PERTEMBUNGAN dua penyerang terbaik, Norshahrul Idlan Talaha dan Teerasil Dangda bakal mencuri tumpuan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2012 malam ini.
Sentuhan pemusnah Norshahrul pasti amat ditagih skuad Harimau Malaya yang memerlukan kemenangan ke atas Thailand selepas seri 1-1 pada pertemuan pertama di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Meskipun hanya meledak satu gol selepas empat perlawanan, kelibat Norshahrul yang juga Pemain Paling Bernilai Kebangsaan 2012 cukup menghadirkan gerun kepada skuad Gajah Perang.
Selain berjaya merobek gawang Thailand, penyerang berusia 26 tahun itu kerap mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian pantas ke dalam kotak penalti.
Justeru, Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo bertekad untuk mempamerkan aksi lebih baik bagi memastikan pasukan tuan rumah meratapi kekecewaan di Stadium Supachalasai.
“Saya akan beri aksi lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini. Saya yakin mampu menjaringkan gol untuk Malaysia. Tapi yang penting, kemenangan pasukan, tidak kira siapa yang menjaringkan gol,” katanya yang ditemui Arena Metro semalam.
Menurut Norshahrul, dia tidak berdepan masalah bertindak sebagai penggempur utama namun tetap berharap dapat bergandingan bersama Mohd Safee Sali.
“Saya tidak kisah bergandingan dengan siapa saja, terpulang kepada jurulatih. Tapi kehadiran Safee juga akan memberi kelebihan kepada pasukan,” katanya yang sedar dirinya pasti lebih diawasi pertahanan lawan.
Bagaimanapun rekod Norshahrul tidak sehebat pemain terbaik Thailand 2012, Teerasil yang kini sudah mengumpul empat gol termasuk gol penyamaan ketika menentang Malaysia.
Namun ketua jurulatih Thailand, Winfried Schafer mengaku tetap waspada dengan kelincahan Norshahrul yang turut diberi jolokan ‘Mr Linesman’.
Beliau berkata, anak buahnya akan memberi ‘layanan istimewa’ kepada Norshahrul.
“Pertama sekali kami perlu sekat hantaran jauh Malaysia dan yang kedua barulah mengawasi pemain,” katanya.
No comments:
Post a Comment