Monday, August 29, 2011

TRW tersepit


JUARA Piala Malaysia musim lalu, Kelantan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada keupayaan penjaga gol kedua, Mohd Shahrizan Ismail dalam saingan yang akan bermula 6 September ini, berikutan tiga penjaga golnya tidak dapat beraksi kerana komitmen kepada skuad kebangsaan, selain masalah kecederaan.

Komitmen penjaga gol utama, Mohd Khairul Fahmi Che Mat bersama skuad Olimpik selain kecederaan dialami penjaga gol ketiga, Norhadi Ubaidillah dan keempat, Halim Napi membimbangkan pengurusan pasukan The Red Warriors (TRW).

Pengurus, Azman Ibrahim mengakui berdepan kesukaran kerana Khairul Fahmi tidak dapat beraksi bagi empat perlawanan awal Piala Malaysia manakala Norhadi mengalami kecederaan dalaman yang memberi kesan pada paru-paru ketika beraksi di temasya Sukan Universiti Dunia (Univer-siade) 2011 di Shenzhen, China, dan Halim pula cedera terkena kaca di tapak kakinya.


Katanya, dengan seorang saja penjaga gol yang boleh beraksi untuk TRW, Kelantan sukar mencari pengganti sesuai untuk didaftarkan memandangkan tempoh seminggu yang singkat sebelum perlawanan sepak mula Piala Malaysia, 6 September ini.

“Cuti menyambut Aidilfitri menyukarkan kami mencari penjaga gol yang sesuai dan benar-benar cergas bagi mengisi posisi itu.

“Kita akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan pelepasan untuk Khairul Fahmi supaya dapat beraksi bersama Kelantan pada perlawanan awal berdepan Sarawak 6 September ini,” katanya di Kota Bharu, semalam.



Meskipun Mohd Shahrizan mampu memikul tugas ditinggalkan Khairul Fahmi, Kelantan memerlukan dua penjaga gol disenaraikan dalam setiap perlawanan.

Beliau berkata, Norhadi dirawat empat hari di hospital Shenzhen. “Norhadi mungkin tidak dapat beraksi selama sebulan manakala Halim pula memerlukan masa untuk pulih.


“Saya difahamkan Khairul Fahmi akan kembali melapor diri menjalani latihan bersama skuad Olimpik negara pada 1 September sedangkan Kelantan akan ke Sarawak pada 5 September sebelum perlawanan bermula keesokan harinya (6 September).

“Kedudukan kami tersepit dan kami harap FAM memberi pelepasan kepada Khairul Fahmi beraksi pada perlawanan pertama menetang Sarawak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...