar kurang menyenangkan apabila dilaporkan bakal kehilangan tiga penjaga gol serentak.

Tiga penjaga gawang yang dimaksudkan penjaga gol veteran, Mohd. Halim Napi dan Norhadi Ubaidillah masing-masing dibelenggu kecederaan manakala penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek tidak mendapat pelepasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana perlu melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik Khamis ini.

Perkara tersebut disahkan Pengurus pasukan, Azman Ibrahim yang mengakui kehilangan tiga penjaga gol serentak merencatkan persiapan Red Warriors.

“Kita tidak ada pilihan selain mengemukakan rayuan kepada FAM bagi mendapatkan pelepasan untuk membolehkan Apek menyertai pasukan.

Sukar bagi kita untuk mencari pengganti dalam tempoh sesingkat ini.

“Tambahan pula kita akan ke Kuching pada 5 September ini. Lagipun mana sempat untuk kita mencari pengganti kerana kita akan menyambut Aidilfitri esok (hari ini),” katanya.

Tambahnya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) turut berharap FAM dapat mempertimbangkan permohonan itu dengan sewajarnya.

“Posisi penjaga gol begitu kritikal sekarang kerana kita hanya ada seorang penjaga gol iaitu Mohd. Shahrizan (Ismail),” jelasnya.

Mengulas mengenai kecederaan yang menimpa kedua-dua penjaga golnya, Azman memberitahu, khidmat Mohd. Halim terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan pada kakinya ketika menjalani latihan sebelum perlawanan persahabatan di Songkla, Thailand, Jumaat lalu.

“Dia sudah tidak turun menjalani latihan sejak beberapa hari lalu. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana hanya tinggal Mohd. Shahrizan seorang yang menjalani latihan.

“Norhadi (Ubaidillah) pula dinasihatkan berehat selama sebulan kerana mengalami masalah pada paru-paru rentetan kecederaan yang dialami ketika perlawanan menentang Kanada di Kejohanan Sukan Universiti Dunia di Shenzen, China baru-baru ini dan dia kini sudah berehat di rumah dan terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) untuk rawatan susulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...