PEMAIN muda negara, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor mengatur langkah pertama dalam memburu cita-cita besar untuk bertapak dalam kancah bola sepak Jepun apabila bertekad untuk memberikan aksi terbaik pada ujian percubaan dengan kelab Divisyen 3, FC Ryukyu.
Kedua-dua tonggak Harimau Muda A itu akan berlepas ke Jepun awal pagi esok untuk menjalani ujian bersama kelab yang berpangkalan di Okinawa itu selama dua minggu.
Selepas berjaya memikat ejen pencari bakat Japan Dream FA, Masao Kiba menerusi aksi pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 di Tosu, Jepun September tahun lalu, ini masanya untuk Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal membuktikan pemilihan bekas kapten Gomba Osaka itu tepat.
Jika berjaya dalam tempoh percubaan itu, mereka berpeluang untuk menempa nama selaku pemain Malaysia pertama beraksi di negara kuasa besar bola sepak Asia, Jepun.
“Saya ke sana bukan hanya suka-suka tapi mahu beraksi dengan kelab itu. Setakat ini saya tidak dimaklumkan lagi mengenai program sepanjang berada di sana tapi saya sudah membuat persediaan rapi dari segi mental dan fizikal.