SUDAH tiba masanya ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal mengetepikan sentimen jasa pemain skuad juara Piala AFF 2010 bagi membuat pemilihan lebih telus dalam barisan Harimau Malaya selepas ini.
Bukan sekali dua soal pemilihan pemain pengendali berusia 56 tahun itu dipertikai pemerhati bola sepak serta peminat tempatan, namun kemuncaknya tercetus apabila Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 baru-baru ini.
Ramai menganggap Rajagobal terlalu mengutamakan pemain ‘kegemarannya’ terutama yang menjadi tonggak kemenangan Piala AFF dua tahun lalu hingga mengetepikan soal prestasi semasa pemain lain.
Malah polisi jurulatih tempatan paling berjaya itu yang lebih mengutamakan pemain muda juga menimbulkan tanda tanya adakah mereka yang lebih senior langsung tidak relevan untuk menyarung jersi Harimau Malaya sedangkan mereka beraksi cemerlang bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Bekas pemain kebangsaan, Mohd Fadzli Saari berpendapat, pemilihan pemain skuad kebangsaan perlu dilakukan lebih terbuka tanpa mengira faktor usia.
“Bagi saya usia bukan halangan untuk seseorang pemain mewakili skuad kebangsaan. Ini kerana ada pemain lebih senior lebih menyerlah dalam Liga Malaysia. Sekarang purata pemain kebangsaan kebanyakan berusia bawah 26 tahun sedangkan ada pemain berusia lebih 30 tahun masih boleh beraksi dengan baik.
“Sebagai contoh seperti Kelantan yang mempunyai pemain yang baik seperti Piya (Mohd Badhri Radzi) dan Indra Putra (Mahayuddin). ATM juga mencapai keputusan baik musim lalu dengan sumbangan pemain senior seperti Hairuddin Omar. Pada pandangan saya pemain senior masih boleh diberi peluang mewakili negara,” katanya yang pernah menandatangani kontrak sebagai pemain semi profesional bersama kelab Jerman, SV Wehen pada 2001.
Fadzli, 29, yang kali terakhir mewakili skuad kebangsaan pada 2007 berkata demikian selepas ditemui pada majlis memperkenalkan skuad Sime Darby FC bagi mengharungi kempen Liga Perdana 2013 semalam.
Pemain kelahiran Kuala Lipis Pahang itu menjaringkan 16 gol bersama T-Team musim lalu dan pernah mengetuai skuad kebangsaan ketika memenangi pingat gangsa Sukan Sea 2005.
Hampir separuh skuad kebangsaan Piala AFF 2012 membabitkan pemain yang sama dua tahun lalu dengan hanya Mohd Safee Sali dan Mohd Azamuddin Akil yang berusia lebih 26 tahun dalam skuad seramai 22 pemain itu.
Selepas terkandas di separuh akhir Piala AFF kepada Thailand dengan agregat 1-3 minggu lalu, Rajagobal menegaskan akan membuat rombakan pemain bagi membentuk pasukan mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula dengan perlawanan menentang Qatar pada 6 Februari.
No comments:
Post a Comment