Friday, August 19, 2011

NS uji empat pasukan


NEGERI Sembilan yang terlepas kejuaraan Piala Malaysia musim lalu selepas dikecewakan Kelantan, membuat persiapan lebih rapi kali ini dengan menyusun empat perlawanan persahabatan menentang Johor FC, Sarawak, Johor dan Selangor, bermula semalam hingga 27 Ogos ini.

Ia bertujuan untuk memastikan kekuatan pasukan kali ini lebih mantap dalam usaha merealisasikan matlamat merangkul kejuaraan piala berprestij itu.

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, perlawanan persahabatan itu adalah sebahagian persiapan dibuat ke arah meningkatkan lagi persefahaman antara pemain terutama pemain pertahanan, Munir Amran yang dipinjam daripada Pahang.


“Sebagai orang baru dalam pasukan, Munir akan diberikan pendedahan sepanjang persiapan ini untuk membolehkan dia memupuk persefahaman yang baik dengan rakan lain agar dapat memberikan persembahan cemerlang seperti yang diharapkan.

“Kita juga berharap dapat menilai keberkesanan taktikal yang diterapkan selain mengenal pasti setiap kekurangan bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang sepak mula Piala Malaysia, 6 September ini,” katanya semalam.

Tegasnya, beliau tidak mahu kelemahan ketika saingan Liga Super berulang lagi ketika pemain dituntut mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan Kumpulan B membabitkan Terengganu, Selangor PKNS dan Sime Darby.



“Walaupun hanya sekadar perlawanan ujian, keputusan tetap penting bagi membolehkan pemain lebih yakin untuk menggalas cabaran pada aksi sebenar,” katanya.

Sementara itu, Azraai juga mengaku usahanya kini kian lancar selepas semua pemain utama dapat dikumpulkan termasuk yang terbabit dengan skuad kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...