PETALING JAYA - Bekas pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar tidak akan beraksi bersama pasukan Felda United selepas dia menarik diri pada saat akhir menjelang saingan Liga Malaysia 2013.
Pemain yang berasal dari Lebanon itu sebelum ini dikhabarkan akan menyarung jersi pasukan yang beraksi dalam Liga Super itu, namun semalam Pengerusi Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan pemain tersebut tidak mengikat kontrak dengan Felda United.
"Ini bermakna Felda United hanya akan menggunakan seorang pemain import sahaja pada musim depan, perkara yang sama turut berlaku kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengharapkan seorang sahaja pemain import," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin.
Jelasnya, analisis yang dilakukan selepas mesyuarat JKPT minggu ini dan minggu lalu, setakat ini hanya 34 pemain import akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan kebanyakan pasukan mendaftarkan dua pemain import.
Kelantan dan Selangor pula mempunyai tempoh sehingga 26 Januari untuk mendaftarkan dua lagi pemain import bagi membantu pasukan tersebut beraksi dalam saingan Piala AFC.
Sementara itu, bagi saingan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 5 Januari depan melibatkan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diadakan di Stadium Shah Alam pada pukul 8.45 malam.
No comments:
Post a Comment