Wednesday, August 31, 2011
Hazwan cetus impak
PERCATURAN jurulatih Ong Kim Swee menyenaraikan penyerang muda Ahmad Hazwan Bakri bersama skuad Olimpik negara menjalani latihan di Slovakia bulan lalu nyata berbaloi apabila penyerang muda dari Kuala Lumpur itu mula memberikan impak kepada pasukan.
Biarpun tidak sampai dua bulan bersama skuad muda negara itu, Ahmad Hazwan menyerlahkan potensi sebenar dirinya dengan menyumbat dua gol dalam lima perlawanan persahabatan dengan skuad liga Slovakia dan Hungary ketika menewaskan Tatran Liptovsky Mikulas 2-1 dan MFK Dolny Kubin 2-0.
Bagi Kim Swee, beliau puas hati prestasi dipamer Ahmad Hazwan apatah lagi ketika penyerang asal skuad Olimpik masih kurang menjadi dalam mencipta jaringan.
“Ahmad Hazwan antara pemain baru yang menonjol dalam skuad Olimpik. Dia menunjukkan prestasi baik dari perlawanan ke perlawanan.
“Apa yang menarik mengenai pemain ini adalah dia memiliki disiplin baik untuk dijadikan contoh kepada pemain lain, tidak kiralah pemain kebangsaan atau Harimau Muda A yang berada dalam skuad Olimpik ini,” katanya.
Ahmad Hazwan antara pemain baru yang dipanggil Kim Swee bagi mengikuti latihan dan siri perlawanan persahabatan di Slovakia selain Azrul Azmi (Felda United), Muhamad Syazwan Tajuddin, Muhd Nazmi Faiz Mansor (Harimau Muda B), Mohd Azrif Nasrulhaq (Selangor PKNS) dan Mohd Izuan Solahuddin (Kelantan).
Kim Swee berkata, beliau tidak mahu memberikan tekanan kepada Ahmad Hazwan sebaliknya mahu memberi ruang kepada pemain berusia 20 tahun itu untuk meningkatkan prestasi dan menyesuaikan diri bersama skuad Olimpik.
“Saya tidak perlu terlalu mendesak Ahmad Hazwan dengan meletakkan bebanan terlalu tinggi sebaliknya mahu dia memberi tumpuan menjadi pemain lebih baik. Dia pemain berbakat, kehadirannya akan memberi saingan kepada pemain lain,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment