Wednesday, December 26, 2012

Zaquan lega pulih 100%

Harian Metro


PENYERANG kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak meluahkan rasa lega selepas kecederaan dialami pulih sepenuhnya dan sedia diturunkan dalam skuad utama Johor Darul Takzim bagi menghadapi saingan Liga M bermula 8 Januari.

Mohd Zaquan mengalami kecederaan agak serius ketika aksi persahabatan skuad Harimau Malaya menentang Bangladesh yang memaksanya diketepikan daripada saingan Piala AFF dan perlu menjalani proses pemulihan selama tiga minggu.



“Pada awalnya saya risau kecederaan itu tidak dapat pulih sebelum saingan Liga Super bermula namun hasil rawatan rapi dan pemantauan jurulatih, Fandi Ahmad yang sentiasa memastikan saya dirawat dengan teliti, mempercepatkan proses pemulihan itu.

“Saya diturunkan ketika menentang Pelita Bandung Raya, Jumaat lalu walaupun pada awalnya jurulatih tidak pasti mahu menurunkan saya dalam tempoh 10 minit terakhir. Tapi, saya minta diturunkan dan beliau beri kepercayaan kepada saya beraksi untuk tempoh singkat itu.

“Sepanjang karier, pertama kali saya lihat seorang jurulatih yang begitu prihatin dan sentiasa memantau kecederaan pemain berbanding ketika bersama pasukan lama kerana walaupun cedera, saya tetap diturunkan hingga menjejaskan corak permainan,” kata Mohd Zaquan.

Sementara itu, kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim tampak teruja apabila impian beraksi bersama Safee Sali dalam saingan Liga M selepas dua tahun berpisah apabila penyerang itu berkelana ke saingan Liga Super Indonesia (ISL) menjadi kenyataan.

“Walaupun saya dan Safee beraksi dalam skuad kebangsaan, saya teruja apabila dia menyertai Johor Darul Takzim dan pastinya kami dapat membentuk persefahaman lebih mantap selain Norshahrul Idlan Talaha serta Daniel Guiza.

“Saya sedar bebanan mengemudi jentera tengah amat berat namun saya bertekad memberikan yang terbaik untuk Johor Darul Takzim,” kata Safiq.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...