Wednesday, August 24, 2011

Azraai lega Zaquan kian pulih


PENYERANG Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak diberi peluang beraksi dalam perlawanan persahabatan bagi meningkatkan keyakinan dan prestasi untuk menggalas cabaran pasukan pada saingan Piala Malaysia, 6 September ini.

Dia yang berehat panjang berikutan kecederaan lutut, diturunkan ketika Neger Sembilan menumpaskan Sarawak, 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu lalu.

Sebelum itu, Negeri Sembilan terikat 1-1 dengan Johor FC di tempat lawan.

Jurulatih, Azraai Khor Abdullah lega dengan perkembangan positif Zaquan namun dia lebih kerap diturunkan bagi mendapatkan kembali rentak terbaiknya.

“Sekalipun Zaquan belum mencapai tahap maksimum, kemajuan yang dipamerkan dalam perlawanan persahabatan menentang Sarawak suatu perkembangan baik. Dia akan diturunkan menentang Johor dan Selangor di Stadium Paroi,” katanya semalam.

Negeri Sembilan yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara Piala FA, Terengganu dan juara Liga Perdana, Selangor PKNS serta Sime Darby, amat menagih khidmat Zaquan dalam misi merampas kembali trofi Piala Malaysia yang terlepas kepada Kelantan, musim lalu.



“Kami harap Zaquan memperoleh rentak terbaiknya bagi membantu merealisasikan impian menjuarai Piala Malaysia,” kata Azraai yang gembira dengan peningkatan persefahaman seluruh pasukannya. “Ada perkembangan positif namun banyak lagi perlu dilakukan kerana saingan Piala Malaysia lebih sengit. Kita perlu membentuk kombinasi terbaik untuk memastikan kejayaan pasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...