PEMAIN paling senior Pahang, Jalaluddin Jaafar akan memastikan keputusan terbaik akan dicapai apabila skuad itu beraksi pada Kejohanan Jemputan Empat Penjuru kalah mati di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin bermula esok.
Jalaluddin, 37, percaya sentuhan jurulatih skuad itu, Dollah Salleh pada perlawanan berkenaan akan membantu mereka lebih bersiap sedia bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2013.
Sebagai pemain, dia bersama rakan sepasukan bertekad untuk memastikan aksi final menjadi milik Pahang biarpun sedar laluan getir bakal dihadapi.
“Setakat ini, kami belum mendapat maklumat pasukan yang akan bertemu Pahang kerana perlawanan itu diadakan secara kalah mati. Pasukan yang menang pada perlawanan pertama akan layak beraksi di final.
“Namun, kami sudah bersedia untuk bertemu sama ada Johor Darul Takzim, Johor dan Woodlands Wellington iaitu kelab dari Liga Singapura,” katanya semalam.
Justeru, Jalaluddin berharap rakan sepasukan dapat melakar kemenangan bagi memenuhi misi layak ke final.
Menurutnya, saingan empat penjuru itu juga sebagai motivasi terbaik bagi menilai tahap pencapaian bagi mengharungi cabaran getir apabila saingan liga bermula nanti.
No comments:
Post a Comment