Monday, December 3, 2012

Puji gandingan Wan Zack-Mahalli


Wan Zack Haikal (kiri) diasak pemain Indonesia, Novan Setya Sasongko pada perlawanan Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.


KUALA LUMPUR - Gandingan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mahalli Jasuli pada bahagian kanan memuaskan hati pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal selepas Malaysia mengalahkan Indonesia 2-0 pada Piala Suzuki AFF, kelmarin.

Gol kedua jaringan Mahalli merupakan kombinasi bersama Wan Zack yang membawa skuad kebangsaan menang perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan mara ke separuh akhir kejohanan selaku naib juara Kumpulan B.

Menurut Rajagobal, pada mulanya dia meletakkan Wan Zack pada sayap kiri, posisi yang ditinggalkan S. Kunanlan kerana mengalami kecederaan, namun untuk serangan yang lebih berkesan, pemain Harimau Muda itu kembali ke posisi asal iaitu sayap kanan selepas 15 minit perlawanan.


"Wan Zack kembali ke posisi asalnya dan membentuk gandingan mantap bersama Mahali di sebelah kanan, manakala Azamuddin Mohd. Akil pula beraksi ditukar ke sayap kiri," katanya dalam sidang media kelmarin.

Jelasnya, walaupun Wan Zack Haikal beraksi buat kali pertama dalam Piala Suzuki AFF, tetapi pemain kelahiran Pahang itu mempamerkan aksi yang konsisten.

"Mahalli tertekan pada awal permainan namun dia mendapat rentak seterusnya membentuk kombinasi mantap bersama Wan Zack Haikal.

"Namun jangan lupa Bunyamin Umar, dia mampu beraksi pada bahagian pertahanan kanan dengan baik, kedua-dua pemain pertahanan kanan ini mempunyai kemampuan yang hampir sama," katanya.

Ditanya adakah Farizal Marlias akan kekal sebagai penjaga gol utama pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Thailand Ahad ini, Rajagobal berkata, beliau akan melihat keadaan dari semasa ke semasa.

"Saya akan tengok dahulu dalam tempoh terdekat sama ada perlu pertukaran atau tidak, kita mempunyai dua penjaga gol yang sama hebat.

"Kita tidak perlu risau tentang posisi ini, pada Sukan SEA 2009 di Laos, Piala Suzuki AFF 2010 dan Sukan Asia 2010 Guangzhou, posisi ini sentiasa mantap," katanya.

Rajagobal berharap kecederaan Shakir Shaari pulih selepas mengalami lebam pada buku lali.

"Kita memerlukan pemain seperti Shakir, Khyril Muhymeen Zambri dan Kunanlan pada perlawanan separuh akhir nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...