Tuesday, August 9, 2011

KLFA tak bayar gaji


MASALAH kegagalan membayar gaji rupa-rupanya belum berakhir sepenuhnya dan masih menimpa pemain yang beraksi dalam kancah bola sepak tempatan musim ini.

Kali ini para pemain Liga Super Kuala Lumpur menjadi mangsa selepas mendakwa tidak dibayar gaji oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) sejak pertengahan Mei lalu.

“Sudah hampir tiga bulan kami tidak mendapat gaji. Sebelum itu tidak ada sebarang masalah membabitkan bayaran gaji. Kami pernah bertanya perkara ini kepada pihak pengurusan namun mereka meminta kami bersabar dan mengatakan terdapat masalah kewangan membabitkan penajaan.


“Saya sendiri terpaksa menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.
Sememangnya saya sentiasa menyimpan kerana bimbang berlakunya perkara seperti ini,” dakwa salah seorang pemain Kuala Lumpur yang enggan mendedahkan identitinya.

Tambahnya, masalah terbabit sememangnya menjejaskan moral dan semangat mereka namun terpaksa bermain bersungguh-sungguh untuk mengelakkan Kuala Lumpur yang berada dalam zon penyingkiran ketika itu tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

“Kami lupakan seketika masalah itu demi memastikan Kuala Lumpur kekal di Liga Super dan akhirnya kami berjaya menamatkan saingan untuk berada di tempat ke-12 dengan Pahang dan Perlis yang terpaksa turun ke Liga Perdana musim depan,” katanya.



Seorang lagi pemain Kuala Lumpur turut mendakwa belum mendapat bayaran gajinya daripada pihak persatuan yang dianggarkan mencecah RM10,000.

“Saya sendiri terpaksa mengharapkan bantuan keluarga dalam perbelanjaan harian. Perkara ini memang menyusahkan terutamanya pada bulan Ramadan ini dan menjelang sambutan hari raya Aidilfitri,” katanya yang jelas kecewa dengan situasi terbabit.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...