DENDA lagi. Apalah dengan nasib Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang sekali lagi bakal berdepan hukuman denda.
Semuanya gara-gara sikap segelintir penyokongnya yang membaling botol dan mercun ke dalam padang pada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu, semalam.
“Dua hari lalu, KAFA telah menerima surat pertuduhan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas dua kesalahan pada perlawanan tersebut.
“Kesalahan pertama ialah melontar mercun ke dalam padang sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan dan ini merupakan satu kesalahan yang serius.
“Kesalahan kedua ialah membaling mercun dan botol ketika Kelantan memperoleh jaringan menerusi Nurul Azuwan Roya pada minit ke-79. Ini juga merupakan satu kesalahan yang membolehkan KAFA didenda," katanya.
Tambahnya, setiap kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000 dan kedua-dua kesalahan yang dilakukan oleh segelintir penyokong Kelantan yang nakal itu menyebabkan pasukan bakal didenda RM20,000.
Pada perlawanan akhir itu, Terengganu berjaya bangkit untuk menumbangkan Kelantan 2-1
menerusi jaringan sendiri pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin yang tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit-minit terakhir perlawanan serta Ahmad Nordin Alias pada minit ke-109 masa tambahan.
Rosmadi memberitahu, walaupun jumlah denda itu dilihat agak kecil, namun bagi KAFA ia merupakan satu nilai yang besar.
Katanya, dengan jumlah tersebut KAFA mungkin dapat menggunakan wang tersebut untuk tujuan pembangunan di peringkat akar umbi mahupun memantapkan lagi pasukan.
"Sehubungan dengan itu, saya merayu kepada semua penyokong supaya tidak mengulangi kesilapan
ini dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula 6 September ini. Kerja membakar mercun dalam stadium bukanlah perkara yang baik kerana ia akan membahayakan orang lain yang berada di dalamnya.
"Saya harap pemain dapat mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku kepada pasukan Kelantan sebelum ini dan janganlah kita membiarkan perkara tersebut berulang kembali dengan kata lain adakah kita mahu pisang berbuah dua kali," ujarnya.
Untuk rekod, sepanjang 2009-2010, Kelantan telah membayar denda kepada FAM hampir RM300,000 di atas kenakalan segelintir penyokongnya.
No comments:
Post a Comment